Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 217: HADIS RAMADAN BULAN TERHAPUS DOSA

HADIS RAMADAN BULAN TERHAPUS DOSA

 

Soalan :

Saya dengar dalam satu tazkirah, ada seorang ustaz menyebut sebuah hadis yang bermaksud Ramadan ini bulan Allah dan menjadi mukaffirat iaitu penghapus dosa. Adakah memang wujud hadis berkenaan ? Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

Ringkasan jawapan :

Hadis ini diriwayatkan Musnad al-Firdaus karya al-Dailamī (m. 509 H) tanpa sanad kemudian Ibn Hajar al-‘Asqalānī (m. 852 H) mengemukakan sanad bagi hadis tersebut dan dimuatkan dalam al-Gharāib al-Multaqiṭah min Musnad al-Firdaus. Hadis yang sama juga boleh ditemui di Tarikh Dimasyq karya Ibn ‘Asākir (m. 571 H).

Namun begitu, hadis ini terlalu lemah kerana terdapat perawi yang bernama al-Ḥasan bin Yahyā al-Khushanī. Beliau seorang perawi yang terlalu lemah hafalannya. Tambahan lagi, periwayatannya sering ditinggalkan dan diabaikan oleh ulama hadis (matrūk).

Huraian jawapan :

Matan (teks) hadis yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

شعبان شهري ورمضان شهر اللَّه. ‌وشعبان ‌المُطَهِّر ‌ورمضان ‌المكفِّرُ

Maksudnya : “Syaaban ialah bulanku dan Ramadan ialah bulan Allah. Syaaban ialah bulan yang menyucikan diri dan Ramadan ialah bulan terhapus dosa.”

Hadis ini diriwayatkan Musnad al-Firdaus karya al-Dailamī (m. 509 H) tanpa sanad kemudian Ibn Hajar al-‘Asqalānī (m. 852 H) mengemukakan sanad bagi hadis tersebut dan dimuatkan dalam al-Gharāib al-Multaqiṭah min Musnad al-Firdaus.[1] Sanad hadis tersebut seperti berikut :

أخبرنا أبو طاهر الحَسْناباذي أخبرنا أبو بكر الباطِرْقاني حدثنا عبد اللَّه بن أحمد بن داود حدثنا أحمد بن محمد بن إبراهيم مولى بني هاشم حدثنا جعفر بن محمد اليَزْدي حدثنا هشام بن خالد حدثنا الحسن بن يحيى الخُشَني عن الأوزاعي عن يحيى بن أبي كثير عن أبي سلمة عن عائشة رضي اللَّه تعالى عنها قالت: قال رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وسلم: شعبان شهري، ورمضان شهر اللَّه. وشعبان المُطَهِّر ورمضان المكفِّرُ.

Maksudnya : “Abū Ṭāhir al-Hasnābāzī memberitahu kepada kami hadis ini, beliau berkata: Abū Bakr al-Bātirqānī memberitahu kepada kami hadis ini, beliau berkata : Abdullah bin Ahmad bin Dāud menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata : Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim Mawla Banī Hāshīm menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata: Ja’afar bin Muhammad al-Bazdī menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata : Hishām bin Khālid menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata : Al-Ḥasan bin Yahyā al-Khushanī menceritakan hadis ini kepada kami. Beliau meriwayatkan hadis ini daripada al-Auza’ī. Al-Auza’ī meriwayatkan pula daripada Yahyā bin Abī Kathīr. Yahyā meriwayatkan daripada Abū Salamah. Abu Salamah meriwayatkan daripada Aishah RA, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda: Syaaban ialah bulanku dan Ramadan ialah bulan Allah. Syaaban bulan menyucikan diri dan Ramadan ialah bulan terhapusnya dosa.

Hadis yang sama juga boleh ditemui di Tarikh Dimasyq karya Ibn ‘Asākir (m. 571 H)[2] dengan menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ja’far Bin Muhammad al-Barza’ī daripada Hishām bin Khālid. Tambahan pula, hadis dengan lafaz ini hanya ditemui dalam dua sumber ini. Tiada sanad lain yang menyokong lafaz matan ini.

