Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-277: TABAYYUN KETIKA MENERIMA ATAU MENYAMPAIKAN BERITA

TABAYYUN_KETIKA_MENERIMA_ATAU_MENYAMPAIKAN_BERITA.jpg

 

Mukaddimah

Baru-baru ini tular di media massa berkaitan pendaftaran perkahwinan sivil oleh Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN. Walaupun ada perbincangan di kalangan fuqaha berkaitan orang Islam yang menjadi wakil wali kepada akad nikah orang bukan Islam tetapi isu ini tidak berbangkit selepas kenyataan media yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri Jabatan Pendaftaran Negara bertajuk Isu Tular: Pendaftaran Perkahwinan Sivil Oleh YB MDN Sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN yang antaranya:

“JPN ingin menegaskan sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164. Proses pendaftaran Perkahwinan Sivil tersebut tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.”

Oleh itu umat Islam dinasihatkan supaya bersikap hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti (tabayyun) yang berkaitan dengan isu mengenai sesuatu tuduhan atau hal yang menyangkut tentang identiti seseorang. Adab atau sikap yang terkait dengan “tabayyun” ini ditekankan agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran. Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.

Justeru penulisan Bayan Linnas pada kali ini bertujuan untuk menyiar kembali berkenaan konsep tabayyun dalam menerima segala berita dan maklumat, seterusnya diharapkan penulisan ini dapat dihayati dan sedikit sebanyak memberi kefahaman. Tulisan ini bertajuk Tabayyun Dalam Penerimaan Dan Penyampaian Berita. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua dalam melayari bahtera kehidupan dengan aman sentosa serta harmoni. Amin.

 

Definisi Tabayyun

Tabayyun merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian. Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka.

Imam al-Syaukani berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut (memastikan) adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/65)

Perintah untuk Bertabayyun

Allah SWT memerintahkan supaya menyelidik serta mendapat kebenaran berita yang disampaikan seseorang. Ini kerana bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran, firmannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan

(Surah al-Hujurat: 6)

Ibn Jarir berkata: Hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguh seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu mengetahui dan yakin akan kebenarannnya. Jangan sekali-kali kamu gelojoh untuk menerimanya. (Lihat Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Quran, 22/286)

Dr. Wahbah al-Zuhaili pula mentafsirkan ayat di atas: “Allah SWT menyeru kepada umatnya yang beriman, apabila datang orang fasik menyampaikan berita sebaiknya mencari kebenaran berkenaan dengan berita itu dan janganlah terlalu cepat menghukumnya dan menyebarnya. Ini kerana takut akan keburukan dan perkara yang tidak diingini berlaku di atas keputusan yang salah serta memberi kemudaratan ke atas orang lain.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 26/227)

Penelitian di dalam menerima sesuatu berita itu mestilah diambil berat bagi memastikan kebenarannya. Ini supaya dapat mengelak daripada berlakunya penyebaran berita palsu dan perbuatan ini akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT serta tergolong dalam golongan yang pendusta. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim RA, sabda Nabi SAW:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya“Cukuplah bagi seseorang itu dianggap pendusta apabila menceritakan semua yang dia telah dengar (tanpa tabayyun”)

(Riwayat Muslim)

Hadis ini telah diletakkan pada bab khusus oleh Imam Nawawi dengan tajuk: "Larangan terhadap menceritakan semua perkara yang didengari”. Dalam menjelaskan hadis ini, Imam Nawawi berkata: “Seseorang boleh dikatakan berdusta disebabkan berita yang didengar boleh jadi ditambah-tambah. Adapun makna hadis ini mengandungi peringatan daripada membicarakan setiap yang didengari. Ini kerana ia boleh jadi benar dan boleh jadi dusta.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/75) 

 

Prinsip Islam dalam Menyampaikan dan Menerima Berita

Dalam menyampaikan berita, seseorang itu mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya. Oleh itu seharusnya berhati-hati dalam setiap aspek yang dilakukannya. Hal ini kerana Allah SWT memandang berat terhadap perbuatan ini dan Nabi SAW memperingati umatnya supaya berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita.

