Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #553: ADAKAH WANG KHAIRAT KEMATIAN ITU PERLU DIFARAIDKAN?


Soalan:

Keluarga kami ada menerima wang khairat kematian dari pelbagai pihak. Adakah wang tersebut perlu dibahagikan mengikut faraid?

 

Jawapan:

Berkenaan soalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan harta faraid itu sendiri. Harta faraid adalah harta yang dimiliki oleh si mati semasa hayatnya secara halal dan berterusan hak miliknya hingga kematiannya.  

Adapun khairat kematian, ianya bukanlah harta yang perlu difaraidkan bahkan kewujudan tabung itu juga adalah bagi memudahkan proses pengurusan sesuatu jenazah yang melibatkan jumlah wang yang tertentu.

Begitu juga dengan wang yang diperolehi oleh keluarga si mati dari derma serta sumbangan orang ramai. Wang itu juga tidak perlu difaraidkan bahkan ahli keluarga si mati boleh menggunakannya pada jalan kebaikan serta kemaslahatan yang lain. Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, tuan boleh membuka laman web Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)[1] pada penjelasan ringkas mengenai faraid/pusaka.

Kami juga berpendapat hendaklah waris merujuk kepada terma dan syarat perjanjian khairat kematian tersebut agar perjalanan harta tersebut dapat diklasifikasikan atau ditentukan sama ada ianya adalah harta yang perlu difaraidkan ataupun tidak. Adapun secara asasnya, khairat kematian itu bukanlah harta yang perlu difaraidkan melainkan padanya ada terma serta syarat yang menjadikan wang tersebut termasuk di dalam bahagian pusaka. Wallahu a’lam.

 

[1] http://www.maiwp.gov.my/i/index.php/perkhidmatan-kami/faraid-pusaka