Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-35 : Kisah Mariah al-Qibtiyyah

Soalan :

Apakah benar Rasulullah SAW menceraikan Hafsah disebabkan hambanya yang bernama Mariah al-Qibtiyyah dan apakah benar kisah ini merupakan sebab kepada turunnya surah al-Tahrim ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang dinyatakan, kami telah melakukan sedikit penelitian terhadap kisah yang dinyatakan ini. Untuk itu, kami nyatakan hasil penelitian kami terhadap kisah ini. Sebelum kami nyatakan sumber kisah ini, kami mulakan dengan biografi ringkas Mariah al-Qibtiyyah.

 

Biografi Ringkas Mariah al-Qibtiyyah serta kisahnya bersama Rasulullah SAW dan Hafsah RA

Nama beliau ialah Mariah binti Syam’un, beliau merupakan seorang hamba yang dihadiahkan oleh pembesar Mesir iaitu al-Muqawqas kepada Rasulullah SAW. Beliau juga dikenali sebagai Mariah al-Qibtiyyah kerana beliau berasal daripada Qibt (Mesir). Di samping itu, beliau mempunyai seorang anak lelaki bersama Rasulullah SAW iaitu Ibrahim, namun begitu anak beliau wafat ketika masih kecil.

 

Tambahan pula, Mariah telah datang ke Madinah pada tahun ke-7 hijrah dan pada tarikh tersebut juga beliau telah memeluk Islam. Selain itu, Mariah merupakan seorang wanita yang sangat menjaga kelakuannya dan sentiasa mengharapkan keredhaan Nabi SAW. Beliau  telah wafat pada tahun 16 Hijrah ketika zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab.

 

Setelah mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan Mariah al-Qibtiyyah ini, maka kami akan menyatakan sumber kisah seperti yang diterkandung  di dalam soalan di atas. Kisah ini telah diriwayatkan atau diceritakan oleh Dhahhak RA:

 

أَنَّ حَفْصَةَ أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، زَارَتْ أَبَاهَا ذَاتَ يَوْمٍ وَكَانَ يَوْمَهَا، فَلَمَّا جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَرَهَا فِي الْمَنْزِلِ، أَرْسَلَ إِلَى أَمَتِهِ مَارِيَةَ الْقِبْطِيَّةِ، فَأَصَابَ مِنْهَا فِي بَيْتِ حَفْصَةَ، وَجَاءَتْ حَفْصَةُ عَلَى تِلْكَ الْحَالِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَتَفْعَلُ هَذَا فِي بَيْتِي وَفِي يَوْمِي؟ قَالَ: «فَإِنَّهَا عَلَيَّ حَرَامٌ، وَلَا تُخْبِرِي بِذَاكَ أَحَدًا» . فَانْطَلَقَتْ إِلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا فَأَخْبَرَتْهَا بِذَلِكَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ}إِلَى قَوْلِهِ: {وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِينَ} فَأُمِرَ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْ يَمِينِهِ، وَيُرَاجِعَ أَمَتَهُ".

Maksudnya: “Bahawa Hafsah telah menziarahi ayahnya pada suatu hari dan ketika itu adalah gilirannya bersama Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW pulang ke rumah, Baginda SAW tidak melihatnya di rumah. Kemudian Baginda SAW mengutuskan kepada hambanya Mariah al-Qibtiyyah. Setelah itu, Rasulullah SAW telah bersama dengannya di rumah Hafsah (menggaulinya). Tidak lama kemudian, Hafsah pulang ketika Rasulullah SAW dalam keadaan tersebut. Hafsah berkata: “Wahai Rasulullah SAW, adakah engkau melakukan hal ini di rumahku dan ketika giliranku?”. Maka Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya dia (Mariah) haram ke atasku dan janganlah engkau memberitahu kepada sesiapa akan hal ini”. Hafsah keluar ke rumah Aisyah RA lalu menceritakan apa yang telah berlaku. Setelah itu, turunnya ayat Allah SWT “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu” sehingga firman Allah SWT “serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman”  lalu Baginda SAW diminta untuk membayar kafarah di atas sumpahnya dan kembali kepada hambanya”. [Lihat: Sunan Said bin Mansur, 1:438]

