Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1904: CARA-CARA MEMBACA PERMULAAN SURAH AL-TAUBAH

AL Kafi 1904

 

Soalan:

Assalamualaikum SS Datuk, saya ada satu persoalan berkaitan dengan tajwid. Seperti yang kita ketahui bahawa surah al-Taubah itu tidak mempunyai lafaz basmalah. Jadi bagaimanakah cara untuk mula membaca surah tersebut? Mohon penjelasan dari pihak Datuk mufti dan asatizah. Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan:

Kaedah untuk memulakan bacaan surah al-Taubah boleh dibaca dengan dua kaedah iaitu melalui bacaan lafaz isti‘azah pada permulaan surah atau melalui kaedah bacaan akhir surah al-Anfal. Bagi yang memulakan bacaan dengan lafaz isti‘azah boleh menggunakan dua cara iaitu dengan wakaf(berhenti) atau wasal(sambung) antara isti‘azah dengan awal ayat surah tersebut. Manakala bagi yang menggunakan kaedah akhir surah al-Anfal boleh menggunakan wajah bacaan secara wakaf, saktah (berhenti seketika tanpa menarik nafas) dan wasal.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Merujuk kepada pandangan Imam al-Nawawi, pembaca al-Quran dituntut membaca basmalah(bismillah) pada setiap permulaan surah melainkan pada surah al-Taubah kerana untuk menjaga kemuliaan lafaz tersebut.[1]

Namun begitu, masih terdapat beberapa panduan dan cara-cara bagi para pembaca untuk membaca serta memulakan bacaan pada surah berkenaan. Antara kaedah yang telah ditetapkan untuk memulakan bacaan di awal surah ini ialah:

Pertama: Memulakan Bacaan Dengan Lafaz Istiazah.

Isti‘azah atau al-ta‘awuz yang dikenali dengan lafaz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) pada awal surah al-Taubah terdapat dua kaedah. Sheikh ‘Atiyyah menerangkan dua cara ini dalam karyanya:

أما إذا كان القارئ مبتدئًا بأول سورة ‌براءة، فله فيها وجهان:

 1- الوقف على الاستعاذة وفصلها عن أول السورة بدون بسملة.

 2- وصل الاستعاذة بأول السورة بدون بسملة أيضًا

Maksudnya: “Adapun jika pembaca itu memulakan surah baraah (surah al-Tubah), maka untuk membaca surah itu dua wajah: 1) Wakaf pada lafaz istiazah dan membaca awal surah tersebut tanpa basmalah. 2) Sambung bacaan isti’azah dengan permulaan surah tanpa menyebut basmalah”. [2]

(Rujuk Ghayat al-Murid fi ‘Ilm al-Tajwid: hlm 48)

Kedua: Membaca Akhir Surah al-Anfal dengan Awal Surah al-Taubah

Sheikh Mahmud Sibawaih menjelaskan tentang cara membaca akhir surah al-anfal dengan surah al-taubah boleh dibaca dengan tiga wajah iaitu secara qat’i (الوقف), saktah (السكت) dan membaca secara wasal (الوصل) tanpa membaca basmalah.[3]  Menurut sheikh ‘Atiyyah lagi berkenaan wajah ini:

  1. Wajah qat’i (القطع)

Cara bacaan mengikut wajah ini ialah dengan wakaf pada akhir surah al-anfal kemudian membaca permulaan surah al-Taubah.[4]

  1. Wajah saktah (السكت)

Definisi saktah (السكت) ialah diam atau menghentikan seketika bacaan dalam al-Quran  tanpa menarik nafas kemudian menyambung bacaannya dengan nafas yang sama.[5] Dengan kata lain, para pembaca perlu berhenti seketika dengan kadar saktah kemudian menyambung bacaan pada surah al-taubah dengan nafas yang sama.

  1. Wajah Wasal (الوصل)

Bacaan dengan wajah wasal pula ialah menyambung terus bacaan ayat akhir di surah al-Anfal dengan permulaan ayat surah al-Taubah tanpa disertai dengan lafaz basmalah.[6]

 

Kesimpulan:

Kaedah untuk memulakan bacaan surah al-Taubah boleh dibaca dengan dua kaedah iaitu melalui bacaan lafaz isti‘azah pada permulaan surah atau melalui kaedah bacaan akhir surah al-Anfal. Bagi yang memulakan bacaan dengan lafaz isti‘azah boleh menggunakan dua cara iaitu dengan wakaf(berhenti) atau wasal(sambung) antara isti‘azah dengan awal ayat surah tersebut. Manakala bagi yang menggunakan kaedah akhir surah al-Anfal boleh menggunakan wajah bacaan secara wakaf, saktah (berhenti seketika tanpa menarik nafas) dan wasal.

Wallahu A’lam.

 

Nota hujung:

[1] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Sharaf. 1994. Al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran. Tahkik: Muhammad al-Hijjaz. Cetakan 3, Beirut: Dar Ibn Hazm. Hlm 81.

وينبغي أن يحافظ على قراءة بسم الله الرحمن الرحيم في أول كل سورة سوى براءة

[2] ‘Athiyyah Qabil Nasr. (T.T). Ghayat al-Murid fi ‘Ilm al-Tajwid. Cetakan 7, al-Kaherah. Hlm 48.

[3] Al-Badwi, Mahmud Sibawaih. (T.T). al-Wajiz fi ‘Ilm al-Tajwid. Hlm 4.

ويستثنى من ذلك بين الأنفال والتوبة، فإن بينهما لجميع القراء ثلاثة أوجه وهي: الوقف، والسكت، والوصل بدون بسملة. وبين الأنفال وبين التوبة

وقف واسكتن وصل بلا بسملة

[4] Ghayat al-Murid fi ‘Ilm al-Tajwid. Hlm 50.

القطع: أي الوقف على آخر الأنفال مع التنفس

[5] Ibid, hlm 50.

السَّكْت: أي قطع الصوت لِمُدَّة يسيرة بدون تنفس

[6] Ghayat al-Murid fi ‘Ilm al-Tajwid, hlm 50

الوصل: أي وصل آخر الأنفال بأول التوبة، وكل ذلك من غير الإتيان بالبسملة كما تقدم