Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 583: MAKSUD KALIMAH أحصى (MENGHITUNG) DALAM HADIS 99 NAMA ALLAH

MAKSUD KALIMAH ÏúÏ¡ÏÁ┘ë MENGHITUNG DALAM HADIS 99 NAMA ALLAH

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti. Saya ada terbaca pasal berkenaan dengan hadis 99 nama Allah yang mana dalam hadis itu menyatakan sesiapa yang menghitung 99 nama tersebut akan masuk syurga. Jadi, adakah maksud menghitung ini dengan hanya semata-mata mengira atau bagaimana. Mohon pencerahan pihak Datuk. Terima Kasih.

Ringkasan Jawapan:

Maksud kalimah ‘أحصى’ di dalam hadis ini mengandungi empat  makna iaitu pertamanya ialah dengan makna mengira dan menghafaz nama-nama Allah SWT. Manakala makna yang kedua pula ialah beriman dan melaksanakan kewajipan dan makna ketiga ialah mengenali dan memahami nama-nama tersebut. Keempat pula ialah membaca nama-nama tersebut di dalam al-Quran. Pandangan yang paling kuat (rajih) di sisi Imam al-Syairazi ialah makna yang pertama dan kedua. Semoga kita semua termasuk di dalam golongan yang beriman dengan nama-nama Allah SWT.

Huraian Jawapan:

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah baginda SAW.

Berkenaan dengan persoalan yang diajukan, ia merujuk kepada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلَّا وَاحِدًا، مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT memiliki sembilan puluh sembilan nama, iaitu seratus kurang satu. Sesiapa yang menghitungnya, dia akan masuk syurga.”

(Riwayat Bukhari: 2736)

Secara umumnya hadis tersebut menyatakan bagi nama Allah SWT yang mempunyai 99 nama dan kelebihan bagi mereka yang menghitunganya. Oleh itu, para ulama telah metafsirkan maksud ‘menhitung’ tersebut kepada beberapa wajah.

Pertama: Mengira dan Menghafal

Sheikh Badruddin al-‘Aini menaqalkan di dalam syarahnya pandangan al-Khatabi yang mana beliau mendefiniskan kalimah ‘menghitung’ itu dengan maksud membilang satu persatu nama-nama Allah meliputi keseluruhan dan tidak mengurangkan sesetengah dari nama-nama tersebut.[1] Manakala menurut kitab Faidhul Bari, maksud kalimah ‘أحصى’ ialah dengan makna menghafal yang mana ia juga merupakan makna yang diberi oleh ahli-ahli hadis.[2]

Selain itu, terdapat juga dalam riwayat yang lain yang menggunakan lafaz ‘حفظ’ seperti yang dinyatakan oleh Imam Muslim melalui hadis Abu Hurairah, yang mana Rasulullah SAW bersabda:

لِلَّهِ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ اسْمًا، مَنْ حَفِظَهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Allah SWT memiliki sembilan puluh sembilan nama, sesiapa yang menghafaznya akan masuk syurga.”

(Sahih Muslim: 2677)

Kedua: Beriman dan Melaksanakan Kewajipan:

Di dalam karya Sheikh Badr al-Din al- ‘Aini, kalimah ‘أحصى’ juga ditafsirkan dengan maksud beriman yang mana ia merujuk kepada melaksanakan hak-haknya seperti beramal dengan maksud yang terkandung di dalam nama-nama tersebut. Dengan kata lain, perlu mengambil pengajaran daripadanya dan melazimi dirinya dengan kewajipan tersebut.[3]

Ketiga: Mengenali dan memahami makna:

Al-Khattabi juga turut menghuraikan maksud daripada kalimah ini dengan makna mengenali dan memahami dalam masa yang sama memikirkan makna-makna kalimah tersebut.[4] Begitu juga al-Syairazi mentakrifkannya dengan orang yang mengetahui dan memahami makna-makna nama Allah SWT.[5]

Keempat: Membacanya di dalam al-Quran:

