Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-275: ISU NON-MUSLIM MEMBACA TERJEMAHAN DAN MENTAFSIRKAN AL-QURAN

 ISU_NON-MUSLIM_MEMBACA_TERJEMAHAN_DAN_MENTAFSIRKAN_AL-QURAN.jpg

 

Mukaddimah:

Tular baru-baru ini isu pemimpin politik daripada kalangan bukan Islam telah membaca sepotong maksud ayat suci al-Quran yang telah mengundang kecaman daripada pelbagai pihak. Rentetan daripada isu ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mengambil peluang untuk mengemukakan pandangan dan ulasan, bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul dan menjernihkan keadaan.

 

Menukil Terjemahan Tidak Sama Dengan Mentafsir

Pertama sekali, perlu dibezakan terlebih dahulu antara mentafsir ayat al-Quran dan membaca terjemahan ayat al-Quran.

Definisi mentafsir dari sudut bahasa ialah menerangkan maksud sesuatu atau memberi penjelasan dengan menghuraikan maksudnya.[1] Dari sudut istilah pula, menurut al-Zarkasyi, tafsir ialah suatu ilmu yang diketahui dengannya kefahaman berkenaan kitab Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, dan penjelasan makna-maknanya, pengeluaran hukum-hakam dan hikmahnya.[2] Manakala pengertian terjemah pula membawa maksud memindah bahasa kepada bahasa yang lain.[3] Dengan kata lain, terjemahan ialah hasil proses pengalihan daripada suatu bahasa kepada bahasa yang lain.

Dalam isu yang timbul baru-baru ini, individu tersebut telah membaca terjemahan ayat ke-59 Surah al-Nisa’ yang telah diterima pakai sejak sekian lama dan bukannya mentafsir ayat al-Quran, justeru perbuatan tersebut adalah dibenarkan dan tidak boleh dianggap menghina kesucian al-Quran serta agama Islam.

 

Menggunakan Istilah ‘Khawarij’ Bukan Pada Konteksnya

Kedua, timbul juga isu berkenaan istilah khawarij yang dilemparkan terhadap kumpulan pembangkang kerana didakwa menyuburkan amalan kafir-mengkafir, tidak taat kepada pemerintah dan memperkotak-katikkan kerajaan sedia ada.

Hakikatnya, ciri khas kumpulan khawarij adalah seperti yang dijelaskan oleh Ibn Hajar al- ‘Asqalani:

إن الخوارج لما حكموا بكفر من خالفهم؛ استباحوا دماءهم

Maksudnya: Khawarij itu tatkala mereka mengkafirkan golongan yang menyanggahi mereka, mereka telah menghalalkan darah musuh mereka itu.[4]

Ibn ‘Abd al-Barr pula menyatakan:

وَهُمْ قَوْمٌ اسْتَحَلُّوا بِمَا تَأَوَّلُوا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ: دِمَاءَ الْمُسْلِمِينَ ، وَكَفَّرُوهُمْ بِالذُّنُوبِ ، وَحَمَلُوا عَلَيْهِمُ السَّيْفَ وخَالَفوا جَماعَتَهُم

Maksudnya: Khawarij itu ialah suatu golongan yang menghalalkan darah umat Islam berdasarkan takwilan mereka terhadap kitab Allah, mengkafirkan umat Islam yang melakukan dosa besar, memerangi umat Islam dengan senjata dan menyanggahi persepakatan umat Islam.[5]

Secara keseluruhannya, penggunaan istilah ‘khawarij’ itu perlu diletakkan dalam konteks yang betul iaitu golongan yang mengangkat senjata bagi menjatuhkan kerajaan yang sah. Semata-mata mengkritik kerajaan dalam sistem demokrasi tidak menjadikan seseorang itu sebagai ‘khawarij’.

Bermudah-mudahan dalam melabel atau menghukum sesuatu golongan sebagai khawarij juga mesti dielakkan, kerana tuduhan tersebut ada implikasinya dari sudut hukum, bahkan juga perundangan.

Sebagaimana sikap bermudah-mudah dalam mengkafirkan orang lain perlu dijauhi, begitu juga sikap bermudah-mudah dalam menghukum orang lain sebagai khawarij juga mesti dielakkan, kerana kedua-dua sikap tersebut hanya akan mengakibatkan permusuhan yang berpanjangan serta perpecahan yang tidak berkesudahan dalam kalangan masyarakat. 

