Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-351: RAIN RAVE WATER MUSIC FESTIVAL 2026: HIBURAN ADA BATAS, PENGANJUR MEMIKUL TANGGUNGJAWAB DAN KONSERT BERBENTUK MAKSIAT WAJIB DIHENTIKAN

RAIN_RAVE_WATER_MUSIC_FESTIVAL_2026_-_HIBURAN_ADA_BATAS_PENGANJUR_MEMIKUL_TANGGUNGJAWAB_DAN_KONSERT_BERBENTUK_MAKSIAT_WAJIB_DIHENTIKAN.jpg

Pendahuluan

Tidak lama lagi seluruh rakyat Malaysia akan menyambut Hari Pekerja Sedunia iaitu pada 1 Mei 2026. Hari Pekerja disambut sebagai tanda penghargaan terhadap segala usaha, keringat dan sumbangan para pekerja dalam membangunkan masyarakat dan negara. Dalam kesibukan mengejar kemajuan, setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan kehidupan yang sejahtera. Pada masa yang sama, Rain Rave Water Music Festival 2026 turut dianjurkan di Kuala Lumpur selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang bertujuan merangsang ekonomi bandar Kuala Lumpur, memacu industri pelancongan serta menyokong peniaga kecil dan sederhana.

Penganjuran festival ini telah menarik perhatian serius masyarakat Malaysia, khususnya dalam kalangan umat Islam. Ini kerana, festival muzik atau pesta hiburan seringkali dikaitkan dengan unsur-unsur yang boleh mencetuskan persoalan dari sudut nilai, adab, dan hukum syarak. Oleh yang demikian, pihak JMWP memandang serius isu ini dan mengambil inisiatif untuk menyuarakan tegahan dan bantahan melalui penulisan Bayan Linnas ini.

Hiburan Menurut Syarak dan Larangan Menganjurkan atau Menghadiri Konsert Maksiat

Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, bahkan mengiktiraf keperluan manusia kepada hiburan sebagai satu bentuk kerehatan jiwa. Namun begitu, hiburan tersebut hendaklah tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak agar tidak membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai. Dalam konteks festival ini, beberapa isu utama perlu diberi perhatian.

Antara perkara yang menjadi kebimbangan ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batasan yang jelas. Suasana festival yang terbuka dan tidak terkawal berpotensi mendorong berlakunya ikhtilat yang melampaui batas, sedangkan Islam menekankan adab dan batas pergaulan bagi menjaga kehormatan diri. Selain itu, konsep festival air lazimnya melibatkan pemakaian yang tidak menepati syarat menutup aurat, lebih-lebih lagi dalam keadaan basah yang boleh menampakkan bentuk tubuh, sekali gus bercanggah dengan tuntutan syarak.

Di samping itu, unsur hiburan yang melampau seperti muzik yang kuat, tarian bebas serta suasana yang mengasyikkan boleh membawa kepada kelalaian daripada mengingati Allah SWT dan mengabaikan kewajipan agama seperti solat. Dalam banyak keadaan, festival seumpama ini juga dikaitkan dengan aktiviti yang tidak bermoral seperti pengambilan alkohol dan penyalahgunaan bahan terlarang, walaupun tidak semestinya berlaku dalam semua penganjuran. Namun, berdasarkan kaedah fiqh sad al-zara’i (menutup pintu-pintu kemungkaran), sebarang perkara yang berpotensi membawa kepada maksiat wajar dielakkan.

Selain aspek akhlak dan pergaulan, penganjuran festival ini juga boleh dinilai dari sudut pembaziran, khususnya penggunaan sumber air, kewangan dan tenaga secara berlebihan tanpa manfaat yang jelas.

Penggunaan air yang berlebihan dan tidak terkawal dalam penganjuran festival air, semata-mata untuk tujuan hiburan, boleh dikategorikan sebagai pembaziran dan perbuatan Israf (boros). Ini kerana Islam melarang keras sikap boros dan melampaui batas dalam memanfaatkan segala nikmat kurniaan-Nya.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Surah al-Isra’ (27)

Ayat ini menunjukkan bahawa walaupun sesuatu perkara itu asalnya harus, ia boleh menjadi tercela apabila dilakukan secara berlebihan dan tidak berhemah. Bahkan dalam isu berwuduk pun syarak melarang untuk menggunakan air secara berlebihan seperti yang disebut oleh Baginda SAW:

‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ فَقَالَ ‏"‏ مَا هَذَا السَّرَفُ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ ‏"‏ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini ?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf ? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”.

