Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #628 : MENGGUNAKAN TELUR DAN DAUN SIRIH BAGI MERAWAT KANSER

Soalan:

Assalammualaikum ustaz. Saya ingin bertanya soalan. Mak saya mengidap kanser payu dara. Apa hukumnya jika saya membuat perubatan cara kampung dengan mengunakan telur ayam dan sireh untuk membuang kanser tersebut. Adakah ia mengikut cara  perubatan Islam atau sebaliknya. Mohan pencerahan ustaz.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asalnya hukum berubat adalah harus selagi mana tidak melibatkan unsur-unsur penipuan dan merosakkan akidah.

Manakala penyakit kanser itu adalah penyakit barah. Merujuk kepada Kamus Dewan Ediisi Keempat, barah atau kanser ini bererti: “ketumbuhan berbahaya pada kulit atau pada tisu di dalam tubuh yang disebabkan oleh pertumbuhan sel yang tidak mengikut kadar yang normal (disebabkan oleh pengaruh bahan-bahan karsinogen seperti bahan kimia dan virus).”

Berdasarkan makluman yang kami dapat, amalan berubat menggunakan telur dan sireh ini bukanlah suatu yang disepakati keberkesanannya. Rawatan menggunakan telur dikaitkan dengan kaedah pemindahan penyakit yang diamalkan oleh sebahagian pengamal perubatan alternatif yang diragui keberkesanannya.  Kaedah ini juga sinonim dengan amalan perbomohan Melayu. Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa’), selaku salah satu anggota bagi Badan Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak mengiktiraf keberkesanan kaedah ini dan tidak menjadikannya sebahagian daripada kaedah rawatan komplementari bagi penyakit kanser. Tidak diketahui jua cara ini berkesan dalam merawat kanser atau mengurangkan simptomnya dalam bentuk testimoni mahupun keterangan mana-mana tokoh yang berkepakaran dalam bidang ini bahawa perubatan telur adalah alternatif bagi kanser. Manakala rawatan menggunakan daun sirih menurut satu pendapat dikaitkan dengan fungsi boleh mengurangkan bengkak dan bersifat antitumor[1].

Jika melihat daripada sudut penggunaan telur dan sireh sahaja tidak ada masalah kerana kedua-duanya adalah termasuk daripada bahan-bahan yang halal. Namun, penjelasan daripada aspek praktikal diperlukan sama ada ia melibatkan jampi-jampi yang tidak disyarakkan dan meminta pertolongan jin. Jika terdapat unsur-unsur tersebut, maka kaedah rawatan berkenaan tidak boleh dilakukan. Jika tidak terdapat unsur berkenaan, maka ia kembali kepada hukum asal yakni berdasarkan keberkesanan. Kaedah maqasid menyatakan:

مَصَالِحُ الدُّنْيَا وَمَفَاسِدُهَا تُعْرَفُ بِالتَّجَارِبِ وَالْعَادَاتِ

Maksudnya: Maslahat-maslahat dan kerosakan-kerosakan yang melibatkan urusan keduniaan diketahui daripada tajarrub (pengalaman, eksperimen) dan adat.

Rujuk Qawaid al-Ahkam (1/13) oleh Imam Izz al-Din bin Abdussalam.

Begitu juga daripada aspek muamalat, hendaklah rawatan itu jauh daripada unsur penipuan jika ia melibatkan upah yang tinggi.

Nasihat kami kami para pesakit kanser, hendaklah mereka komited dengan rawatan-rawatan yang diiktiraf badan-badan yang berautoriti yang berdasarkan fakta dan kajian, dan juga beriltizam dengan bacaan-bacaan ruqyah yang berdasarkan diterima Syarak. Kami juga mengesyorkan agar dirujuk kepada pakar-pakar perubatan untuk maklumat yang tepat dan benar dalam menangani kanser.

Akhir kalam, kami tutup dengan keyakinan dan mengimani bahawa penyembuh hakiki adalah Allah SWT. Benarlah firman Allah:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

Maksudnya: "Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.

(Surah al-Syu`ara’, 26:80)

Marilah kita berdoa:

اللَّهم أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: Ya Allah! Engkaulah Penyembuh. Tiada sembuhan melainkan sembuhan-Mu. Sembuhan yang tidak meninggalkan penderitaan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik kepada kita semua.

Wallahua’lam.

 

[1] Foo, L. W., Salleh, E., & Mamat, S. N. H. (2015). Extraction and qualitative analysis of piper betle leaves for antimicrobial Activities. Int. J. Eng. Tech. Sci. Res., 2.