 

Selain itu, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW:

أنَّ رسولَ اللهِ كانت له أمَةٌ يطؤُها ، فلم تزَلْ به عائشةُ وحفصةُ ، حتَّى حرَّمها على نفسِه ، فأنزل اللهُ عزَّ وجلَّ يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ إلى آخرِ الآيةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW memiliki seorang hamba yang baginda bersama dengannya (menggaulinya), Aisyah serta Hafsah masih berada bersama beliau hingga beliau mengharamkan ke atas diri baginda. Kemudian Allah SWT “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu” sehingga akhir ayat”. [Riwayat Nasai’e, kitab Menggauli isteri, bab Cemburu, no. Hadis 3897]

Kisah ini juga ada disebut di dalam surah al-Tahrim:

 

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكَ ۖ تَبْتَغِي مَرْضَاتَ أَزْوَاجِكَ ۚ وَاللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١﴾ قَدْ فَرَضَ اللَّـهُ لَكُمْ تَحِلَّةَ أَيْمَانِكُمْ ۚ وَاللَّـهُ مَوْلَاكُمْ ۖ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ ﴿٢﴾ وَإِذْ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلَىٰ بَعْضِ أَزْوَاجِهِ حَدِيثًا فَلَمَّا نَبَّأَتْ بِهِ وَأَظْهَرَهُ اللَّـهُ عَلَيْهِ عَرَّفَ بَعْضَهُ وَأَعْرَضَ عَن بَعْضٍ ۖ فَلَمَّا نَبَّأَهَا بِهِ قَالَتْ مَنْ أَنبَأَكَ هَـٰذَا ۖ قَالَ نَبَّأَنِيَ الْعَلِيمُ الْخَبِيرُ ﴿٣﴾ إِن تَتُوبَا إِلَى اللَّـهِ فَقَدْ صَغَتْ قُلُوبُكُمَا ۖ وَإِن تَظَاهَرَا عَلَيْهِ فَإِنَّ اللَّـهَ هُوَ مَوْلَاهُ وَجِبْرِيلُ وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah SWT bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredhaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah SWT ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah SWT sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(1) Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri daripada sumpahmu (dengan membayar denda - kaffarah) dan Allah SWT jualah Pelindung yang mentadbir keadaanmu dan Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(2) Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu sesuatu perkara secara rahsia kepada salah seorang daripada isteri-isterinya. Kemudian isterinya itu menceritakan rahsia tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah SWT menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (daripada rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: "Siapakah yang memberitahu hal ini kepada tuan? " Nabi menjawab: "Aku diberitahu oleh Allah SWT Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi) ".(3) Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah SWT (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi) dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah SWT adalah Pembelanya dan selain daripada itu Jibril serta orang-orang yang soleh daripada kalangan orang-orang yang beriman”.(4) [Surah al-Tahrim, 1-4]

 

 

 

Persoalan

Benarkan Rasulullah SAW menceraikan Hafsah RA disebabkan hambanya Mariah al-Qibtiyyah?

 

Jawapan: Tidak benar, sebab Rasulullah SAW menceraikan Hafsah disebabkan Hafsah RA tidak mentaati apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW agar tidak memberitahu kepada sesiapa supaya perkara ini tidak tersebar. Hal ini, disebut oleh Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat pertama di dalam surah al-Thalaq, firman Allah SWT:

 

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ رَبَّكُمْ ۖ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ ۚ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّـهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَٰلِكَ أَمْرًا

Maksudnya: “Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah SWT, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah SWT (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah SWT maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah SWT akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain)”. [al-Thalaq : 1]

 

Imam al-Qurthubi mengatakan bahawa ayat ini diturunkan menunjukkan bahawa Allah SWT berbicara dengan Nabi SAW walaupun lafaz yang digunakan menunjukkan ramai bagi memuliakan dan  mengangkat darjat Rasulullah SAW. Di dalam sunan Abu Daud dan Ibn Majah, bahawa Umar bin al-Khattab mengatakan Rasulullah SAW telah menceraikan Hafsah tetapi Baginda SAW merujuknya semula (dengan Hafsah RA).

