Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-24: Isu pentashihan hadis oleh ulama kontemporari dan adakah dalam Sahih Bukhari terdapat riwayat yang lemah.

Persoalan :

 

Apa pendapat ustaz berkaitan pentashihan hadis oleh ulama kontemporari? Adakah di dalam sahih al-Bukhari hadis-hadis yang lemah pada usul ?

 

Jawapan :

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad Ijaj al-Khatib dari bukunya yang bertajuk al-Sunnah al-Nabawiyyah, inilah jawapannya :

 

  • Ijmak ulama imam-imam daripada ahli hadis bahawa setiap hadis yang berada di dalam sahih al-Bukhari adalah hadis yang sahih yang bersambung kepada Rasulullah SAW dan umat ini telah menerima dan mengakui akan hal tersebut. Jika sebahagian daripada mereka mengatakan terdapat hadis-hadis di dalam sahih al-Bukhari yang tidak menepati syarat-syarat al-Bukhari, maka hal ini telah dijawab oleh Syeikh al-Islam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Hadyu al-Sari yang mana al-Hafiz Ibn Hajar menjadikannya sebagai muqaddimah di dalam kitab Fath al-Bari.

 

  • Sebahagian pengkaji mengatakan bahawa sebahagian hadis yang dimuatkan oleh al-Bukhari di dalam sahihnya dengan mengatakan “ini adalah hadis yang sahih”. Untuk itu, ini menyebabkan sesetangah orang merasakan bahawa terdapat hadis-hadis yang tidak sahih. Ini adalah pandangan yang bertentangan dengan kebenaran.

 

  • Dalam masalah pentashihan ulama kontemporari dilihat jauh antara ulama yang bermudah-mudah dalam menghukum dan ulama yang keras dan ketat dalam berhukum. Masalah menghukum hadis itu sahih atau dha`if secara umumnya perlulah menepati manhaj ilmu. Pada asalnya, masalah mengsahih dan mengdha`ifkan ialah perlu kepada penelitian dan pelajaran. Untuk itu, terdapat sebuah kajian berdasarkan tajuk atau kajian tematik yang ditulis oleh Dr. Abdul Razzaq bin Khalifah yang bertajuk “Masalah Tashih (pengsahihan) dan Tahsin (menghasankan) pada zaman kini”.

 

Kesimpulannya: Dalam masalah mensahikan dan menghasankan hadis-hadis dan juga menghukum hadis-hadis sebagai dha`if atau maudhu’ adalah perkara yang mugkin bagi ulama-ulama yang pakar dalam bidang hadis dan cukup syarat-syarat yang ditetapkan. Antara perkara-perkara yang diperlukan oleh seorang mujtahid ialah mempunyai sifat yang adil, mempunyai ilmu di dalam kaedah jarh wa ta’dil (menghukum perawi), mengetahui manhaj-manhaj ulama terdahulu dan lain-lain lagi. Kesemua perkara-perkara ini perlu dipelajari dengan begitu dalam. Untuk itu, ini bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia perlu juga melihat kepada ilmu rijal (ilmu berkaitan perawi-perawi) bagi mengetahui akan hal setiap perawi di dalam sanad bukan hanya melihat dan mengambil sebahagian kata-kata ulama sahaja, bahkan setiap mujtahid itu perlu melihat kepada keseluruhannya sebelum menjatuhkan sesuatu hukum. Di samping itu, jika terdapat sebuah hadis yang tidak dinyatakan akan hukumnya samada ia sahih atau hasan maka ia tidak boleh dijadikan hujjah melainkan setelah dilihat dan dikaji dengan melihat kepada hal keadaan setiap perawi dan dalam masa yang sama perlu menghimpunkan keseluruhan riwayat, mutaba’at dan syawahid. Jika ini tidak berlaku, maka cukuplah kita hanya berpegang pada pendapat imam-imam terdahulu dalam menghukum hadis tersebut. 

Semoga pencerahan ini dapat memberi kefahaman yang baik kepada kita semua. Amin.

Wallahua`lam.