Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #601 : MENJUAL PETROL DI KEDAI RUNCIT

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Rumah saya ada jual minyak petrol yang diambil daripada stesen minyak. Dan seingat saya penjualan petrol selain di stesen minyak ataupun syarikat pengeluar minyak adalah dilarang oleh kerajaan seperti menjual di kedai runcit dan sebagainya. Jadi adakah saya wajib mentaati perkara itu?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Pada asalnya penjualan petrol adalah harus. Ini kerana petrol adalah bahan yang suci lagi memiliki manfaat buat manusia. Namun begitu, jika kerajaan menetapkan peraturan dan undang-undang bagi penjualan petrol, rakyat wajib patuh dan taat kepada arahan tersebut. Apatahlagi jika peraturan tersebut berkait dengan soal keselamatan dan pencemaran kerana petrol memiliki kandungan yang toksik dan sangat mudah terbakar. Maka penjualan petrol bukan di premis yang dilesenkan kerajaan boleh menjadi haram dalam perlaksanaan Siasah Syari`iyyah (polisi-polisi kerajaan) atas kaedah sadd al-dzari`ah (menutup jalan kebinasaan), masalih al-mursalah (kepentingan yang tidak disebut dengan jelas di dalam nas).

Justeru, kami tidak menggalakkan orang ramai daripada menjual petrol tanpa lesen yang sah daripada kerajaan. Pengecualian diberikan dalam keadaan-keadaan yang mendesak seperti kes terkandas kenderaan kerana kehabisan minyak atau mengampil upah kerana lokasi stesen petrol yang jauh, tetapi perlu menjaga aspek keselamatan seperti bekas petrol yang sesuai dan sebagainya.

Semoga Allah memberikan kita ilmu yang bermanfaat dan diberkati.