Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-228: DAHULUKAN BUAH KETIKA MAKAN

Soalan: Apakah terdapat hadith menceritakan perlu didahulukan buah-buahan ketika makan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak mendapati hadith sahih dan jelas yang menuntut agar didahulukan memakan buah-buahan sebelum memakan makanan yang lain. Akan tetapi, perkara ini ada dinyatakan oleh para ulama’ terdahulu antaranya:

 

  • Imam al-Ghazali Rahimahullah:

 

تَرْتِيبُ الْأَطْعِمَةِ بِتَقْدِيمِ الْفَاكِهَةِ أَوَّلًا إِنْ كَانَتْ فَذَلِكَ أَوْفَقُ فِي الطِّبِّ فَإِنَّهَا أَسْرَعُ اسْتِحَالَةً فَيَنْبَغِي أَنْ تَقَعَ فِي أَسْفَلِ الْمَعِدَةِ وَفِي الْقُرْآنِ تَنْبِيهٌ عَلَى تَقْدِيمِ الْفَاكِهَةِ

Maksudnya: “Turutan cara makan yang dianjurkan adalah dengan mendahulukan memakan buah kerana itu sesuai dengan ilmu kedoktoran. Tambahan pula, ia (buah) lebih cepat dicerna maka lebih baik buah berada di bahagian bawah perut (berbanding makanan yang lain). Di dalam al-Qur’an terdapat peringatan agar mendahulukan memakan buah.” [Lihat: Ihya’ ‘Ulum al-Din, 16/2]

 

Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan sebuah hadith di dalam sahih Muslim iaitu hadith yang menceritakan ketika Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar keluar pada waktu malam untuk mencari makan lalu mereka telah bertandang ke rumah Abi Haitham. Lalu Abu Haitham memberi mereka makan kurma terlebih dahulu. Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah:

 

وَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى اسْتِحْبَابِ تَقْدِيمِ الْفَاكِهَةِ عَلَى الْخُبْزِ وَاللَّحْمِ وَغَيْرِهِمَا

Maksudnya: “Hadith ini sebagai dalil dianjurkannya mendahulukan makan buah-buahan sebelum memakan roti, daging dan selain daripada keduanya.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 213/13]

 

Di samping itu, sebahagian ulama’ menggunakan ayat al-Qur’an sebagai dalil dianjurkan didahulukan memakan buah-buahan berbanding yang lain, iaitu:

 

  • Firman Allah SWT:

 

(وَفَاكِهَةٍ مِّمَّا يَتَخَيَّرُونَ ﴿٢٠﴾ وَلَحْمِ طَيْرٍ مِّمَّا يَشْتَهُونَ ﴿٢١

al-Waqiah : 20-21

Maksudnya: “Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan daripada jenis-jenis yang mereka pilih. Serta daging burung daripada jenis-jenis yang mereka ingini.”

 

Para ahli tafsir seperti Imam al-Qurthubi menafsirkan ayat ini dengan mengatakan di dalam syurga terdapat banyak buah-buahan  dan setiap ahli syurga itu bebas untuk memilih buah apa yang diingininya. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 204/17] Selain itu, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT mendahulukan ayat buah-buahan berbanding ayat yang menceritakan berkaitan daging burung.

 

Antara hikmah mengapa didahulukan buah di dalam ayat ini ada dinyatakan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya bahawa susunan ayat seperti itu lebih sesuai, lebih cepat turun (ke perut), cepat untuk dihadam, lebih baik dari sudut kesihatan, lebih banyak menggerakkan syahwat makan dan juga agar tubuh manusia itu bersedia untuk menerima makanan. [Lihat: Tafsir al-Munir, 249/27]

 

Kami berpandangan, memakan buah-buahan sebelum daripada makanan yang lain adalah digalakkan kerana secara sainsnya terbukti bahawa buah-buahan itu lebih mudah dicernakan oleh perut dan ia juga baik penghadaman. Tambahan pula, perkara ini ada dinyatakan oleh para ulama’ seperti kenyataan Imam al-Ghazali dan Imam al-Nawawi di atas.

 

Penutup

Kesimpulannya, kami tegaskan sekali lagi bahawa tiada hadith yang menunjukkan bahawa Nabi SAW menyarankan agar dimulakan dengan buah-buahan ketika makan. Untuk itu, kita tidak boleh sama sekali mengatakan bahawa ianya adalah sunnah kerana tidak ada hadith yang menyatakan sedemikian. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat. Amin.

 

Wallahua’lam