Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-338: HUKUM NON MUSLIM MENGUCAPKAN ‘ALHAMDULILLAH’ DAN ‘BERSYUKUR’

APAKAH_HUKUM_NON_MUSLIM_MENGUCAPKAN_ALHAMDULILLAH_DAN_BERSYUKUR.jpg

SOALAN

Assalamualaikum. Apakah hukum seorang non-muslim mengucapkan kalimah-kalimah Islam seperti ‘Alhamdulillah’, ‘InshaAllah’ dan seumpamanya?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Penggunaan kalimah-kalimah Islam seperti ‘Alhamdulillah’ dan seumpamanya oleh non-muslim dalam perbualan harian adalah harus dengan syarat tidak merendahkan kesucian agama Islam dan tidak mengandungi unsur penghinaan serta menggunakannya dalam konteks yang betul.

Waallahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, terdapat keadaan di mana sebahagian golongan non-Muslim menggunakan kalimah-kalimah yang berasal daripada ajaran Islam, seperti ‘Alhamdulillah’, ‘InshaAllah’, ‘MasyaAllah’ dan seumpamanya, dalam perbualan harian mereka. Fenomena ini merupakan suatu perkara yang normal dan biasa kerana apabila berlaku pergaulan antara budaya dan agama, maka terdapat perbuatan yang ditiru antara satu sama lain, sama ada sengaja atau tidak. Namun persoalan yang timbul ialah apakah hukum syarak terhadap perbuatan ini menurut perspektif Ilmu Fiqh.

Bagi menjawab persoalan ini, terdapat hadis yang menunjukkan bahawa golongan Yahudi sengaja melakukan perbuatan bersin di hadapan Rasulullah SAW agar didoakan kebaikan kepada mereka oleh Baginda SAW. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa RA, bahawa beliau berkata:

كَانَ اليَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ: يَرْحَمُكُمُ اللَّهُ، فَيَقُولُ: يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Maksudnya: Suatu ketika golongan Yahudi sering membuat perbuatan bersin di sisi Nabi SAW dengan mengharapkan agar Nabi SAW mengucapkan kepada mereka ‘Semoga kamu dirahmati Allah’, maka Nabi SAW berkata: “Semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan memperbaiki keadaan kamu.”

Riwayat al-Tirmidzi

Berdasarkan hadis ini, sekiranya seorang non muslim itu mengucapkan ‘Alhamdulillah’ selepas dia bersin, maka diharuskan bagi seorang muslim menjawabnya dengan menyebut ‘semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kamu’, ‘semoga Allah SWT berikan kesembuhan kepada kamu’ atau seumpamanya dengan merujuk kepada petikan berikut:

‌لو ‌عطس ‌كافر وحمد الله عقيب عطاسه وسمعه مسلم كان عليه أن يشمته بقوله: هداك الله أو عافاك الله

Maksudnya: Sekiranya seorang kafir terbersin dan mengucap ‘alhamdulillah’ selepas dia bersin, kemudian didengari oleh seorang muslim, maka orang muslim itu boleh menjawab dengan berkata, ‘semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kamu’ atau ‘semoga memberi kesembuhan kepada kamu’.[1]

Walau bagaimanapun, tidak boleh untuk memohon keampunan dan meminta rahmat kepada orang kafir kerana ia adalah khusus kepada orang Islam sahaja. Hal ini berdasarkan pernyataan Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari yang mengatakan bahawa:

وَلَا يَقُولُ لَهُمْ: يَرْحَمُكُمُ اللَّهُ، لِأَنَّ الرَّحْمَةَ مُخْتَصَّةٌ بِالْمُؤْمِنِينَ، بَلْ يَدْعُو لَهُمْ بِمَا يُصْلِحُ بِالْهَمْ مِنَ الْهِدَايَةِ وَالتَّوْفِيقِ لِلْإِيمَانِ.

Maksudnya: Namun tidak boleh dikatakan kepada mereka (kafir) ‘semoga Allah SWT merahmati kamu’ kerana rahmat itu khusus kepada orang Islam sahaja. Sebaliknya perlu mendoakan mereka apa yang sesuai bagi mereka iaitu supaya mendapat hidayah dan taufiq untuk beriman kepada Allah SWT.[2]

Oleh yang demikian, dalam situasi ini harus untuk berdoa memohon taufiq dan hidayah agar mereka dijinakkan hati untuk memeluk Islam. Hal ini kerana sebahagian daripada amalan Islam sudah menjadi kebiasaan mereka, maka sudah tentu ia lebih diharapkan untuk menerima agama Islam sebagai anutan mereka. Walau bagaimanapun, jika bertujuan menghina dan memperkecilkan kalimah-kalimah yang suci dalam Islam, maka hal ini patut dihalang dan ditegah serta dihindarkan daripada duduk bersama mereka. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa, ayat 140, dimana Syeikh al-Tantawi menafsirkan ayat tersebut dengan berkata:

وقد نزل الله عليكم- أيها المؤمنون- في كتابه المحكم أنكم إذا سمعتم آيات الله يكفر بها الكافرون، ويستهزئ بها المستهزئون، فعليكم في هذه الأحوال أن تتركوا مجالسهم، وأن تعرضوا عنهم حتى يتكلموا في حديث آخر سوى الكفر بآيات الله والاستهزاء بها.

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan kepada kamu, wahai orang-yang beriman, di dalam Kitab-Nya bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah dikufuri oleh orang-orang kafir dan dipersendakan oleh orang-orang yang mengejek, maka wajiblah ke atas kamu dalam keadaan sedemikian untuk meninggalkan majlis-majlis mereka dan berpaling (beredar) daripada mereka sehinggalah mereka beralih kepada perbualan yang lain selain daripada kekufuran terhadap ayat-ayat Allah dan mempersendakannya.[3]

Oleh yang demikian, terdapat beberapa garis panduan yang perlu diraikan apabila seseorang non-muslim mahu menggunakan kalimah-kalimah Islam seperti yang disebut di atas, iaitu:

  • Tidak digunakan dalam konteks olok-olok, penghinaan atau persendaan.
  • Tidak dijadikan bahan komersial atau slogan yang mencemarkan makna asal.
  • Mestilah merujuk kepada umat Islam untuk menjelaskan makna sebenar kalimah tersebut bagi kegunaan yang betul dan tepat pada situasinya.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh non-Muslim dalam perbualan harian adalah harus dan dibolehkan dalam suasana masyarakat majmuk yang saling meniru perbuatan antara satu sama lain. Walau bagaimanapun keharusan ini adalah dengan syarat ia tidak merendahkan kesucian agama dan tidak mengandungi unsur penghinaan serta digunakan pada konteks yang betul.

Waallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam, 1427H), jld. 12, hlmn. 30.

[2] Mulla ‘Ali al-Qari, Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih (Beirut: Dar al-Fikr, 2002), jld. 7, hlmn. 2989.

[3] Muhammad Sayyid Tantawi, al-Tafsir al-Wasit li al-Quran al-Karim (Kaherah: Dar al-Nahdhah, 1998), jld. 3, hlmn. 352.