Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-99: HUKUM MENGGUNAKAN PAYUNG KETIKA IHRAM

HUKUM_MENGGUNAKAN_PAYUNG_KETIKA_IHRAM.jpg

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, adakah dibolehkan bagi seseorang yang sedang berihram untuk menggunakan payung kerana sepengetahuan saya kita tidak boleh menutup kepala? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Sekiranya seseorang lelaki yang sedang berihram itu menutupi kepalanya dengan sesuatu tanpa sebarang sebab, maka perbuatannya haram dan dikira berdosa serta dia wajib membayar fidyah. Manakala jika kepalanya ditutupi kerana suatu sebab seperti kepanasan, kesejukan atau tujuan perubatan, maka ia dibenarkan namun dia tetap juga wajib membayar fidyah. Adapun jika ia ditutupi dengan sesuatu yang tidaklah dikira sebagai penutup kepala seperti berteduh di bawah lindungan dinding, payung atau sekedup walaupun ia menyentuh kepalanya, maka ia bukanlah suatu perkara yang haram dan dia tidak dikenakan dam.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Abdullah bin Umar R.Anhuma meriwayatkan sebuah hadis:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا يَلْبَسُ الْمُحْرِمُ مِنَ الثِّيَابِ؟ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لاَ يَلْبَسُ القُمُصَ، وَلاَ العَمَائِمَ، وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ، وَلاَ البَرَانِسَ، وَلاَ الخِفَافَ إِلَّا أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ، فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ»

Maksudnya:Bahawasanya seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, apakah yang boleh dipakai oleh orang yang berihram?” Rasulullah SAW menjawab: “Janganlah dia memakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) melainkan bagi seseorang yang tidak mempunyai selipar maka pakailah khuf dan hendaklah dipotong kedua khuf tersebut sehingga ke bawah buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za‘faran atau wars (sejenis pewarna yang wangi).”

(Riwayat al-Bukhari[1] 1543)

Pada dasarnya, orang lelaki yang sedang berihram dilarang daripada menutupi keseluruhan kepala atau sebagainya tanpa sebarang sebab[2]. Sesuatu yang menutupi itu sama ada ia meliputi kepala seperti serban dan ṭailasān (shawl) atau tidak meliputi kepala seperti kain perca dan juga pakaian[3].

Oleh yang demikian itu, sekiranya seseorang lelaki yang sedang berihram itu menutupi kepalanya dengan sesuatu tanpa sebarang sebab, maka perbuatannya haram dan dikira berdosa serta dia wajib membayar fidyah. Hal ini kerana ia merupakan salah satu daripada pantang larang ihram[4]. Adapun jika kepala ditutupi sama ada sebahagian atau keseluruhan kerana suatu sebab seperti kepanasan, kesejukan atau tujuan perubatan, maka ia dibenarkan namun dia wajib membayar fidyah. Hal ini diqiyaskan dengan permasalahan bercukur disebabkan sakit[5].

Namun jika kepalanya ditutupi dengan sesuatu yang tidaklah dikira sebagai penutup kepala seperti berteduh di bawah lindungan dinding, payung atau sekedup[6] walaupun ia menyentuh kepalanya, maka ia bukanlah suatu perkara yang haram. Begitu juga sekiranya dia meletakkan raga atau bekas atas kepalanya tanpa sebarang niat menutupi dengannya. Selain itu, dibolehkan juga untuk meletakkan tangan atas kepala bertujuan meratakan air wuduk ke seluruh kepala, maka ia dimaafkan. Demikian juga jika kepalanya ditutup dengan menggunakan tangan orang lain. Dibenarkan juga untuk dirinya jika diikat dengan sedikit benang, namun sekiranya dengan pembalut kepala, maka ia tidak dibolehkan[7].

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Husain, beliau berkata:

حَجَجْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَجَّةَ الْوَدَاعِ، فَرَأَيْتُ أُسَامَةَ وَبِلاَلاً وَأَحَدُهُمَا آخِذٌ بِخِطَامِ نَاقَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالآخَرُ رَافِعٌ ثَوْبَهُ يَسْتُرُهُ مِنَ الْحَرِّ حَتَّى رَمَى جَمْرَةَ الْعَقَبَةِ

Maksudnya:Aku pernah menunaikan haji bersama Rasulullah SAW ketika haji wada’. Ketika itu, aku melihat Usamah dan Bilal, salah seorang daripada mereka memegang tali kendali unta Nabi SAW, dan yang seorang lagi menaikkan pakaiannya untuk menutupi kepala Baginda daripada terik matahari, sehingga mereka melempar Jamrah al-‘Aqabah.”