Maksud ini merujuk kepada pandangan Imam Ibn Qayyim yang dinukilkan oleh Sheikh Badr al-Din di dalam syarahnya:

(من أحصاها) من قَرَأَ الْقُرْآن حَتَّى يختمه فيستوفي، أَي: من حفظ الْقُرْآن الْعَزِيز دخل الْجنَّة، لِأَن جَمِيع الْأَسْمَاء فِيهِ

Maksudnya: “(Sesiapa yang menghitung) sesiapa yang membaca al-Quran sehingga mengkhatamkannya serta meliputi kesemuanya, iaitu bagi sesiapa yang menghafaz al-Quran akan memasuki syurga kerana kesemua nama terhimpun di dalamnya.”

(Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sohih al-Bukhari: 12/22)

 

Berdasarkan definisi dan pendapat-pendapat yang telah dinyatakan, Imam al-Syairazi teah mentarjihkan bahawa maksud menghitung (أحصى) tersebut dengan dua makna. Makna pertama ialah membaca dan menghafaz seperti dalam padangan pertama manakala makna kedua pula beramal dan beriman dengan nama-nama tersebut.[6]

Kesimpulan:

Maksud kalimah ‘أحصى’ di dalam hadis ini mengandungi empat makna iaitu pertamanya ialah dengan makna mengira dan menghafaz nama-nama Allah SWT. Manakala makna yang kedua pula ialah beriman dan melaksanakan kewajipan dan makna ketiga ialah mengenali dan memahami nama-nama tersebut. Keempat pula ialah membaca nama-nama tersebut di dalam al-Quran. Dari sudut pentarjihan pula, yang ditarjihkan ialah wajah pertama dan kedua dikategorikan dengan makna kalimah tersebut. Semoga kita semua termasuk di dalam golongan yang beriman dengan nama-nama Allah SWT.

Wallahu A’lam..

 

Rujukan: 

[1] Al-‘Aini, Badr al-Din. (T,T). ‘Umdah al-Qari’ Syarh Sohih al-Bukhari. Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabiy. Jilid 14 hlm 22. Teks Asal:

قَالَ الْخطابِيّ: الإحصاء يحْتَمل وُجُوهًا: أظهرها: العدّ لَهَا حَتَّى يستوفيها، أَي: لَا يقْتَصر على بَعْضهَا

[2] Al-Kasymiri dan al-Deobandi, Muhammad Anwar Shah bin Mu‘azzam. 2005. Faidhul Bari ‘ala Sohih al-Bukhari. Tahkik: Muhammad Badr ‘Alam al-Mairathi. Cetakan 1, Lubnan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Jilid 4, hlm 125. Teks Asal: أي مَنْ حَفِظها، وهو المرادُ عند المُحدِّثين

[3] ‘Umdah al-Qari’ Syarh Sohih al-Bukhari. Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabiy Jilid 14 hlm 22. Teks Asal:

الإطاقة، أَي: من أطَاق الْقيام بِحَقِّهَا وَالْعَمَل بمقتضاها، وَهُوَ أَن يعْتَبر مَعَانِيهَا وَيلْزم نَفسه بواجبها

[4] Ibid, j14 hlm22. Teks asal:

 وَثَالِثهَا: الْعقل، أَي: من عقلهَا وأحاط علما بمعانيها

[5] Al-Syairazi, al-Hussain bin Mahmud al-Hassan. 2012. Al-Mafatih fi Syarh al-Masabih. Tahkik: Lajnah Mukhtassah. Dar al-Nawadir. Jilid 3, hlm149. Teks asal:

معنى الإحصاء: العقل والمعرفة؛ يعني: من عرف وعقل معانيها

[6] Ibid, jilid 3, hlm 149. Teks Asal:

فإذا عرفت هذا فالمختارُ هو الوجه الأول والثاني، وعلى الوجه الثاني يحتاجُ قارئُها إلى معرفة معانيها؛ ليعتقدها ويعمل بموجبها