 Allah SWT memperingati bahawa janganlah meyakini sesuatu perkara itu sebelum memastikan kebenarannya dan tidak mengikuti prasangka dan khabar berita yang buruk. Ini kerana setiap pancaindera dan hati manusia akan diperhitungkan di hari Akhirat kelak. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

MaksudnyaDan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

(Surah al-Isra’, 36)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menjelaskan ayat suci ini, kata beliau: “Janganlah mengikuti apa yang tidak kamu ketahui. Bahkan perkara ini bergantung di atas apa yang dikatakan dan dilakukan. Ini kerana setiap perbuatan serta anggota tubuh itu akan di pertanggungjawabkan sama ada dari segi perbuatan atau percakapan. Dan tujuan penciptaannya adalah bertujuan untuk ibadah kepada Allah SWT dan berkerja untuk agama”. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/457)

Oleh itu, memastikan sesuatu pengkhabaran itu merupakan satu tuntutan bagi mengelak terjadinya fitnah dan permusuhan diantara manusia. Satu kaedah yang masyhur ada menyebut:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ    وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya“Jika sekiranya kamu menukilkan sesuatu (berita) hendaklah kamu memastikan berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”

Kemelut pada zaman ini menyaksikan fitnah dan penyampaian berita sudah berkembang dengan pantas melalui media sosial yang membolehkan sesiapa sahaja melayarinya dan menerima berita di seluruh dunia pada sepanjang masa. Kecanggihan pelbagai alat komunikasi dibantu media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram, Tiktok, dan seumpamanya mempercepat penyampaian segala maklumat dan juga berita media sosial seperti ini adalah termasuk alat komunikasi bagi memudahkan perhubungan sesama manusia.

Namun, sesetengah masyarakat menggunakan media sosial ini dengan menyampaikan berita dan juga menerimanya tanpa memeriksa kesahihan sumber dan maklumat dalam berita tersebut. Maklumat atau berita yang diperoleh itu adakalanya membawa kepada perselisihan dan ada juga yang menyatakan kebenaran. Secara pastinya, limpahan maklumat pada hari ini yang mudah untuk diperoleh, tidak lagi mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya. Segala berita atau perkhabaran yang diperoleh tanpa asas kebenaran dan kepastian yang jitu, dapat mengundang kepada permusuhan dan perselisihan sesama kita.

 

Adab Menerima dan Menyampaikan Berita

Kewajipan sebagai seorang muslim adalah menunaikan adab-adab dalam penerimaan dan penyampaian berita, antaranya:

Pertama: Tidak tergesa-gesa menyampaikan khabar dan berita tanpa mengetahui selok belok serta kepastian berita tersebut. Begitu juga dengan sikap terburu-buru dalam menyampaikan berita, kerana sikap tergesa-gesa itu datang daripada syaitan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

التَّأَنِّي مِنَ اللهِ، وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Ketenangan datangnya dari Allah, sedangkan tergesa-gesa datangnya dari syaitan.”

(Riwayat al-Baihaqi)

Kedua: Tidak menyampaikan berita dengan tujuan adu domba (al-Namimah). Sesungguhnya perbuatan al-Namimah itu sangat dicela di dalam Islam kerana ia boleh menganiaya seseorang yang tidak bersalah dan memecah belahkan masyarakat, sebagaimana larangan Nabi SAW berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ مَا الْعَضْهُ؟ هِيَ النَّمِيمَةُ الْقَالَةُ بَيْنَ النَّاسِ

Maksudnya: “Mahukah aku ceritakan kepada kamu apa itu al’adhhu (الْعَضْهُ)? Itulah namimah, perbuatan menyebarkan berita untuk merosakkan hubungan antara sesama manusia.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi dalam syarahnya menukilkan kata-kata ulama’ mengenai makna al-Namimah:

النَّمِيمَةُ نَقْلُ كَلَامِ النَّاسِ بَعْضِهِمْ إِلَى بَعْضٍ عَلَى جِهَةِ الْإِفْسَادِ بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “Al-Namimah adalah menyampaikan perkataan seseorang kepada orang lain dengan tujuan merosakkan hubungan di antara mereka” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/112)

Ketiga: Penyampaian sesuatu berita bukan tujuan untuk membuka aib orang lain. Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ المُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.

