Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-71 : UMUR NABI NUH AS DAN JARAK MASA ANTARA NABI ADAM AS DAN NUH AS.

 

 

Soalan:

Berapakah umur Nabi Nuh AS dan berapakah tempoh jarak masa antara Nabi Adam AS dan Nabi Nuh AS?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Nabi Nuh AS diutus oleh Allah SWT pada saat manusia menyembah berhala dan thaghut. Selain itu, mereka menyeru kepada kesesatan dan kekufuran. Maka Allah SWT telah mengutuskan Nabi Nuh AS sebagai sebahagian daripada rahmat-Nya. Di samping itu, Nabi Nuh AS adalah rasul yang pertama diutus ke bumi sebagaimana yang dikatakan oleh para ahli Mahsyar pada hari kiamat kelak.  Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW:

 

ائْتُوْا نُوْحًا ، فَإنَّهُ أَوَّلُ رَسُوْلٍ بَعَثَهُ اللهُ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ

Maksudnya: “ Pergilah kalian kepada nabi Nuh AS kerana Nuh AS adalah rasul pertama yang diutuskan oleh Allah SWT kepada penduduk bumi”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 6861]

 

Di dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan bahawa Nabi Nuh AS menyeru kaumnya kepada Allah SWT selama 950 tahun. Berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ الطُّوفَانُ وَهُمْ ظَالِمُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka)”. [al-‘Ankabut:14]

 

Terdapat sebuah athar yang mawquf iaitu terhenti pada sahabat RA iaitu Anas bin Malik RA:

 

جَاءَ مَلَكُ الْمَوْتِ إِلَى نُوحٍ عَلَيْهِ السَّلَامُ، فَقَالَ: يَا أَطْوَلَ النَّبِيِّينَ عُمْرًا كَيْفَ وَجَدْتَ الدُّنْيَا وَلَذَّتَهَا؟ قَالَ: كَرَجُلٍ دَخَلَ بَيْتًا لَهُ بَابَانِ، فَقَامَ فِي وَسَطِ الْبَيْتِ هُنَيَّةً، ثُمَّ خَرَجَ مِنَ الْبَابِ الْآخَرِ

Maksudnya: “Telah datang malaikat maut kepada Nabi Nuh AS, lalu berkata: “Wahai Nabi yang paling panjang umurnya! Bagaimana kamu melihat dunia dan kenikmatannya? Beliau menjawab: “Seperti seorang lelaki yang mempunyai sebuah rumah dengan dua pintu, lalu dia berdiri di tengah rumahnya sejenak, kemudian dia keluar dari pintu yang lain”. [Lihat: al-Zuhud Ibn Abi Dunia, 165]

 

Pendapat para ulama’ dalam menentukan usia Nuh AS

Antara pendapat para ulama’ yang menyatakan akan usia Nuh AS adalah:

 

  • Pendapat Pertama: Pendapat Qatadah RA bahawa umur Nabi Nuh AS adalah 950 tahun. [Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6:242]

 

  • Pendapat Kedua: Pendapat Ibn Abbas RA bahawa Nabi Nuh AS hidup selama 1050 tahun. Allah SWT telah mengutuskan Nabi Nuh AS kepada kaumnya ketika usianya 40 tahun dan Nabi Nuh AS menyeru kaumnya selama 950 tahun. Di samping itu, beliau hidup selepas daripada banjir selama 60 tahun apabila manusia mula ramai dan bertebaran. [Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6:242]

 

  • Pendapat Ketiga: Telah berkata Ka’ab bin Ahbar RA bahawa Nabi Nuh AS menyeru kaumnya selama 950 tahun dan hidup selepas daripada itu selama 70 tahun. [Lihat: Tafsir Ibn Abi Hatim, 9:3041]

 

  • Pendapat Keempat: Daripada Ikrimah RA bahawa umur Nabi Nuh AS sebelum diutuskan kepada kaumnya dan selepas diutuskan kepada kaumnya adalah 1700 tahun. [Lihat: Tafsir al-Dur al-Manthur, 6:456]

 

 

  • Pendapat Kelima: Wahab bin Munabbih berpendapat bahawa umur Nabi Nuh AS adalah 1400 tahun. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 13:332]

 

  • Pendapat Keenam: Pendapat ‘Aun bin Abi Syaddad RA bahawa umur Nabi Nuh AS adalah 1650 tahun. Allah SWT mengutus Nabi Nuh AS kepada kaumnya ketika usianya 350 tahun dan Nabi Nuh AS menyeru kaumnya selama 950 tahun. Di samping itu, beliau hidup selepas daripada itu selama 350 tahun. [Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6:242]

 

Tarjih

Setelah kami meneliti dan menekuni pendapat-pendapat di atas, kami cenderung untuk tidak mentarjihkan mana-mana pendapat. Ini kerana, hal ini melibatkan perkara yang bersifat ghaib dan ia memerlukan dalil yang kuat lagi sahih untuk kita berpegang dengan sesuatu pendapat tetapi mereka semua meyakini bahawa Nabi Nuh AS dikurniakan usia yang amat panjang oleh Allah SWT. Walaupun begitu, sebahagian para ulama’ antaranya Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa pendapat Ibn Abbas RA adalah yang paling hampir atau dekat (dengan kebenaran).