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَّقَ حَفْصَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ثُمَّ رَاجَعَهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menceraikan Hafsah RA kemudian merujuknya semula”. [Riwayat Abu Daud, kitab Talak, bab Penjelasan tentang rujuk, no. Hadis 1943, Riwayat Ibn Majah, kitab Talak, bab Suwaid bin Said menceritakan kepada kami, no. Hadis 2006]

Telah berkata al-Kalbi: Sebab turunnya ayat ini (ayat pertama di dalam surah al-Thalaq) adalah disebabkan Rasulullah SAW marah dengan Hafsah apabila Baginda SAW memintanya untuk mendiamkan apa yang Baginda SAW ceritakan kepadanya tetapi dia (Hafsah) telah menceritakannya kepada Aisyah RA maka Nabi SAW menceraikannya dengan satu talak. Oleh sebab itu, turunnya ayat ini. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 18:148]

Para ulama’ juga mengatakan antara sebab lain Rasulullah SAW menceraikan Hafsah RA adalah untuk memberi pengajaran kepadanya.

 

Takhrij dan hukum kisah ini

Hadis berkaitan kisah ini diriwayatkan oleh al-Nasa’ie dan al-Hakim telah mensahihkan hadis Anas bin Malik RA. Selain itu, Abu Daud juga telah meriwayatkan kisah ini di dalam al-Marasil daripada jalur Qatadah. Dengan kesemua jalur kisah yang ada, jelas menunjukkan bahawa kisah ini mempunyai asalnya, tidak seperti yang didakwa oleh al-Qadhi ‘Iyadh bahawa kisah ini datang daripada jalur yang tidak sahih sedangkan beliau terlepas pandang terhadap riwayat al-Nasa’ie maka dengan riwayat tersebut sudah cukup untuk mengatakan bahawa kisah ini mempunyai asalnya. [Lihat: al-Talkhis al-Habir, 3:446]

 

Tarjih

Setelah kami meneliti dan menekuni kisah ini, maka kami berpendapat bahawa kisah ini mempunyai asalnya, berdasarkan hadis yang terdapat di dalam sunan al-Nasa’ie. Walaupun begitu, ia perlulah dilihat dengan kacamata yang benar agar segala syubhah yang dilontarkan atau cuba dikaitkan terhadap Rasulullah SAW dapat ditolak. Berikut adalah bukti bahawa syubhah yang cuba dikaitkan terhadap Rasulullah SAW adalah tidak benar dan syubhah ini disebarkan bagi menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengkhianati isteri-isterinya:

 

  • Mariah al-Qibtiyyah adalah hamba Rasulullah SAW dan tidak menjadi kesalahan di dalam Islam seorang tuan menggauli hambanya. Antara contoh lain Nabi Ibrahim AS juga mempunyai seorang hamba iaitu Siti Hajar dan Nabi Ibrahim AS mempunyai zuriat bersama dengannya. Untuk itu, Nabi SAW tidak melakukan kesalahan dan jauh sekali untuk mengkhianati isterinya Hafsah RA dan juga isteri-isteri Baginda SAW yang lain.
  • Merujuk kepada kata-kata Hafsah RA: “Wahai Rasulullah SAW, adakah engkau melakukan hal ini (menggauli Mariah) di rumahku dan ketika giliranku?”. Kata-kata ini menunjukkan seolah-olah Hafsah RA mengingkari perbuatan Rasulullah SAW dan tidak meredhai apa yang Baginda SAW telah lakukan bersama Mariah. Hal ini tidak benar sama sekali, Hafsah RA berkata sedemikian kerana cemburu melihat perbuatan Rasulullah SAW bersama Mariah bukannya mengingkari apa yang dilakukan oleh Baginda SAW. Antara bukti yang mengatakan bahawa Hafsah RA tidak mengingkari perbuatan Rasulullah SAW ialah apabila Hafsah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Mengapakah engkau (Rasulullah SAW mengharamkan apa yang telah halal ke atasmu?”. Ini jelas menunjukkan bahawa Hafsah mengetahui bahawa Mariah adalah halal buat Baginda SAW.
  • Nabi SAW telah mengharamkan Mariah ke atas dirinya adalah untuk kebaikan isteri-isterinya dan ini menunjukkan sikap dan akhlak yang baik ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
  • Allah SWT telah menggunakan panggilan yang mulia iaitu, “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah SWT bagimu”. Para ahli tafsir menyatakan bahawa Allah SWT menggunakan panggilan “Wahai Nabi” adalah untuk menunjukkan kemuliaan dan ketinggian darjat Rasulullah SAW. Jika Allah SWT murka terhadap perbuatan Rasulullah SAW yang dikatakan telah mengkhianati isterinya, nescaya Allah SWT tidak akan menggunakan panggilan yang mulia seperti itu.

