Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-127 : UMUR AISYAH RA

 

 

Soalan:

Berapakah umur Aisyah RA ketika mengahwini Nabi SAW ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, isu usia Aisyah RA ketika mengahwini Rasulullah SAW telah menjadi satu polemik dalam kalangan masyarakat Islam khususnya. Ini kerana, terdapat sebahagian pihak yang mendapati setelah melakukan kajian terhadapa isu ini bahawa usia sebenar Aisyah RA ketika mengahwini Nabi SAW adalah enam belas tahun bukannya enam tahun. Sebelum kami membahaskan berkaitan umur sebenar Aisyah RA, suka bagi kami untuk nyatakan biografi ringkas salah seorang isteri Nabi SAW yang mulia dan merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW yang banyak menghafal hadith-hadith daripada Rasulullah SAW.

 

Biografi Ringkas Aisyah RA

Ummu al-Mukminin Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq RA, beliau ialah puteri kepada khalifah pertama umat Islam. Kuniyyah beliau ialah Ummu Abdillah iaitu dengan nama anak saudaranya iaitu Abdullah bin Zubair. Beliau dilahirkan di Kota Mekah empat tahun sebelum Nabi Muhammad SAW dilantik sebagai Rasul dan beliau telah memeluk Islam ketika masih kecil.

 

Di samping itu, beliau merupakan antara isteri yang sangat disayangi dan dicintai  oleh baginda SAW sebagaimana diceritakan oleh Amr bin al-Asr RA:

 

Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW : “Siapakah manusia yang paling engkau kasih ? Rasulullah SAW menjawab : Aisyah RA. Aku bertanya lagi : Kalau dalam kalangan lelaki ? Rasulullah SAW menjawab : Ayahnya (Abu Bakar RA)”.

 

Selain itu, beliau merupakan salah seorang isteri Rasulullah SAW yang faqih, alim, cerdik dan banyak meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SAW iaitu sebanyak 1210 hadith. Ini kerana, beliau juga merupakan tempat rujukan para sahabat RA yang besar dalam bertanya soalan berkaitan agama seperti fiqh, faraidh dan perkara-perkara yang berkaitan dengan amalan Rasulullah SAW ketika berada di dalam rumah. Hal ini diceritakan oleh Urwah bin Zubair RA:

 

“Aku tidak pernah melihat orang yang lebih faqih di dalam ilmu agama, perubatan dan syair berbanding Aisyah RA”.

 

Walaupun saidatina Aisyah RA memiliki ketinggian ilmu pengetahuan, beliau turut bersama-sama para sahabat yang lain memainkan peranan penting dalam proses pendidikan dan pembentukan masyarakat ketika itu. Rasulullah SAW wafat ketika usianya 18 tahun dan beliau hidup selepas kewafatan Baginda selama 40 tahun.

 

Antara kisah yang masyhur tentang Aisyah ialah kisah beliau dituduh melakukan zina dengan seorang sahabat bernama Safwan bin al-Mu‘attal al-Sulami selepas berlakunya perang bani al-Mustaliq. Kisah ini telah dirakam di dalam al-Qur’an :

 

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar”. [An-Nur: 11]

 

Pujian Dan Kelebihan Aisyah RA

Antara Pujian Dan Kelebihan Aisyah RA adalah:

 

  • Atha’ RA telah berkata : “Aisyah RA adalah antara orang yang faqih, orang yang paling tahu tentang sesuatu perkara dan orang yang paling baik dalam memberi pendapat”.

 

  • Apabila Masruq RA berkata tentang Aisyah RA : “Telah berkata kepadaku as-Siddiqah anak kepada as-Siddiq, kekasih Rasulullah SAW yang dibebaskan daripada langit”.

 

  • Al-Zuhri RA telah berkata : “Jika dihimpunkan ilmu Aisyah RA dengan ilmu para isteri Nabi SAW dan ilmu wanita-wanita lain, nescaya ilmu Aisyah RA itu lebih baik”.

