Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #593: HUKUM MENGAMBIL VIDEO DENGAN GOPRO SEMASA TAWAF

Soalan :

Apakah hukum mengambil video dengan GoPro semasa tawaf dengan niat untuk menceritakan pengalaman dalam melakukannya ?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapakan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W, para isteri dan sahabat baginda, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pada asasnya, perbuatan merakam video adalah kekal kepada hukum asal sesuatu perkara selain ibadah iaitu keharusan. Namun dalam isu ini, perbuatan merakam video terkait dengan amalan lain iaitu merakam perjalanan tawaf yang dilakukan oleh seseorang.

Dalam isu ini, tidak dinafikan bahawa menceritakan nikmat-nikmat yang telah Allah rezekikan kepada kita juga adalah salah satu bentuk menzahirkan kesyukuran. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: Dan nikmat Tuhan kamu, maka ceritakanlah.

Surah Al-Dhuha (11)

Di antara tafsir kepada menceritakan nikmat adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Hasan Rahimahullah: Apabila kamu memperoleh kebaikan atau kamu melakukan suatu perbuatan yang baik maka ceritakanlah kepada saudara-saudaramu yang kamu percayai.

Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi Al-Malik Rahimahullah berkata: Perbuatan menceritakan amalan soleh yang dilakukan hendaklah dilakukan dengan keikhlasan niat di hadapan orang yang terpercaya. Ini kerana, ia boleh jadi membawa kepada riyak, serta menimbulkan buruk sangka kepada pendengarnya. Rujuk Ahkam Al-Quran, Ibn Al-Arabi (4/356).

Hakikatnya, kenyataan Imam Ibn Al-Arabi tersebut bertepatan dengan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

اسْتَعِينُوا عَلَى إِنْجَاحِ الحَوَائِج بِالْكِتْمَانِ فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُود

Maksudnya: Bantulah ke atas kejayaan tertunainya hajat keperluan dengan menyembunyikannya. Sesungguhnya setiap yang memiliki nikmat itu ada orang yang hasad kepadanya.

Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Saghir (Hlm. 246)

Begitu juga terdapat tuntutan untuk menzahirkan kesyukuran dengan cara menceritakan nikmat yang diperolehi. Sebuah riwayat daripada Al-Nu’man Bin Basyir R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

التَّحَدُّثُ بِالنِّعَمِ شُكْرٌ

Maksudnya: Menceritakan nikmat-nikmat itu adalah suatu kesyukuran.

Riwayat Ibn Abi Al-Dunia (No. 64)

Justeru, hadis di atas jelas menunjukkan bahawa kita diperintahkan untuk menzahirkan kesyukuran di atas segala nikmat yang kita perolehi. Dan di antara tanda tersebut adalah dengan menceritakan nikmat-nikmat tersebut sama ada secara lisan, bergambar, melalui rakaman video, dan seumpamanya.

Mengenai tawaf, perbuatan tersebut disifatkan kedudukannya oleh Rasulullah S.A.W sebagai menyamai solat. Cuma yang membezakannya adalah, seseorang yang melakukan tawaf boleh berkata-kata ketika menunaikannya berbeza dengan solat. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Abbas R.anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الطَّوَافُ حَوْلَ الْبَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya : Tawaf di sekitar Baitullah itu adalah sama seperti solat. Kecuali kamu berkata-kata di dalamnya. Maka sesiapa yang berkata-kata di dalamnya, janganlah dia bercakap melainkan yang baik sahaja.

Riwayat Al-Tirmizi (960)

Hadis di atas jelas menunjukkan kepada keharusan berkata-kata semasa menunaikan tawaf. Namun keharusan itu diikat dengan anjuran berkata-kata yang baik sahaja semasa mengerjakan tawaf. Syeikh Mulla Ali Al Qari Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini berkata: Iaitu (berkatalah yang baik) dari perbuatan zikir kepada Allah, serta memberi ilmu. Dalam bentuk yang tidak mengganggu para jemaah lain yang sedang mengerjakan tawaf. Lihat Mirqaat Al-Mafatih Syarah Misykaat Al-Masobih, Mulla Ali Al-Qari (5/1789).

Berdasarkan kenyataan di atas, kami juga menambah bahawa setiap perbuatan yang harus untuk dilakukan semasa tawaf, namun jika ia boleh membawa kepada gangguan terhadap jemaah lain maka ia sepatutnya dielakkan. Di antara contohnya adalah perbuatan merakam video semasa mengerjakan tawaf. Jika seseorang itu sedang melakukan tawaf, lalu dia merakam video perjalanan tersebut dengan kamera yang diletakkan di video stick maka perbuatan tersebut sudah barang tentu akan menganggu pergerakan dan tumpuan jemaah lain.

Hakikatnya, perbuatan tawaf di sekeliling kaabah itu mempunyai beberapa hikmahnya yang tertentu. Kita mengerjakan tawaf di sekeliling baitullah sebagai tanda mengagung dan membesarkan Allah S.W.T. serta mentaukidkan bahawa Allah S.W.T adalah fokus utama dalam kehidupan seharian kita. Dari-Nya kita bermula, dengan bantuan-Nya kita meneruskan perjalanan, dan kepada-Nya lah kita kembali. Maka perlulah kita selaku seorang yang sedang beribadah, melakukan perbuatan tawaf dengan mentawajjuhkan keseluruhan hati kita kepada Allah serta tidak melakukan sebarang perbuatan yang dapat menghilangkan tumpuan kita dalam mengerjakannya.

Kesimpulan

Setelah kami menekuni dengan teliti berkenaan permasalahan ini, kami berpendapat bahawa perbuatan merakam video semasa mengerjakan tawaf merupakan suatu perbuatan yang makruh dan perlu dielakkan. Ini kerana, ia akan mengganggu tumpuan perakam tersebut yang sepatutnya melakukan ibadah ini dengan penuh khusyuk lagi fokus. Selain perbuatan tersebut juga akan mengganggu perjalanan tawaf para jemaah lain yang sedang mengerjakannya. Demikian juga di sana terdapat teguran daripada para ulama besar tentang perbuatan selfie semasa mengerjakan haji dan umrah yang dapat menghilangkan tumpuan dan tujuan asal para jemaah untuk beribadah di tanah haram. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.