Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2053: HUKUM MEMAKAI TOPI YAHUDI ATAU KIPPAH

HUKUM_MEMAKAI_TOPI_YAHUDI_ATAU_KIPPAH.jpg

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah hukum seorang muslim memakai topi Yahudi atau Kippah?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum seseorang muslim memakai topi Yahudi adalah haram dan berdosa kerana ia termasuk daripada pakaian yang khusus bagi agama Yahudi. Oleh yang demikian, jika dia telah melakukannya maka hendaklah beristighfar dan kembali bertaubat kepada Allah SWT serta berazam untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut di masa hadapan.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Kippah atau juga dikenali sebagai Yarmulke merupakan penutup kepala berbentuk bulat kecil yang kebiasaannya dipakai oleh kaum lelaki Yahudi sebagai simbol keagamaan dan identiti agama Yahudi.[1] Dalam hal ini terdapat larangan terhadap umat Islam untuk menyerupai penganut agama lain dalam perkara seperti pakaian khusus mereka, ibadah dan ritual mereka berdasarkan satu hadith, sabda Rasulullah SAW:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia daripada kalangan mereka.

Riwayat Abu Daud

Ini sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Mafatih fi Syarh al-Masabih bahawa:

قوله: "‌من ‌تشبَّه ‌بقومٍ ‌فهو ‌منهم"؛ يعني: من شَبَّه نفسَه بالكفار في ‌اللباس وغيره من المحرَّمات، فإن اعتقد تحليلَه فهو كافر، وإن اعتقد تحريمَه فقد أَثِمَ

Maksudnya: Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia daripada kalangan mereka”, bermaksud seseorang yang sengaja menyerupakan dirinya dengan orang kafir dalam pakaian atau perkara lain yang diharamkan, maka jika dia meyakini bahawa perbuatan tersebut halal maka hukumnya adalah kafir, adapun jika dia meyakini perkara itu haram, maka dia berdosa (dengan perbuatan tasyabbuh tersebut).[2]

Selain daripada itu, Dr. Samiah Abdullah Bukhari dalam kajiannya menyatakan bahawa larangan tasyabbuh ini khusus kepada pakaian atau perbuatan yang menjadi sesuatu yang khusus bagi agama tertentu.[3] Namun begitu sekiranya ia tidak termasuk daripada perkara yang khusus bagi agama tertentu, maka tiada larangan pada perkara tersebut seperti yang disebutkan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari berkaitan pakaian Taylasan bahawa beliau berkata:

وَإِنَّمَا يَصْلُحُ الِاسْتِدْلَالُ بِقِصَّةِ الْيَهُودِ فِي الْوَقْتِ الَّذِي تَكُونُ الطَّيَالِسَةُ مِنْ شِعَارِهِمْ وَقَدِ ارْتَفَعَ ذَلِكَ فِي هَذِهِ الْأَزْمِنَةِ فَصَارَ دَاخِلًا فِي عُمُوم الْمُبَاح

Maksudnya: Sesungguhnya sesuai untuk menjadikan kisah Yahudi tersebut sebagai dalil (keharusan memakai Taylasan), pada masa ketika tayalisah (sejenis pakaian) yang menjadi syiar mereka pada satu ketika dahulu, telah tidak lagi sedemikian pada zaman ini. Maka, ia termasuk dalam perkara umum yang diharuskan syarak.[4]

Berdasarkan pemerhatian, pakaian Kippah yang berbentuk topi kecil yang dipakai oleh orang Yahudi ini masih lagi menjadi pakaian dan simbol khusus bagi agama mereka. Hal ini kerana ia tidak dipakai secara meluas oleh mana-mana golongan lain dan sangat sinonim dengan golongan beragama Yahudi sahaja.

Kesimpulan

Oleh yang demikian, perbuatan memakai topi Yahudi atau Kippah itu termasuk dalam pengharaman tasyabbuh dengan pakaian dan perbuatan bagi agama lain seperti yang disebutkan di dalam hadith. Secara kesimpulannya, hukum seseorang muslim memakai topi Yahudi tersebut adalah haram dan berdosa dan jika dia telah melakukannya maka hendaklah beristighfar dan kembali bertaubat kepada Allah SWT serta berazam untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut di masa hadapan.

Wallahua'lam 

 

Rujukan:

[1] Rujuk: https://www.britannica.com/topic/kippah?utm_source=chatgpt.com

[2] Al-Muzhiri, al-Husain bin Mahmud, al-Mafatih fi Syarh al-Masabih (Kuwait: Dar al-Nawadir, 2012), jld. 5, hlmn. 18.

[3] Samiah Abdullah Bukhari, Dhawabith al-Tasyabbuh al-Manhiy ‘Anhu, Dirasah Ulum Syariah wa al-Qanun, 44, 1 (2017), 34-35.

[4] Al-Asqalani, Ibn Hajar, Fath al-Bari Syarh al-Bukhari (Kaherah: al-Maktabah al-Salafiyyah, 1390H), jld. 10, hlmn. 275.