Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 582: BENARKAH ILMU FARAID ILMU PERTAMA YANG DIANGKAT?

BENARKAH ILMU FARAID ILMU PERTAMA YANG DIANGKAT

 

Ringkasan Jawapan

Setelah melakukan penelitian terhadap jalur periwayatan hadis “ilmu faraid ilmu pertama yang diangkat”, didapati bahawa Hafs bin ‘Umar bin Abi al-‘Attaf merupakan perawi yang dikritik oleh ulama sebagai perawi yang daif bahkan munkar. Maka hadisnya dihukumkan sebagai munkar kerana kredibiliti Hafs bin ‘Umar bin Abi al-‘Attaf adalah munkar ditambah dengan beliau meriwayatkan hadis ini secara bersendiri(tafarrud) dan hadis ini tidak mempunyai sokongan(mutabaʻah) daripada mana-mana hadis yang lain. Oleh itu, hadis ini tidak sabit daripada Nabi SAW dan tidak boleh dijadikan hujah kerana kedaifannya yang parah (syadid al-daʻf).

Mukadimah

Ilmu faraid merupakan antara ilmu yang penting terutama apabila bertemu dengan masalah pembahagian harta pusaka peninggalan si mati. Antara dalil kepentingan ilmu faraid ialah riwayat Abu Hurairah RA yang dimuatkan dalam Sunan Ibn Majah. Riwayat tersebut menyebutkan berkenaan Rasulullah SAW meminta Abu Hurairah RA untuk mempelajari serta mengajari ilmu faraid. Hal ini kerana ilmu faraid merupakan antara ilmu yang sering dilupakan umat manusia dan juga ilmu pertama yang akan diangkat oleh Allah SWT.

Walaupun begitu, benarkah ilmu faraid merupakan ilmu pertama yang diangkat? Adakah  benar Rasulullah SAW pernah mengungkapkan sedemikian? Maka, menjadi kewajipan seorang muslim untuk memastikan terlebih dahulu setiap riwayat yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Hal ini bagi mengelakkan daripada seseorang berdusta atas nama Rasulullah SAW.

Huraian Jawapan

Riwayat yang sering dijadikan sebagai dalil Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَبَا هُرَيْرَةَ تَعَلَّمُوا الْفَرَائِضَ وَعَلِّمُوهَا، فَإِنَّهُ نِصْفُ الْعِلْمِ وَهُوَ يُنْسَى، وَهُوَ أَوَّلُ شَيْءٍ يُنْزَعُ مِنْ أُمَّتِي

Maksudnya: Wahai Abu Hurairah, pelajarilah ilmu faraid dan ajarkannya sesungguhnya ia merupakan sebahagian daripada ilmu yang dilupakan serta ilmu ini merupakan ilmu yang pertama diangkat daripada umatku.[1]

Riwayat Ibn Majah

Kemudian al-Daraqutni turut meriwayatkan hadis ini dalam sunannya.[2] Selain itu, al-Hakim al-Naisaburi dalam al-Mustadrak di bawah bab faraid.[3] Begitu juga al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra dengan lafaz yang sama seperti lafaz al-Hakim.[4] Al-Tabrani juga meriwayatkan hadis ini dalam al-Muʻjam al-Ausat.[5]

Dari aspek sanad, hadis ini sanadnya berpusat(madar) kepada Hafs bin ‘Umar bin Abi al-‘Attaf. Menurut al-Tabrani, hanya Hafs bin ‘Umar bin Abi al-‘Attaf sahaja yang meriwayatkan hadis ini daripada Abu al-Zinad.[6] Kemudian, al-Baihaqi menyebutkan bahawa Hafs bin ‘Umar bersendiri(tafarrud) dalam meriwayatkan hadis ini dan hadisnya tidak kuat (laysa bi al-Qawiy).[7]

Al-Mizzi menukilkan pandangan al-Bukhari dan Abu Hatim al-Razi yang mengkritik Hafs bin ‘Umar bin Abi al-‘Attaf sebagai munkar al-hadith.[8] Ibn ‘Adi menyebutkan bahawa hadisnya tentang ilmu faraid ini adalah tidak sahih dan beliau berkata bahawa al-Nasa’i juga mengkritik Hafs bin ‘Umar bin Abi al-‘Attaf dengan menyatakan bahawa dia merupakan perawi yang daif.[9] Bahkan, Ibn Hibban mengatakan hadisnya tidak boleh dijadikan hujah dalam apa keadaan sekalipun sama ada sebagai mutabaʻah(sokongan) atau seumpamanya.[10] Al-ʻUqaili menyebut bahawa hadis ini tidak mempunyai sokongan daripada mana-mana hadis lain.[11] Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Taqrib telah mendaifkan Hafs bin ‘Umar.[12] Manakala dalam al-Talkhis al-Habir, Ibn Hajar al-‘Asqalani mengkritiknya sebagai perawi yang matruk.[13]

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, Hafs bin ‘Umar bin Abi al-‘Attaf merupakan perawi yang dikritik oleh ulama hadis sebagai perawi yang daif bahkan munkar. Maka hadisnya dihukumkan sebagai munkar kerana kredibiliti Hafs bin ‘Umar bin Abi al-‘Attaf adalah munkar ditambah dengan beliau meriwayatkan hadis “ilmu faraid ilmu pertama yang diangkat” secara bersendiri(tafarrud) dan hadis tersebut tidak mempunyai sokongan(mutabaʻah) daripada mana-mana hadis yang lain. Oleh itu, hadis ini tidak sabit daripada Nabi SAW dan tidak boleh dijadikan hujah kerana kedaifannya yang parah (syadid al-daʻf).