(Riwayat al-Tirmizi)

Keempat: Semak atau tabayyun sesuatu berita dengan cara yang adil. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti menfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Perkara ini menjadi salah satu agenda al-Quran di mana Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Surah al-Hujurat (6)

Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata: “Allah memerintahkan agar kita benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan mewaspadainya supaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan. Kebanyyakan ahli tafsir menyebut turunya ayat ini kepada al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’ith ketika menjadi utusan Rasulullah untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 7/476)

Kelima: Tidak menerima berita daripada orang yang fasik dan juga sumber berita yang tidak berautoriti. Dalam menerima maklumat, lihatlah kepada mereka yang berautoriti agar maklumat yang diberikan benar dan tepat. Hal Ini bagi mendidik masyarakat untuk merujuk serta menerima berita dan juga menyemaknya kepada yang sepatutnya.

Syeikh Ali al-Sobuni berkata: ”Jika datang kepada kamu seorang lelaki fasik yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannnya, dengan apa yang diberitaka, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan berita. Ini supaya kamu tidak mengenakan hukuman atau musibah kepada satu-satu kaum sedangkan kamu jahil tentang hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tak sudah atas perbuatan kamu.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/216)

Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa berakhlak dan bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran. Kegagalan mengamalkan dalam menerima dan menyebarkan berita yang tidak berlandaskan syariat Islam dan konsep tabayyun akan menatijahkan musibah kepada diri dan ummah sehingga membawa kepada penyesalan diri yang teramat di dunia dan akhirat. Inilah diisyaratkan Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat keenam sebagaimana ulasan di atas.

Di samping itu juga, pemberitaan atau perkhabaran yang mudah diterima pada hari ini melalui Facebook, emel, twitter, surat khabar, majalah atau sebagainya tidak pasti akan ketepatan dan kesahihan maklumat. Tambahan dari itu juga, medium seperti ini juga dijadikan tempat untuk memburukkan seseorang individu, penyebaran berita palsu yang boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan sesama manusia.

Menurut seksyen 499 Kanun Keseksaan (Akta 574) mendefinisikan “fitnah” sebagai:

“Barang siapa, sama ada dengan perkataan yang dituturkan atau yang dimaksudkan untuk dibaca atau dengan isyarat, atau denganpenyataan zahir, membuat atau menyiarkan apa-apa tohmahan mengenai seseorang, dengan maksud hendak merosakkan, atau dengan mengetahui atau dengan ada sebab mempercayai bahawa tohmahan itu akan merosakkan nama baik orang itu, adalah dikatakan, kecuali dalam hal-hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, memfitnah orang itu.“

Selain itu, penyebaran maklumat berunsur fitnah atau menjatuhkan maruah orang lain boleh dikenakan tindakan mengikut Kanun Keseksaan. Seksyen 499 turut menghuraikan bahawa:

"Tiadalah apa-apa jua tohmahan dikatakan merosakkan nama baik seseorang, melainkan tohmahan itu, sama ada dengan tepatnya atau tidak, pada hemat orang lain, menjatuhkan watak akhlak atau watak kecerdikan orang itu atau menjatuhkan watak orang itu mengenai kastanya atau pekerjaannya, atau menjatuhkan keamanahan orang itu, atau menyebabkan supaya dipercayai bahawa tubuh orang itu ada dalam keadaan menjijikkan, atau dalam keadaan yang pada amnya dipandang keji."

Manakala Seksyen 500 memperuntukkan hukuman bagi kesalahan fitnah sebagai: “Barang siapa memfitnah seseorang hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.”

 

Kesimpulan

Dalam konsep menerima atau menyampaikan sesuatu berita itu, untuk memastikan kebenaran dan keabsahan sesuatu berita itu mestilah melalui beberapa proses supaya dapat memperhalusi dan meneliti khabar itu. Oleh itu, beberapa faktor-faktor yang patut diambil berat ialah:

  • Perlu berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita
  • Memastikan tidak akan berlakunya salah faham dan kesalahan dalam fakta yang boleh menyebabkan fitnah
  • Memastikan kesahihan dan kebenaran berita yang diterima atau yang akan disampaikan.
  • Tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan sesuatu berita
  • Menanamkan prasangka yang baik dan menjauhi su’u zhan(prasangka buruk) sesama manusia.
  • Menjaga ukhuwah dan tidak memutuskan hubungan silaturrahim diantara masyarakat.