Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 586: STATUS HADIS MEMOHON PERTOLONGAN DENGAN PENGHUNI KUBUR

STATUS_HADIS_MEMOHON_PERTOLONGAN_DENGAN_PENGHUNI_KUBUR.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti, saya ada terbaca satu buku agama dan dalam buku tersebut penulis ada berhujah dengan hadis yang menyebutkan apabila ditimpa urusan yang payah maka hendaklah datang ke penghuni kubur. Jadi adakah benar status hadis tersebut adalah daif sebagaimana yang disebutkan? Sebab nampak pelik. Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Riwayat yang menyebut berkenaan “Apabila kamu ditimpa urusan yang rumit maka hendaklah kamu memohon pertolongan dengan penghuni kubur” merupakan riwayat yang palsu menurut ulama hadis. Tambahan pula, tidak ada seorang pun dalam kalangan ulama hadis yang meriwayatkannya bahkan tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis yang muktabar. Justeru, riwayat ini tidak boleh disebar dan diamalkan oleh umat Islam kerana ia adalah pendustaan menggunakan nama Nabi SAW dan tidak mempunyai asas.

Huraian Jawapan

Setelah melakukan penelitian, riwayat ini tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis yang muktabar. Namun, Imam Ibn Taimiyyah menyebutkan riwayat ini dalam kitabnya Majmuʻ al-Fatawa dan beliau mengkritik riwayat ini. Lafaz riwayat yang dimaksudkan ialah seperti berikut:

إذَا أَعْيَتْكُمْ الْأُمُورُ فَعَلَيْكُمْ بِأَهْلِ الْقُبُورِ

Maksudnya: “Apabila kamu ditimpa urusan yang rumit maka hendaklah kamu memohon pertolongan dengan penghuni kubur.”[1]

Menurut Imam Ibn Taimiyyah, hadis ini merupakan satu pendustaan yang dibuat ke atas Nabi Muhammad SAW. Selain itu, riwayat ini dihukumkan palsu oleh ramai ulama hadis dan tidak ada seorang pun dalam kalangan mereka yang meriwayatkannya bahkan tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis yang muktabar.[2]

Setiap penulis buku agama tidak sepatutnya memuatkan hadis-hadis yang palsu apatah lagi menjadikannya sebagai hujah dalam perkara agama. Hal ini kerana apabila pembaca yang tidak mempunyai teras agama yang kukuh akan mempercayainya bahawa ia merupakan sabdaan Nabi SAW. Sedangkan, ia merupakan rekaan pihak tidak bertanggungjawab bagi membenarkan pandangan dan kelompok mereka.

Dalam hal ini, umat Islam perlu lebih mengambil perhatian dan berhati-hati agar tidak menempah tempatnya dalam neraka. Oleh itu, Nabi SAW pernah bersabda:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya:Sesiapa yang berdusta atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.[3]

Riwayat al-Bukhari

Kesimpulan

Riwayat yang menyebut berkenaan “Apabila kamu ditimpa urusan yang rumit maka hendaklah kamu memohon pertolongan dengan penghuni kubur” merupakan riwayat yang palsu menurut ulama hadis. Tambahan pula, tidak ada seorang pun dalam kalangan ulama hadis yang meriwayatkannya bahkan tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis yang muktabar. Justeru, riwayat ini tidak boleh disebar dan diamalkan oleh umat Islam kerana ia adalah pendustaan menggunakan nama Nabi SAW dan tidak mempunyai asas. Wallahuaʻlam.

Rujukan:

[1] Ibn Taimiyyah al-Harrani, Majmuʻ al-Fatawa, ed. Abd al-Rahman Muhammad (Madinah: Majmaʻ al-Malik Fahd, 1995), jld. 1: hlm. 356.

[2] Ibid.

فَهَذَا الْحَدِيثُ كَذِبٌ مُفْتَرًى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِإِجْمَاعِ الْعَارِفِينَ بِحَدِيثِهِ لَمْ يَرْوِهِ أَحَدٌ مِنْ الْعُلَمَاءِ بِذَلِكَ وَلَا يُوجَدُ فِي شَيْءٍ مِنْ كُتُبِ الْحَدِيثِ الْمُعْتَمَدَةِ.

[3] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, al-Jami' al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min Umur Rasulillah SAW wa Sunanihi wa Ayyamihi, ed. Muhammad Zuhayr Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), hadis no. 107, 1: 33.