(Riwayat Ibn Majah)

Hadis ini secara terang-terangan melarang dan menegur perbuatan israf (berlebihan) ketika berwuduk, meskipun air yang digunakan itu adalah dalam kuantiti yang banyak seperti di laut, sungai dan seumpamanya.

Tambahan lagi, perbelanjaan besar digunakan untuk menganjurkan program hiburan yang melalaikan, sedangkan terdapat keperluan masyarakat yang lebih utama seperti kebajikan, pendidikan dan bantuan kepada golongan memerlukan, maka hal ini bertentangan dengan keutamaan dalam Islam (fiqh al-awlawiyyat).

Dari sudut norma adat pula, masyarakat Malaysia yang majoritinya berpegang kepada nilai Islam dan budaya ketimuran amat menitikberatkan aspek kesopanan, kesusilaan dan penjagaan maruah diri. Penganjuran festival berkonsepkan rave dilihat tidak selari dengan nilai-nilai adat dan budaya di negara ini. Keadaan ini boleh menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat serta memberi kesan negatif terhadap pembentukan sahsiah generasi muda.

Nasihat Kepada Penganjur

Pihak penganjur disarankan agar menilai semula konsep dan pelaksanaan festival supaya selari dengan nilai agama, budaya serta undang-undang tempatan. Antara langkah yang boleh diambil ialah memastikan penganjuran tidak melibatkan unsur-unsur yang boleh mencetuskan maksiat seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan bahan terlarang dan hiburan melampau.

Selain itu, penganjur hendaklah menyediakan garis panduan yang jelas kepada semua pihak terlibat termasuk peserta dan artis, khususnya berkaitan etika berpakaian, tingkah laku serta had pergaulan. Kawalan keselamatan dan pemantauan yang rapi juga perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan syarak.

Penganjur juga digalakkan untuk menyelitkan elemen hiburan yang lebih sihat dan bermanfaat seperti persembahan yang berunsurkan nilai murni, kesedaran sosial dan pendidikan. Di samping itu, aspek kelestarian perlu diberi perhatian dengan mengelakkan pembaziran sumber seperti air serta memastikan program memberi impak positif kepada masyarakat setempat.

Akhirnya, pihak penganjur hendaklah peka terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, serta memastikan penganjuran acara tidak menimbulkan kontroversi atau ketegangan sosial.

Nasihat Kepada Peserta

Para peserta khususnya umat Islam hendaklah mengambil pendirian yang tegas dengan tidak menghadiri program hiburan yang jelas mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan hukum syarak. Kehadiran ke festival yang cenderung kepada pergaulan bebas, pendedahan aurat dan suasana melalaikan bukan sahaja membuka ruang kepada maksiat, malah boleh menjejaskan keimanan serta maruah diri. Oleh itu, langkah terbaik adalah dengan menjauhkan diri dan memboikot penganjuran acara sedemikian sebagai tanda tidak meredai kemungkaran.

Selain itu, umat Islam dituntut untuk sentiasa menjaga adab, akhlak dan batas pergaulan dalam apa jua keadaan. Kewajipan agama seperti menjaga aurat, memelihara pandangan serta menunaikan solat tidak boleh diabaikan atas alasan hiburan. Sebarang bentuk hiburan yang menyebabkan kelalaian terhadap Allah SWT hendaklah ditinggalkan.

Peserta juga perlu bijak dalam membuat penilaian terhadap sesuatu program. Jika terdapat unsur-unsur yang meragukan, melampau atau berpotensi membawa kepada maksiat, maka adalah lebih utama untuk menjauhinya. Prinsip mencegah kemungkaran (nahi munkar) menuntut umat Islam bukan sahaja tidak terlibat, bahkan tidak menyokong secara langsung atau tidak langsung.

Di samping itu, sikap sederhana dalam berhibur hendaklah diamalkan dengan memilih bentuk hiburan yang lebih sihat, berfaedah dan tidak bercanggah dengan nilai Islam. Mengelakkan pembaziran masa, wang dan tenaga juga merupakan sebahagian daripada tuntutan agama.

