Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-110: BOLEHKAH MENGGUNAKAN HARTA PUSAKA UNTUK MELAKUKAN HAJI SUNAT BAGI SI MATI

BOLEHKAH_MENGGUNAKAN_HARTA_PUSAKA_UNTUK_MELAKUKAN_HAJI_SUNAT_BAGI_SI_MATI.jpg

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum waris menggunakan harta si mati untuk melakukan badal haji bagi si mati, sedangkan semasa hidup si mati telah menunaikan haji.

Ringkasan Jawapan

Jika si mati telah melakukan haji ketika hayatnya, maka diharamkan untuk menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan untuk melakukan badal haji sunat bagi si mati kecuali jika seorang atau lebih daripada waris menawarkan untuk menanggung kos haji tersebut daripada bahagian mereka sendiri. Walau bagaimanapun, jika si mati telah mewasiatkan perkara tersebut, maka wasiat itu wajib ditunaikan daripada harta si mati dengan syarat tidak melebihi satu per tiga daripada harta yang berbaki selepas pengurusan jenazah dan hutang jika ia mencukupi untuk menanggung kos haji.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pengurusan harta si mati mestilah dilakukan dengan cermat dan mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syariat. Ia tidak boleh diuruskan dengan sesuka hati kerana ia terkait dengan hak para waris. Menggunakan harta si mati dengan cara yang salah boleh dianggap mengambil harta orang lain dengan cara yang batil seperti yang disebut dalam firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ‌لَا ‌تَأۡكُلُوٓاْ ‌أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا 

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan (menggunakan) harta sesama kamu dengan cara yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali melalui perniagaan yang dilakukan atas dasar reda-meredai (suka sama suka) antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri! Sesungguhnya Alah sentiasa mengsihani kamu.”

Surah al-Nisa’ (29)

Tambahan pula, menurut Dr Muhammad al-Zuhaili, hak milik harta pusaka akan terus berpindah kepada waris sebaik sahaja berlaku kematian si mati di sisi mazhab Syafi’i. Hal ini kerana hutang-hutang yang terkait dengan harta pusaka tidak menghalang perwarisan harta tersebut, sebaliknya ia hanya menghalang daripada menggunakan harta tersebut. Maka harta pusaka itu seperti cagaran terhadap hutang-hutang si mati.[1]

Pada asasnya, terdapat lima hak yang terkait harta pusaka seseorang apabila dia meninggal dunia. Lima hak ini mesti ditunaikan secara berturutan seperti berikut: [2]

  1. Pengurusan jenazah.
  2. Hutang dengan Allah SWT.
  3. Hutang dengan manusia.
  4. Wasiat daripada satu per tiga harta yang berbaki.
  5. Pembahagian harta kepada waris.[3]

Berkenaan soalan di atas, haji merupakan hutang si mati kepada Allah yang wajib ditunaikan daripada harta pusaka dan didahulukan daripada wasiat dan pembahagian kepada waris. Badal haji diwajibkan apabila si mati telah mampu untuk menunaikan haji ketika hayatnya tetapi tidak sempat untuk melakukannya sebelum meninggal dunia. Perkara ini disebutkan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji, beliau berkata:

إذا وجب على الإنسان الحج أو العمرة، ولكنه تراخى عن أدائها فلم يؤدهما حتى مات، مات عاصياً، ووجب تكليف من يحج عنه أو يعتمر، وتدفع النفقة من رأس مال المتوفى، وتعد هذه من الديون، فلا تقسم التركة إلا بعد أداء الديون.