 

Kewafatan Aisyah RA

Aisyah RA meninggal dunia di kota Madinah pada tahun 57 hijrah. Beliau telah dimaqamkan di perkuburan al-Baqi’ selepas solat witir pada bulan ramadhan. Abu Hurairah RA telah menyembahyangkan jenazahnya yang ketika itu beliau adalah Gabenor di kota Madinah pada zaman pemerintahan Marwan bin al-Hakam. Dikatakan terdapat lima orang sahabat yang telah turun ke kubur Aisyah RA, mereka ialah Abdullah bin al-Zubair, Urwah bin al-Zubair, al-Qasim bin Muhammad, Abdullah bin Muhammad bin Abi Bakar dan Abdullah bin Abdulrahman bin Abi Bakar.

 

Matan Hadith

Setelah kita mengenali serba sedikit berkenaan latar belakang Aisyah RA, kami mulakan perbahasan berkaitan umur Aisyah RA ketika mengahwini Rasulullah SAW dengan mendatangkan beberapa hadith yang menceritakan akan hal tersebut. Antara hadith-hadith yang menceritakan berkaitan umur Aisyah RA adalah:

 

  • Diriwayatkan daripada Aisyah RA, bahawa beliau berkata:

 

تَزَوَّجَنِي رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّمَ لِسِتِّ سِنِيْنَ . وَبَنَى بِيْ وَأَنَا بِنْتُ تِسْعِ سِنِيْنَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun dan baginda SAW telah bersamaku ketika umurku sembilan tahun”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 2547]

 

تَزَوَّجَنِي النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم وَأَنَا بِنْتُ سِتِّ سِنِيْنَ

Maksudnya: “Nabi SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 3605]

 

تَزَوَّجَنِي وَأَنَا بِنْتُ سَبْعٍ أَوْ سِتٍّ

Maksudnya: “Telah menikahiku (Nabi SAW) ketika umurku tujuh atau enam (tahun)”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 4285][Imam Abu Daud tidak memberi komentar terhadap hadith ini]

 

تَزَوَّجَنِي رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّمَ وَأَنَا بِنْتُ سِتٍّ ، وَدَخَلَ عَلَيَّ وَأَنَا بِنْتُ تِسْعِ سِنِيْنَ ، وَكُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun dan baginda SAW telah bersamaku ketika umurku sembilan tahun dan ketika itu aku masih bermain-main dengan budak perempuan yang kecil”. [Riwayat al-Nasa’ie, no. Hadith 3325][Hadith ini dinilai sahih oleh Ibn Hibban di dalam Sahih Ibn Hibban]

 

Pendapat ulama’ berkaitan umur Aisyah RA ketika mengahwini Rasulullah SAW

Antara pendapat para ulama’ dalam masalah ini adalah:

 

  • Imam Ibn Kathir RA

“Rasulullah SAW telah mengahwini Aisyah RA tiga tahun selepas kematian Khadijah RA. Pada ketika itu umur Aisyah RA enam tahun dan Rasulullah SAW telah bersamanya ketika beliau berumur sembilan tahun”. [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 3:161]

 

  • Imam Ibn al-Athir RA

“Rasulullah SAW telah mengahwini Aisyah RA dua tahun sebelum hijrah dan pada waktu itu Aisyah RA masih dara sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Ubaidah”. Dikatakan juga tiga tahun (sebelum hijrah). Telah berkata al-Zubair Rasulullah SAW telah mengahwini Aisyah RA tiga tahun selepas kematian Khadijah RA dan Khadijah RA telah wafat tiga tahun sebelum hijrah dan dikatakan empat tahun dan juga dikatakan lima tahun. Pada waktu itu, umur Aisyah RA adalah enam tahun ketika Rasulullah SAW mengahwininya  dan dikatakan tujuh tahun. Di samping itu, Rasulullah SAW telah bersamanya ketika Aisyah RA berumur sembilan tahun di Madinah”. [Lihat: Usd al-Ghabah, 7:205]

 