 

Fatwa Kebangsaan Berkenaan Non-Muslim Membaca dan Menterjemahkan al-Quran

Ketiga, berkenaan isu menukil dan mentafsir ayat al-Quran oleh golongan bukan Islam, hal ini telah pun dibincang dan difatwakan di peringkat kebangsaan:

“Isu Orang Bukan Islam Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran”

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember 2010 telah membincangkan Isu Orang Bukan Islam Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran. Muzakarah telah memutuskan:

“Bahawa pada dasarnya bagi tujuan untuk mempelajari, memahami dan mendekatkan diri kepada ajaran Islam atau bagi tujuan untuk menjadikannya panduan hidup di dunia dan akhirat atau bagi tujuan dakwah, Islam tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk bukan Islam untuk membaca dan mendalami teks-teks suci Islam termasuk al-Quran dan tafsirannya. Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan jujur dan ikhlas bagi tujuan tersebut dan bukan untuk kepentingan dan tujuan tertentu/peribadi, apatah lagi jika ianya dilakukan dengan kesalahan samada pembacaan atau huraiannya yang menyimpang dari kehendak sebenar teks-teks tersebut kerana perbuatan seperti ini boleh mencemarkan kesucian al-Quran dan Islam serta sekaligus menimbulkan keraguan, keresahan dan fitnah kepada masyarakat.

Maka dalam situasi yang berlaku di akhir-akhir ini, berdasarkan realiti dan fakta, ahli-ahli muzakarah sebulat suara berpendapat bahawa tindakan pemimpin-pemimpin politik bukan Islam menggunakan teks suci Islam termasuk al-Quran secara sewenang-wenangnya dan tidak menepati maksud yang sebenar di ceramah-ceramah politik, tidak menunjukkan ciri-ciri keikhlasan yang sebenarnya bagi mempelajari Islam. Oleh itu, perbuatan yang sedemikian boleh mendatangkan penghinaan berterusan terhadap kesucian Islam khususnya al-Quran sekiranya dibiarkan.

Justeru, bersesuaian dengan kaedah Usul al-Fiqh Sadd az-Zarai’, Muzakarah bersetuju bahawa perbuatan orang-orang bukan Islam membaca dan menghuraikan teks-teks al-Quran sewenang-wenangnya mengikut fahaman sendiri dengan tidak menepati maksud yang sebenar di samping tidak terdapat unsur-unsur keikhlasan dan kejujuran adalah merupakan suatu penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat. Oleh itu, ianya perlu dihentikan dengan segera.

Muzakarah juga menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati agar tidak menyalahgunakan ayat-ayat suci al-Quran demi meraih sokongan atau mendapatkan sesuatu kepentingan.”

Merujuk kepada sighah di atas, mentafsir ayat al-Quran hanya layak dilakukan oleh ahlinya sahaja serta golongan yang pakar dalam bidang tersebut. Oleh itu, seseorang yang bukan beragama Islam tidak mempunyai kelayakan untuk mentafsir al-Quran kerana mentafsir al-Quran hanya layak dilakukan oleh golongan ahlinya sahaja. Hal ini demikian kerana perbuatan tersebut dibimbangi akan mendedahkan kepada penghinaan terhadap ayat suci al-Quran secara tidak langsung.

 

Kesimpulan

i.        Isu mentafsir dan menterjemah al-Quran oleh golongan bukan Islam pernah berlaku sehingga terdapat perbincangan dan fatwa di peringkat kebangsaan. Keputusan fatwa yang dikeluarkan perlu dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira masyarakat awam mahupun pemimpin politik. Justeru, masyarakat bukan Islam seharusnya mengelak daripada menukilkan ayat al-Quran atau terjemahannya dalam percakapan supaya dapat menghindari perbalahan dalam kalangan masyarakat.

ii.        Di samping itu, sikap bermudah-mudah dalam mengkafirkan orang lain perlu dijauhi, begitu juga sikap bermudah-mudah dalam menghukum orang lain sebagai khawarij juga mesti dielakkan, kerana kedua-dua sikap tersebut hanya akan mengakibatkan permusuhan yang berpanjangan serta perpecahan yang tidak berkesudahan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, bidang pentafsiran al-Quran hendaklah diserahkan kepada ahlinya sahaja dan tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya, bagi memastikan kesucian al-Quran dan keaslian kefahaman agama terpelihara.

Wallahu a‘lam.

Rujukan:

[1] Laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tafsir diakses pada: 2.10.2023

[2] al-Zarkasyi, Abu Abdullah Badr al-Din Muhammad bin Abdullah, Al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran. (Ed 1, Dar Ihya’ al-Kutub al-Ilmiyah, 1957) J1 , hlm:13.

‌التَّفْسِيرُ عِلْمٌ يُعْرَفُ بِهِ فَهْمُ ‌كِتَابِ ‌اللَّهِ الْمُنَزَّلِ عَلَى نَبِيِّهِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَيَانُ مَعَانِيهِ وَاسْتِخْرَاجُ أَحْكَامِهِ وَحِكَمِهِ

[3] Dewan Bahasa dan Pustaka, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=terjemah diakses pada: 2.10.2023.

[4] Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 12/301.

Lihat juga pandangan al-Qurtubi dalam al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim 3//14

أنهم لما حكموا بكفر مَن خرجوا عليه من المسلمين، استباحوا دماءهم

[5] Rujuk al-Istizkar