Maksudnya: “Sekiranya telah diwajibkan haji atau umrah ke atas seseorang tetapi dia menangguhkannya atau melengah-lengahkannya dan tidak mengerjakan kedua-duanya sehingga dia meninggal dunia, maka dia meninggal dalam keadaan berdosa. Oleh itu, wajib ditentukan seseorang untuk mengerjakan haji atau umrah bagi pihaknya dengan tanggungan harta pusaka si mati, dan kewajipan ini dikira sebagai hutang. Oleh yang demikian, harta pusaka si mati tidak boleh dibahagikan secara faraid melainkan selepas selesai melunaskan hutang-hutang tersebut.”[4]

Walau bagaimanapun, jika si mati telah melakukan haji ketika hidup, maka kewajipan haji ke atasnya telah pun terangkat dan sudah tidak menjadi hutang yang wajib ditunaikan daripada jumlah asal harta pusaka. Oleh itu, harta pusaka itu haram digunakan untuk melakukan badal haji sunat bagi si mati melainkan jika ada waris yang sukarela melepaskan bahagian yang sepatutnya mereka terima untuk menanggung kos tersebut.

Selain itu, jika si mati berwasiat untuk dilakukan badal haji sunat daripada harta peninggalannya, maka wasiat itu sah dan wajib ditunaikan dengan syarat kos tersebut tidak melebih satu per tiga daripada harta pusaka yang berbaki selepas pengurusan jenazah dan hutang. Perkara ini telah dijelaskan dengan lebih lanjut dalam artikel Irsyad Hukum Siri Ke-653: Hukum Seseorang Berwasiat Agar Dilaksanakan Badal Haji Sunat Baginya Selepas Meninggal Dunia.

Badan Fatwa Mesir ketika menjawab soalan berkaitan tanggungan kos haji bagi si mati juga ada menyebutkan bahawa jika si mati telah menunaikan haji wajib, maka perbelanjaan untuk haji yang lain tidak boleh ditolak daripada harta pusaka kecuali jika seorang atau lebih daripada waris menawarkan untuk menanggung kos ini daripada bahagian mereka sendiri.[5]

Kesimpulan

Jika si mati telah melakukan haji ketika hayatnya, maka diharamkan untuk menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan untuk melakukan badal haji sunat bagi si mati kecuali jika seorang atau lebih daripada waris menawarkan untuk menanggung kos haji tersebut daripada bahagian mereka sendiri.

Jika si mati telah mewasiatkan perkara tersebut, maka wasiat itu wajib ditunaikan daripada harta si mati dengan syarat tidak melebihi satu per tiga daripada harta yang berbaki selepas pengurusan jenazah dan hutang jika ia mencukupi untuk menanggung kos haji.

WaAllahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’i, (Beirut: Dar al-Qalam, 2011), jld. 4 hlmn. 247.

علما أن ملكية التركة تنتقل إلى الورثة بمجرد الموت على الأصح، لأن تعلق الدين بالتركة لا يمنع الإرث وإنما يمنع التصرف، فتكون التركة كالمرهونة بالدين وإن قل.

[2] Ibid, jld. 4 hlmn. 245.

ويتعلق بتركة الميت خمسة حقوق مرتب بعضها على بعض

[3] Ibn al-Mulaqqin Umar bin Ali bi Ahman, al-Tazkirah fi al-Fiqh al-Shafi‘i, (Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2006), hlmn. 86.

يبدأ من تركة الميت بمؤنة تجهيزه إن لم يتعلق بعينها حق، ثم بدين الله، ثم بدين الآدمي، ثم بالوصايا من ثلث الباقي، ثم يقسم الباقي بين الورثة.

[4] Mustafa al-Khin; Mustafa al-Bugha; Ali al-Sharbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Shafi’i, (Damsyik: Dar al-Qalam, 1992), jld. 2 hlmn. 176-177.

[5] Rujuk: https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/11200/%D9%86%D9%81%D9%82%D8%A9-%D8%AD%D8%AC-%D8%A7%D9%84%D8%B2%D9%88%D8%AC%D8%A9%D8%8C-%D9%88%D8%A7%D9%84%D8%AD%D8%AC-%D8%B9%D9%86-%D8%A7%D9%84%D9%85%D9%8A%D8%AA-%D9%85%D9%86-%D8%A7%D9%84%D8%AA%D8%B1%D9%83%D8%A9