
Soalan
Assalamualaikum. SS Mufti, saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang membantu menebus emas yang digadai di pajak gadai bagi pihak pemilik asal emas dan adakah ahli keluarga terdekat mempunyai hak pemilikan emas tersebut sekiranya pemilik asal emas tersebut masih hidup? Mohon penjelasan daripada pihak SS Mufti.
Ringkasan Jawapan
Membantu menebus emas yang digadai adalah harus dan digalakkan dalam Islam. Namun, hak milik emas tersebut tetap kekal kepada pemilik asal selagi tiada persetujuan atau akad jelas yang memindahkan milik kepada orang yang menebusnya. Oleh itu, ahli keluarga atau pihak lain yang menebus emas tidak berhak menuntut pemilikan ke atas emas itu jika pemilik asal masih hidup.
Huraian Jawapan
Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.
Islam amat menggalakkan umatnya untuk saling membantu, lebih-lebih lagi kepada mereka yang ditimpa kesulitan. Membantu menebus emas bagi pihak orang lain tanpa mengenakan bayaran atau mengambil untung termasuk dalam kategori ihsan, iaitu berbuat baik tanpa mengharapkan balasan. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat”
Surah al-Nahl (90)
Perbuatan membantu menebus emas yang dilakukan atas dasar kebaikan, kasih sayang, dan bantuan tanpa niat untuk tidak mengaut keuntungan adalah harus dan digalakkan dan ia juga termasuk dalam konsep ihsan. Namun perkara ini sekiranya tanpa persetujuan dan akad sah daripada pemilik asal tanpa perjanjian untuk memiliki emas tersebut maka hukumnya adalah haram kerana ia merupakan mengambil harta orang lain secara batil.
Hak Milik Emas Gadaian Tetap Milik Pemilik Asal
Dalam Islam, harta seseorang adalah satu hak yang dilindungi. Ia tidak boleh diambil alih atau dimiliki tanpa akad yang sah dan kerelaan pemiliknya seperti dalam akad jual beli, hibah atau wasiat.[1]
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu”
Surah an-Nisa’ (29)
Dalam situasi di mana seseorang membantu menebus emas milik orang lain, hukum syarak menetapkan bahawa hak milik emas tersebut tidak berpindah secara automatik hanya kerana bayaran dibuat oleh pihak ketiga. Apabila emas tersebut ditebus oleh penggadai atau wakilnya, emas tersebut tetap milik penggadai kerana dialah pemilik barang tersebut dan wakilnya hanyalah bertindak sebagai pengganti dirinya.[2] Justeru itu, selagi tiada akad atau kerelaan yang sah dari pemilik asal, maka emas tersebut tidak berpindah milik kepada sesiapa.
Oleh itu, bagi memastikan hak kedua-dua pihak terpelihara dan urusan ini tidak menyalahi prinsip syariah, maka beberapa solusi yang sah menurut hukum Islam boleh dilaksanakan seperti berikut:
Pertama, sekiranya niat pihak yang membantu itu adalah untuk memberikan pinjaman, maka hendaklah dibuat urusan pinjaman yang jelas.
Kedua, jika pihak yang membantu berniat untuk memiliki emas tersebut sebagai balasan kepada bayaran yang dikeluarkan, maka mesti dilakukan akad jual beli yang sah.
Ketiga, dalam situasi di mana pemilik asal tidak mampu untuk membayar balik wang tebusan dan secara rela hati ingin menghadiahkan emas tersebut kepada orang yang membantunya, maka mereka boleh melaksanakan akad hibah.[3]
Ketiga-tiga solusi ini memberi jalan keluar yang jelas, sah dan adil dalam menguruskan bantuan tebusan emas. Ia bukan sahaja menjaga hak dan niat baik si pemberi bantuan, malah juga melindungi harta dan maruah pemilik asal daripada tindakan yang zalim atau tidak berasas. Dalam semua keadaan, niat yang baik mesti disusuli dengan tindakan yang mematuhi syariat, agar tidak terjatuh ke dalam pengambilan harta secara batil yang ditegah oleh Allah SWT.
Kesimpulan
Dalam membantu menebus emas milik orang lain tidak secara automatik menjadikan orang yang membantu sebagai pemilik emas tebusan. Bagi memastikan urusan ini sah di sisi syarak dan hak kedua-dua pihak terpelihara, tiga pendekatan boleh diambil. Pertama, jika bantuan diberikan sebagai pinjaman, maka perlu dilakukan urusan peminjaman yang jelas, di mana pemilik asal wajib membayar semula jumlah tersebut dan hak milik emas tidak berpindah. Kedua, jika orang yang membantu menebus emas berniat memiliki emas tersebut, maka perlu dibuat akad jual beli yang sah dan jelas dengan persetujuan kedua-dua pihak. Ketiga, jika pemilik asal ingin menyerahkan emas itu secara sukarela, maka akad hibah boleh dilakukan dengan memenuhi rukun dan syaratnya. Dalam semua keadaan ini, ahli keluarga pemilik asal tidak mempunyai hak ke atas emas tersebut, kecuali jika ada akad yang sah membuktikan pemilikan. Ini penting bagi mengelakkan pertikaian, serta memastikan keadilan dan keberkatan menurut prinsip syariah.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Al-Zuhaili, Wahbah. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. (Damsyik: Dar al-Fikr, T.t.) 4/2913.
العقود كالبيع والهبة والوصية ونحوها من أهم مصادر الملكية وأعمها وأكثرها وقوعاً في الحياة المدنية؛ لأنها تمثل النشاط الاقتصادي الذي يحقق حاجات الناس من طريق التعامل.
[2] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, Al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi’e. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’) 7/130.
والذي له حق بيعه هو الراهن أو وكيله، لأنه هو المالك له ووكيله نائب عنه
[3] Al-Syirazi, Ibrahim bin Ali. Al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i. (T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, T.t.) 2/82.
ولا يصح إلا من جائز التصرف لأنه عقد على المال فلا يصح إلا من جائز التصرف كالبيع ولا ينعقد إلا يالإيجاب والقبول لأنه تمليك آدمي فلا يصح من غير إيجاب وقبول كالبيع والهبة ويصح بلفظ القرض والسلف لأن الشرع ورد بهما ويصح بما يؤدي معناه وهو أن يقول ملكتك هذا على أن ترد علي بدله فإن قال ملكتك ولم يذكر البدل كان هبة فإن اختلفا فيه فالقول قول الموهوب له لأنه الظاهر معه فإن التمليك من غير ذكر عوض هبة في الظاهر