 

Namun begitu, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui akan hakikat sebenar sesuatu perkara. Antara tujuan utama Allah SWT menceritakan kisah-kisah para rasul dan juga kisah-kisah umat terdahulu di dalam al-Quran adalah untuk kita mengambil pengajaran dan iktibar daripada kisah tersebut.

 

Berdasarkan firman Allah SWT:

 

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, pada kisah-kisah mereka (para rasul) itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran”. [Yusuf:111]

 

Selain itu, Allah SWT juga berfirman:

 

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَعِبْرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya)”. [al-Nazi’at:26]

 

Tempoh masa antara Nabi Adam AS dan Nabi Nuh AS

Antara dalil yang menceritakan akan tempoh masa antara Nabi Adam AS dan Nabi Nuh AS adalah:

  • Daripada Umamah RA bahawa seorang lelaki telah berkata:

 

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَبِيٌّ كَانَ آدَمُ؟ قَالَ: نَعَمْ، مُكَلَّمٌ، قَالَ: فَكَمْ كَانَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ نُوحٍ؟ قَالَ: عَشَرَةُ قُرُونٍ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, apakah Adam itu termasuk daripada seorang Nabi?” Baginda SAW bersabda, “Benar.” Lelaki itu bertanya lagi, “Berapa jarak antara Adam AS dengan Nuh AS?” Rasulullah SAW bersabda: “10 kurun”. [Lihat: Sahih Ibn Hibban,  no. Hadith 6190]

 

  • Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

كَانَ بَيْنَ نُوحٍ وَآدَمَ عَشَرَةُ قُرُونٍ

Maksudnya: “Adapun antara Nuh AS dan Adam AS sepuluh kurun”. [Lihat: al-Mustadrak, 2:296] [al-Hakim mengatakan bahawa hadith ini sahih berdasarkan syarat al-Bukhari tetapi al-Bukhari tidak meletakkannya di dalam sahihnya]

 

Berdasarkan kedua hadith atau riwayat ini, kita dapat menyimpulkan bahawa jarak antara Adam AS dan Nuh AS adalah sebanyak sepuluh kurun iaitu bersamaan 1000 tahun.

 

Ulu al-‘Azmi Daripada Kalangan Rasul

Ulul azmi adalah gelaran yang diberikan kepada para rasul yang memiliki kedudukan yang tinggi disebabkan ketabahan dan kesabaran mereka yang luar biasa dalam menyebarkan agama kepada kaumnya.

 

Para ulama’ menyatakan terdapat lima orang daripada kalangan rasul yang diberi gelaran sebagai ulu al-‘Azmi sebagimana di dalam surah al-Ahqaf.

 

 

Berdasarkan firman Allah SWT:

 

فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ

Maksudnya: “(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul "Ulil-Azmi" (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu)”. [al-Ahqaf:35]

 

Telah berkata Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudnya dengan rasul ulu al-‘Azmi ialah lima orang: [Lihat: Adhwa’ al-Bayan, 6:233]

  • Nuh AS
  • Ibrahim AS
  • Musa AS
  • Isa AS
  • Muhammad SAW

 

Hal ini disebut di dalam al-Quran, berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَإِذْ أَخَذْنَا مِنَ النَّبِيِّينَ مِيثَاقَهُمْ وَمِنكَ وَمِن نُّوحٍ وَإِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۖ وَأَخَذْنَا مِنْهُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “(Teruslah bertaqwa kepada Kami) dan (ingatlah) ketika Kami mengambil daripada Nabi-nabi (umumnya) perjanjian setia mereka, dan (khasnya) daripada engkau sendiri (wahai Muhammad SAW) dan juga daripada Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS serta Nabi Isa ibni Maryam. Dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian setia yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka)”. [al-Ahzab:7]

 

Penutup

Kesimpulannya, Nabi Nuh AS merupakan antara nabi dan rasul yang dikurniakan oleh Allah SWT usia yang panjang. Di samping itu, Nabi Nuh AS diberikan gelaran dan kedudukan yang istimewa disebabkan kesabarannya dalam menyampaikan agama Allah SWT selama 950 tahun. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufik dan hidayah-Nya dalam meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini. Amin.