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Ibn Majah Muhammad bin Yazid al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, ed. Muhammad Fu’a ‘Abd al-Baqi (t.tp.: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, t.t.), no. hadis 2719, jld. 2: hlm. 908.

[2] Abu al-Hasan ‘Ali bin ‘Umar al-Daraqutni, Sunan al-Daraqutni, ed. Syuʻaib al-Arna’ut (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2004), no. hadis 4059, jld. 5: hlm. 117.

[3] Abu ‘Abdullah al-Hakim Muhammad bin ‘Abdullah al-Naisaburi, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, ed. Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Ata (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1990), no. hadis 7948, jld. 4: hlm. 369.

[4] Abu Bakr al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, ed. Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Ata (Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 2003), no. hadis 12175, jld. 6: hlm. 343.

[5] Abu al-Qasim al-Tabrani, al-Muʻjam al-Awsat, ed. Tariq ‘Iwadullah (Kaherah: Dar al-Haramain, t.t.), no. hadis 5293, jld. 5: hlm. 272.

[6] Ibid.

لَمْ يَرْوِ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ إِلَّا حَفْصُ بْنُ عُمَرَ بْنِ أَبِي الْعَطَّافِ

[7] Abu Bakr al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, ed. Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Ata, jld. 6: hlm. 343.

تَفَرَّدَ بِهِ حَفْصُ بْنُ عُمَرَ، وَلَيْسَ بِالْقَوِيِّ

[8] Yusuf bin ‘Abd al-Rahman al-Mizzi, Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal, ed. Basyar ‘Awwad Maʻruf (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1980), jld. 7: hlm. 39.

قال البخاري: منكر الحديث، رماه يحيى بن يحيى بالكذب.

وَقَال أَبُو حاتم: منكر الحديث، يكتب حديثه على الضعف الشديد.

[9] Abu Ahmad bin ‘Adi al-Jurjani, al-Kamil fi al-Duʻafa’ al-Rijal, ed. ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud dan ‘Ali Muhammad Muʻawwad (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1997), jld. 3: hlm. 276.

حَدَّثَنَا الجنيدي، حَدَّثَنا البُخارِيّ قال حَفْصُ بْنُ عُمَر بْنِ أَبِي الْعَطَّافِ مدني منكر الحديث روى، عَن أَبِي الزِّنَادِ عَنِ الأَعْرَجِ، عَن أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسلَّمَ فِي تعليم الفرائض وقال مرة، عَن أبي الزناد عن المقبري، عَن أَبِي هُرَيْرَةَ، ولاَ يصح. وقال النَّسائِيُّ، فيما أخبرني مُحَمد بن العباس، عنه: قال حفص بن عُمَر بن أبي العطاف المدني ضعيف.

[10] Muhammad bin Hibban, al-Majruhin min al-Muhaddithin wa al-Duʻafa’ wa al-Matrukin, ed. Mahmud Ibrahim Zayid (Halab: Dar al-Waʻi, 1396), jld. 1: hlm. 255.

لَا يَجُوز الِاحْتِجَاج بِهِ بِحَال

[11] Abu Jaʻfar Muhammad bin ‘Amru al-ʻUqaili, al-Duʻafa’ al-Kabir, ed. ‘Abd al-Muʻti Amin Qalʻaji (Beirut: Dar al-Maktabah al-‘Ilmiyyah, 1984), jld. 1: hlm. 271.

لَا يُتَابَعُ عَلَيْهِ، لَا يُعْرَفُ إِلَّا بِهِ

[12] Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani, Taqrib al-Tahzib, ed. Muhammad ‘Awwamah (Syria: Dar al-Rasyid, 1986), hlm. 173.

حفص ابن عمر ابن أبي العطاف السهمي مولاهم المدني ضعيف

[13] Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani, al-Talkhis al-Habir fi Takhrij Ahadith al-Rafiʻi al-Kabir, ed. Abu ‘Asim Hasan bin ‘Abbas bin Qutb (Mesir: Mu’assasah Qurtubah, 1995), jld. 3: hlm. 172.

وَمَدَارُهُ عَلَى حَفْصِ بْنِ عُمَرَ بْنِ أَبِي الْعَطَّافِ، وَهُوَ مَتْرُوكٌ.