Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2029: HUKUM KESALAHAN DALAM TAKBIR AL-INTIQALAT

HUKUM_KESALAHAN_DALAM_TAKBIR_AL-INTIQALAT.jpg

SOALAN

Assalamualaikum, Sahibus Samahah Mufti. Saya pernah terbaca takbir (Allahuakhbar) dengan bacaan yang salah semasa hendak bangun daripada sujud, contohnya seperti; (Allahuagbar, Aaallahuakbar, Allahuakhba dan seumpamanya). Saya melakukan perkara tersebut tanpa sengaja dan tanpa sedar. Kemudian, selepas saya bangun daripada sujud dan telah berdiri sempurna, barulah saya menyedari bahawa saya menyebut takbir dengan sebutan yang salah. Bukan sahaja ketika hendak bangun daripada sujud, malahan kadang kala ianya berlaku semasa pertengahan hendak rukuk daripada berdiri.

Persoalannya, bagaimana hendak memperbaiki semula bacaan takbir yang salah tersebut? Adakah saya patut sujud semula untuk membaca sebutan takbir yang betul?

Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kesalahan kecil pada takbir al-intiqal seperti yang disebutkan dalam soalan tidak menjejaskan sahnya solat seseorang. Di samping itu, cara yang terbaik untuk memperbaiki adalah dengan berusaha menjaga sebutan pada solat-solat berikutnya agar kesalahan sama tidak berulang serta memperbanyakkan perbuatan-perbuatan sunat yang lain.Manakala lafaz takbiratul ihram perlu diperhatikan agar tidak salah menyebutnya sehingga menyebabkan solat tidak sah kerana ia termasuk daripada rukun solat.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Takbir yang dimaksudkan tersebut disebut sebagai takbir al-intiqal iaitu takbir yang diucapkan ketika perpindahan antara rukun disunatkan untuk menyebut ‘Allahu akbar’, manakala apabila bangun daripada rukuk disunatkan untuk menyebut ‘Sami’a Allahu liman hamidah, Rabbana wa laka al-hamd’.[1] (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 1:153)

Jumhur ulama bersepakat bahawa takbir al-intiqal adalah sunat. Dalil yang dipegang oleh mereka ialah hadis berkaitan seorang yang melakukan kesalahan dalam solatnya, kemudian Rasulullah SAW mengajarkan kepadanya perkara-perkara yang wajib di dalamnya dan antaranya adalah takbiratul ihram, manakala takbir al-intiqalat tidak termasuk daripadanya.[2] (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/207)

Di samping itu, tidak perlu dan tidak disunatkan juga untuk sujud sahwi bagi memperbaiki bacaan takbir kerana ia bukanlah daripada sunat ab’adh. Ini kerana sujud sahwi disunatkan pada lima keadaan. Jika sekiranya seseorang sujud selain daripada perkara tersebut, maka solatnya batal. Hal ini sepertimana disebutkan oleh Syeikh Sa’id Ba’isyin:

وإنما تُسَنُّ (بأَحَدِ أَسْبابٍ ثلاثةٍ)، بل خمسة: تَرْكُ بَعْضٍ، ونَقْلُ قولِيٍّ غيرُ مُبْطِلٍ، وزيادةُ فِعلٍ يبطل عمدُه فقط، والشَّكُّ في تَرْكِ بَعْضٍ، وإِيقَاعُ فعلٍ مَعَ الترَدُّدِ في زِيادته. فإِنْ سَجَدَ لِغَيرِ ذلك.. بَطَلَتْ صلاةٌ غير الجاهلِ المعذورِ بِنحو قرب عهد بالإسلام.

Maksudnya: Sujud sahwi itu hanya disunatkan jika berlaku salah satu daripada tiga perkara bahkan lima (menurut Syeikh Ba’isyin), iaitu: meninggalkan sunat ab’adh, memindahkan rukun qauli yang tidak menyebabkan batal solat, menambah perbuatan yang membatalkan solat jika dilakukan secara sengaja, rasa syak pada meninggalkan sunat ab’adh dan melakukan suatu perbuatan solat bersama rasa syak berlakunya penambahan padanya. Jika seseorang itu sujud selain daripada perkara tersebut, solatnya batal, kecuali bagi orang jahil yang dimaafkan, contohnya orang yang baru sahaja memeluk Islam.[3] (Rujuk al-Busyra al-Karim: 291)

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk artikel kami Al-Kafi #1905 : Hukum Sujud Sahwi Kerana Meninggalkan Sunat Hai’ah. Di samping itu, cara yang terbaik untuk memperbaiki adalah dengan berusaha menjaga sebutan pada solat-solat berikutnya agar kesalahan sama tidak berulang serta memperbanyakkan perbuatan-perbuatan sunat yang lain.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Mustafa Khin, Mustafa Bugho & Ali Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Syafie, 1996, Dar al-Qalam, jld. 1, hlmn. 153.

التكبير عند الانتقالات:

عرفنا أن تكبيرة الإحرام بالصلاة ركن لا تصح بدونه.

فإذا دَخلتَ في الصلاة وكبرتَ تكبيرة الإحرام، يسنّ لك أن تكبّر مثلها عند كل انتقال من الانتقالات، ما عدا الرفع من الركوع فيسن بدلاً من التكبير قول: سمع الله لمن حمده، ربنا لك الحمد.

[2] Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Kuwait, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Mesir: Percetakan Dar al-Safwah, cetakan pertama, 1404H-1427H), 13:207.

‌‌تكبيرات الانتقالات: 4 - يرى جمهور الفقهاء أن تكبيرات الانتقالات سنة.

[3] Sa’id Ba’isyin al-Hadhrami, Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta’lim, (2004: Jeddah, Dar al-Minhaj), hlm. 291