Berkaitan dengan sebab turunnya ayat di dalam surah al-Tahrim ini, para ulama dan ahli tafsir telah berbeza pendapat. Terdapat dua sebab yang masyhur:

 

  • Pertama: Kisah Nabi SAW mengharamkan Mariah al-Qibtiyyah sepertimana yang kami nyatakan di atas.

 

  • Kedua: Kisah Nabi SAW mengharamkan madu ke atas dirinya untuk kebaikan isteri-isterinya. Kisah ini ada disebut di dalam hadis yang sahih, yang diriwayatakan oleh Imam al-Bukhari. Aisyah RA berkata :

 

كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يشرَبُ عسلًا عِندَ زينبَ بنتِ جحشٍ، ويمكُثُ عِندَها، فواطَيتُ أنا وحفصَةُ على : أيَّتُنا دخَل عليها فلتقُلْ له : أكَلتَ مَغافيرَ، إني أجِدُ منك رِيحَ مَغافيرَ، قال: (لا، ولكني كنتُ أشرَبُ عسلًا عِندَ زينبَ بنتِ جحشٍ، فلن أعودَ له، وقد حلَفتُ، لا تُخبِري بذلك أحدًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW meminum madu di rumah Zainab binti Jahsh RA (isteri Nabi SAW) dan Baginda SAW bermalam dirumahnya (rumah Zainab). Lalu aku (Aisyah RA) dan Hafsah RA berpakat untuk mengatakan sesiapa di antara kita yang bertemu dengan Rasulullah SAW dahulu perlu berkata kepada Baginda SAW : Adakah engkau makan buah Maghafir ? Sesungguhnya aku mendapati bau Maghafir daripada engkau ?”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Tidak, aku telah meminum madu di tempat Zainab binti Jahsh, namun aku tidak akan kembali lagi padanya. Aku telah bersumpah dan janganlah engkau menyampaikan hal ini kepada seorang pun”.

[Riwayat al-Bukhari, kitab Tafsir al-Qur’an, bab Surah al-Tahrim ayat 1, no. Hadis 4531]

Kami berpendapat bahawa sebab turunnya awal ayat di dalam surah al-Tahrim adalah disebabkan kisah yang kedua ini dan ini juga adalah pendapat Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya ketika menafsirkan ayat pertama di dalam surah al-Tahrim ini. Kata Imam Ibn Kathir: “Kisah yang pertama itu adalah gharib (ganjil) dan yang sahihnya adalah kisah yang kedua iaitu Nabi SAW mengharamkan madu ke atasnya kerana ia diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam sahihnya”. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 8:182]

 

Penutup

Kesimpulannya, kita boleh menceritakan kisah ini tetapi kita perlu berhati-hati dalam menyampaikannya agar tidak berlaku sebarang syubhah terhadap Rasulullah SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita seorang muslim yang mempunyai sifat dan akhlak yang terpuji sepertimana yang diajar dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Amin.

Wallahua`lam.