(Riwayat Muslim :1298)

Imam al-Syaukani berkata hadis ini menjadi dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang sedang berihram untuk melindungi kepalanya dengan pakaian atau barang-barang bawaannya yang boleh dijadikan pelindung, sebagaimana pendapat jumhur ulama dalam masalah ini[8].

Kesimpulan

Seseorang lelaki yang sedang berihram itu menutupi kepalanya dengan sesuatu tanpa sebarang sebab, maka perbuatannya haram dan dikira berdosa serta dia wajib membayar fidyah.

Manakala jika kepalanya ditutupi kerana suatu sebab seperti kepanasan, kesejukan atau tujuan perubatan, maka ia dibenarkan namun dia tetap juga wajib membayar fidyah.

Adapun jika ia ditutupi dengan sesuatu yang tidaklah dikira sebagai penutup kepala seperti berteduh di bawah lindungan dinding, payung atau sekedup walaupun ia menyentuh kepalanya, maka ia bukanlah suatu perkara yang haram dan dia tidak dikenakan dam.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan:

[1] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Tahkik: Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir, (T.tp: Dar Tuq al-Najah, cetakan pertama, 1422H), 2/137.

[2] Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar al-Ma‘rifah, 1379H), 3/402.

وَلَا يَسْتُرُ الرَّأْسَ أَصْلًا وَلَا يَلْبَسُ مَا مَسَّهُ طِيبٌ كَالْوَرْسِ وَالزَّعْفَرَانِ وَلَعَلَّ الْمُرَادَ مِنَ الْجَوَابِ الْمَذْكُورِ ذِكْرُ الْمُهِمِّ وَهُوَ مَا يَحْرُمُ لُبْسُهُ وَيُوجِبُ الْفِدْيَةَ قَوْلُهُ الْمُحْرِمُ أَجْمَعُوا عَلَى أَنَّ الْمُرَادَ بِهِ هُنَا الرَّجُلُ وَلَا يَلْتَحِقُ بِهِ الْمَرْأَةُ فِي ذَلِكَ

[3] Muhammad al-Zuhaili, al-Muʻtamad fi al-Fiqh al-Syafiʻi, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H/2013M), 2/318-319.

2- ستر الرأس:

يحرم على الرجل المحرم ستر الرأس، ولو بعضه، بما يعد ساترًا عرفًا، إلا بعذر، سواء كان الساتر محيطًا بالرأس كالعمامة والطيلسان، أم غير محيط كالخِرقَة والثوب لما سبق في حديث ابن عمر رضي الله عنهما.

[4] Al-Zuhaili, al-Muʻtamad, 2/319.

فإن غطى المحرم رأسه – بلا عذر وجبت عليه الفدية، لأنه فعل محرم في الإحرام، ولا يشترط ستر جميع الرأس.

[5] Al-Zuhaili, al-Muʻtamad, 2/320.

ويجوز للرجل ستر رأسه كله أو بعضه لحاجة من حر أو برد أو مداواة، كأن جرح، فشد عليه خرقة، لقوله تعالى: وما جعل عليكم في الدين من حرج. سورة الحج آية 78، لكن تلزمه الفدية، قياسًا على الحلق بسبب الأذى.

[6] Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, sekedup ialah tempat duduk di atas belakang unta.

[7] Al-Zuhaili, al-Muʻtamad, 2/319.

أما ما لا يعد ساترًا للرأس فلا يحرم كالاستظلال بجدار أو مظلة أو محمل ولو مسّ رأسه، وكذا حمل قُفَّة أو عِدل على رأسه من غير قصد ستر بذلك، كما يجوز أن يترك يده على رأسه ليغطيه بها، أنه يحتاج إلى وضع اليد على الرأس في مسح الوضوء فعفي عنه، وكذا تغطية رأسه بكف غيره، وشد الرأس بخيط، فلا يضر، أما العِصابة العريضة فلا تجوز.

[8] Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Abdullah al-Syaukani, Nail al-Auṭār, Tahkik: ‘Iṣām al-Dīn al-Ṣabābiti, (Mesir: Dar al-Hadith, cetakan pertama, 1413H/1993M), 5/12.

[بَابُ تَظَلُّلِ الْمُحْرِمِ مِنْ الْحَرِّ أَوْ غَيْرِهِ وَالنَّهْيِ عَنْ تَغْطِيَةِ الرَّأْسِ]

قَوْلُهُ: (يَسْتُرُهُ مِنْ الْحَرِّ) وَكَذَا قَوْلُهُ: (يُظِلُّهُ مِنْ الشَّمْسِ) فِيهِ جَوَازُ تَظْلِيلِ الْمُحْرِمِ عَلَى رَأْسِهِ بِثَوْبٍ وَغَيْرِهِ مِنْ مَحْمِلٍ وَغَيْرِهِ وَإِلَى ذَلِكَ ذَهَبَ الْجُمْهُورُ