Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 585: BETULKAH NABI SAW PERNAH MENYEBUTKAN ORANG YANG TALAM DUA MUKA MEMPUNYAI DUA MUKA DARIPADA NERAKA?

BETULKAH_NABI_SAW_PERNAH_MENYEBUTKAN_ORANG_YANG_TALAM_DUA_MUKA_MEMPUNYAI_DUA_MUKA_DARIPADA_NERAKA.jpg

 

Soalan:

Salam, boleh saya tahu ada tak hadis yang menyebutkan bahawa orang bertalam dua muka akan datang pada hari akhiratnya dengan mempunyai dua muka daripada neraka?

Ringkasan Jawapan

Setelah melakukan carian terhadap karya-karya hadis muktabar, terdapat hadis yang menyebutkan berkenaan orang yang bersikap dengan sikap talam dua muka. Namun dalam hadis tersebut tidak dinyatakan bahawa orang yang bersikap dengan sikap talam dua muka di akhirat kelak beliau akan datang dengan dua muka daripada neraka kerana sikapnya di dunia sedemikian.

Huraian Jawapan

Dewasa ini, masyarakat Islam khususnya di Malaysia semakin berhati-hati terhadap sesuatu berita yang mereka terima sama ada secara lisan mahupun bacaan. Sikap sebegini harus dipuji kerana Islam mengajarkan umatnya untuk sentiasa bertabayyun(meneliti fakta) dalam setiap berita yang diterima. Hal ini kerana, tidak semua berita yang diterima adalah benar. Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: “Memadai seseorang itu dianggap sebagai pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.”[1]

Riwayat Muslim

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, adakah terdapat hadis yang menyebutkan bahawa orang yang talam dua muka akan datang di hari akhirat dengan dua muka? Setelah carian dilakukan, benar terdapat hadis yang menyebutkan berkenaan manusia yang talam dua muka. Namun dalam hadis tersebut tidak mengatakan bahawa manusia yang talam dua muka akan datang pada hari akhirat dengan dua muka daripada neraka kerana sikapnya di dunia sedemkian.

Hadis tersebut merupakan hadis riwayat Abu Hurairah RA dan ia boleh ditemui dalam dalam karya-karya hadis muktabar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

…وَتَجِدُونَ مِنْ شِرَارِ النَّاسِ ذَا الْوَجْهَيْنِ، الَّذِي يَأْتِي هَؤُلاءِ بِوَجْهٍ وَهَؤُلاءِ بِوَجْهٍ

Maksudnya: Kami mendapati sejahat-jahat manusia adalah manusia yang bermuka-muka, dia mendatangi satu kumpulan dengan satu muka dan mendatangi kumpulan lain dengan muka yang lain.[2]

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa orang yang talam dua muka merupakan seorang yang memiliki sifat munafik. Perkara ini sebagaimana yang beliau sebutkan dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, kata beliau:

قَوْلُهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي ذِي الْوَجْهَيْنِ إِنَّهُ مِنْ شِرَارِ النَّاسِ فَسَبَبُهُ ظَاهِرٌ لأَنَّهُ نِفَاقٌ مَحْضٌ وَكَذِبٌ وَخِدَاعٌ وَتَحَيُّلٌ عَلَى اطِّلاعِهِ عَلَى أَسْرَارِ الطَّائِفَتَيْنِ وَهُوَ الَّذِي يَأْتِي كُلَّ طَائِفَةٍ بِمَا يُرْضِيهَا وَيُظْهِرُ لَهَا أَنَّهُ مِنْهَا فِي خَيْرٍ أَوْ شَرٍّ وَهِيَ مُدَاهَنَةٌ مُحَرَّمَةٌ

Maksudnya: Sabda SAW yang menyebutkan bahawa manusia yang mempunyai dua muka merupakan manusia yang jahat kerana ia merupakan sifat munafik, bohong dan dia berhelah untuk mendapatkan rahsia daripada dua kumpulan. Dia mendatangi setiap kumpulan dengan apa yang mereka suka dan diceritakan kepada kumpulan itu dan daripada cerita itu ada yang baik dan ada yang buruk. Perbuatan bermuka-muka seperti ini diharamkan.[3]

Kesimpulan

Benar terdapat hadis yang menyebutkan berkenaan orang yang bersikap dengan sikap talam dua muka. Hadis tersebut ialah riwayat Abu Hurairah RA dan ia boleh ditemui dalam beberapa karya hadis muktabar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musnad al-Imam Ahmad dan lain-lain. Namun dalam hadis tersebut tidak dinyatakan bahawa orang yang bersikap dengan sikap talam dua muka, di akhirat kelak dia akan datang dengan dua muka daripada neraka kerana sikapnya di dunia sedemikian.

Wallahuaʻlam.

Rujukan: 

[1] Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t.), jld. 1: hlm. 10.

[2] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari, Sahih al-Bukhari. ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir (t.tp: Dar Tuq al-Najah, 1422), jld. 9: hlm. 71. Rujuk juga Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim. ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi, jld.4: hlm. 2011.

[3] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (t.tp: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1392), 16: 79.