Akhirnya, umat Islam hendaklah sentiasa menjaga imej diri dan agama dengan menghormati nilai budaya serta sensitiviti masyarakat. Tindakan memboikot program yang cenderung kepada kemaksiatan bukan sahaja melindungi diri sendiri, malah menjadi satu bentuk dakwah dalam memelihara kesucian agama dan kesejahteraan masyarakat.

Nasihat Kepada Artis yang Membuat Persembahan

Para artis memainkan peranan penting sebagai ikon dan contoh kepada masyarakat, khususnya golongan muda. Oleh itu, mereka hendaklah memastikan setiap persembahan yang dibawakan tidak melanggar batas syarak serta tidak mengandungi unsur lucah, provokatif atau melampau.

Artis juga disarankan untuk menitikberatkan mesej yang disampaikan melalui karya dan persembahan agar membawa nilai positif, membina sahsiah serta tidak mendorong kepada kelalaian atau perilaku negatif. Selain menjaga penampilan dan etika berpakaian, artis perlu mengawal tingkah laku di atas pentas agar tidak mencetuskan suasana yang tidak terkawal seperti tarian bebas atau interaksi yang melampaui batas dengan penonton. Oleh itu, setiap artis dalam mahupun luar negara yang hendak membuat persembahan di dalam negara, mereka perlu mematuhi kod dan etika yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Komunikasi. Berpandukan kepada Garis Panduan Hiburan dalam Islam artis hendaklah berkeperibadian yang mulia dan mempunyai akhlak yang baik walaupun berada di luar persembahan. Seseorang artis juga tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah sama ada di bawah undang-undang syariah atau sivil.[1]

Di samping itu, penampilan seseorang artis hendaklah sentiasa sopan, beradab dan bersesuaian sama ada ketika membuat persembahan mahupun di luar persembahan. Pakaian yang dipakai perlu menutup aurat, kemas, sederhana dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam, di samping mengelakkan unsur yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton. Selain itu, tatarias, dandanan rambut dan hiasan diri hendaklah tidak menyerupai jantina berlainan serta dibuat secara sederhana mengikut kesesuaian uruf masyarakat.[2]

Kemudian, artis luar negara yang ingin membuat persembahan di Malaysia hendaklah mematuhi Garis Panduan PUSPAL yang menetapkan etika berpakaian secara sopan, bersesuaian dan menghormati nilai serta sensitiviti masyarakat setempat. Mereka dilarang memakai pakaian yang menyerupai jantina berlawanan, mencolok mata, jarang, ketat, mendedahkan bahagian sulit, memaparkan unsur lucah, politik atau perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama, kaum dan budaya. Selain itu, pakaian yang mempromosikan rokok, dadah, alkohol, ideologi politik, perkauman atau identiti seksual juga tidak dibenarkan, termasuk perbuatan menanggalkan pakaian semasa persembahan.[3]

Penutup

Penganjuran sebarang bentuk acara hiburan wajib mempertimbangkan prinsip-prinsip Maqasid Syariah, terutamanya dalam memelihara kesucian agama, akhlak, serta maruah masyarakat, agar tidak mengundang kemudaratan yang lebih besar. Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk mengamalkan sikap kesederhanaan dalam berhibur. Ini dapat dilakukan dengan memilih jenis hiburan yang sihat, membawa manfaat, dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Di samping itu, mengelakkan pembaziran masa, wang, dan tenaga adalah tuntutan agama dan juga selaras dengan dasar penjimatan yang ditekankan oleh pihak kerajaan pada masa ini. Oleh itu, tuntutan utama dalam menghadapi gelombang hiburan moden yang semakin bebas dan tanpa sempadan adalah keperluan untuk pembaharuan hiburan yang didasarkan pada nilai ketamadunan. Ini penting agar hiburan yang disajikan selari dengan prinsip akhlak, adab dan syariat. Pendekatan hiburan alternatif sebegini berupaya membentuk masyarakat yang bukan sahaja mampu berhibur, tetapi juga berfikir, berakhlak dan memikul tanggungjawab.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan: 

[1] Garis Panduan Hiburan dalam Islam, edisi Kedua (e-book: JAKIM, 2015), hlm. 8.

[2] Ibid.

[3] Unit Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), Garis Panduan Puspal Persembahan Artis Luar Negara, edisi ke-6 (e-book: Kementerian Komunikasi, 2025), hlm. 33-34.