  • Imam Ibn Abd al-Bar RA

“Aisyah bin Abi Bakr al-Siddiq RA telah bernikah di Makkah sebelum daripada Saudah RA dan dikatakan selepas Saudah RA. Telah berlaku ijma’ bahawa Nabi SAW tidak bersama dengan Aisyah RA melainkan di Madinah, dikatakan pada tahun berlakunya hijrah dan dikatakan juga tahun kedua hijrah pada bulan Syawal. Pada ketika itu, umurnya adalah sembilan tahun dan ketika beliau dinikahi umurnya adalah enam tahun dan dikatakan tujuh tahun”. [Lihat: al-Isti’ab, 1:44]

 

  • Imam al-Zahabi RA

“Nabi SAW telah mengahwini Aisyah RA sebelum baginda SAW berhijrah selepas kewafatan Khadijah binti Khuwailid RA. Ia berlaku lebih kurang sepuluh bulan sebelum hijrah dan dikatakan dua tahun (sebelum hijrah). Baginda SAW telah bersamanya pada bulan Syawal tahun kedua selepas pulang daripada perang Badar dan pada ketika itu umur Aisyah RA sembilan tahun”. [Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’, 2:136]

 

Hujah Para Ulama’ Yang Mengatakan Bahawa Aisyah RA Mengahwini Rasulullah SAW Ketika Berusia Enam Tahun Atau Tujuh Tahun

 

Antara hujah para ulama’ adalah:

 

  • Hadith yang menceritakan berkaitan umur Aisyah RA ini terdapat di dalam Sahihayn iaitu Sahih al-Bukhari dan Muslim yang telah disepakati oleh umat Islam akan kesahihan kedua buah kitab tersebut.

 

  • Hadith ini mempunyai jalur-jalur yang lain dan ia (hadith) bukan datang daripada Hisyam bin Urwah sahaja dan juga bukan datang melalui jalur orang Iraq sahaja sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian pihak.

 

  • Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasaie, Aisyah RA menceritakan bahawa “aku masih bermain-main dengan budak perempuan yang kecil”. Ini menunjukkan bahawa pada ketika itu, usia Aisyah RA masih kecil.

 

  • Di dalam kitab-kitab sejarah yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah, al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashab, Usd al-Ghabah, Siyar al-A’lam al-Nubala’ dan lain-lain lagi menyatakan bahawa usia Aisyah RA ketika mengahwini Nabi SAW adalah enam tahun seperti yang kami nyatakan di atas.

 

  • Riwayat ini diceritakan sendiri oleh Aisyah RA dan bukannya daripada orang lain. Ini kerana, Aisyah RA yang lebih tahu akan dirinya berbanding orang lain.

 

Tarjih

Setelah kami melihat dan menekuni pendapat para ulama’ dalam masalah ini, kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa Aisyah RA telah dikahwini oleh baginda Rasulullah SAW ketika berumur enam atau tujuh tahun berdasarkan hadith-hadith yang terdapat di dalam Sahihayn (al-Bukhari dan Muslim) dan juga di dalam al-Sunan al-Arba’ah. Di samping itu, beliau telah bersama dengan Rasulullah SAW ketika berumur sembilan. Ini kerana, perkahwinan di usia yang muda bukanlah merupakan perkara atau tradisi yang ganjil pada waktu itu. Jika benar Rasulullah SAW telah melakukan perkara yang dianggap melanggar adat, tradisi dan suasana pada waktu itu, nescaya Rasulullah SAW akan dihina dan dikeji oleh masyarakat dan kaum mushrikin pada waktu itu disebabkan perbuatan baginda SAW.

 

Penutup

Kesimpulannya, polemik berkaitan usia Aisyah RA ketika mengahwini Rasulullah SAW muncul pada zaman mutaakhir ini. Tambahan pula, bagaimana kita ingin menolak sesuatu riwayat atau hadith yang terdapat di dalam dua buah kitab yang telah menjadi ijma’ umat Islam bahawa tidak ada selepas al-Quran kitab yang paling sahih melainkan Sahih al-Bukhari dan juga Sahih Muslim. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapat syurga Allah SWT. Amin.

 

Wallahua’lam