Analisis sanad

Jika dilihat kepada dua sumber tersebut, kita akan dapati bahawa sanad hadis ini tertumpu kepada Ja’far bin Muhammad al-Barza’ī. Beliau meriwayatkan hadis ini daripada Hishām bin Khālid. Beliau pula meriwayatkan daripada Al-Ḥasan bin Yahyā al-Khushanī daripada al-‘Auza’ī daripada Yahyā bin Abī Kathīr daripada Abu Salamah dan Abu Salamah meriwayatkan hadis ini daripada Aisyah.

Namun begitu, hadis ini bermasalah berpunca daripada al-Ḥasan bin Yahyā al-Khushanī. Beliau ialah seorang perawi yang dikritik hebat oleh ulama hadis. Abū Ḥātim al-Rāzī (m. 277 H) mengatakan bahawa beliau ialah seorang perawi sadūq namun hafalan beliau sangat lemah.[3] Ibn Hibbān (m. 354 H) turut mengkritik beliau dengan menyebut bahawa beliau ialah perawi yang terlalu banyak melakukan kesilapan dalam periwayatan (Munkar al-Hadīth). Lebih daripada itu, al-Ḥasan bin Yahyā turut meriwayatkan hadis yang tiada asal dan hadis tersebut dinisbahkan kepada perawi yang thiqah bahkan meriwayatkan hadis-hadis yang tiada sokongan.[4]

Imam al-Nasaie (m. 303 H) mengatakan bahawa al-Ḥasan bukan perawi yang thiqah. Imam al-Daraquṭnī (m. 385 H) pula menyatakan bahawa beliau ialah perawi yang ditinggalkan periwayatannya (matrūk).[5] Al-Daraquṭnī tidak bersendirian dalam perkara ini, kebanyakan ulama hadis juga menyebut bahawa riwayat al-Ḥasan bin Yahyā ditinggalkan dan tidak dipedulikan oleh ulama hadis. Perkara ini dinyatakan oleh al-Hāfiẓ al-Zahabī (m. 748 H).[6]

Kesimpulannya, hadis ini terlalu lemah kerana terdapat perawi yang bernama al-Ḥasan bin Yahyā al-Khushanī. Beliau seorang perawi yang terlalu lemah hafalannya. Tambahan lagi, periwayatannya beliau sering ditinggalkan dan diabaikan oleh ulama hadis (matrūk).

WallahuA'lam

Disediakan oleh,

Muhammad Shahrulnizam bin Muhadi

 

Rujukan: 

[1] Abu al-Faḍl, Ahmad bin ‘Alī (2018), al-Gharāib al-Multaqiṭah min Musnad al-Firdaus al-Musammā bi Zahr al-Firdaus, Dubai: Jam’iyah Dar al-Bir, j.5 h.278.

[2] Abū al-Qāsim, ‘Ali bin Al-Ḥasan (1995), Tarīkh Dimasyq,ed.‘Amr bin Gharamah al-‘Umrawī, Beirut: Dar al-Fikr, j.72 h.155. Beliau menyebut :

   جعفر بن محمد بن محمد- ويقال: جعفر بن محمد بن خالد- البرذعي روى عن هشام بن خالد بسنده عن عائشة قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم شهر رمضان شهر الله، وشهر ‌شعبان ‌شهري، وشعبان المطهّر، ورمضان المكفّر

[3] Ibn Abī Ḥātim, Abdurrahman bin Muhammad (1952), al-Jarh wa al-Ta’dīl, Beirut: Dār al-Ihyā al-Turath al-‘Arabī, j.3 h.44.  حدثنا عبد الرحمن قال سمعت أبي يقول: ‌الحسن ‌بن ‌يحيى ‌الخشنى: صدوق سيئ الحفظ

[4] Ibn Hibbān, Muhammad bin Hibbān (2000), al-Majrūhīn min al-Muhaddithīn, ed. Hamdī Abd al-Majīd al-Silafī, Riyadh: Dar al-Ṣami’ī, j.1 h.285. Ibn Hibbān berkata: منكر الحديث جدًّا، يروي عن الثقات ما لا أصل له، وعن المتقنين ما لا يتابع عليه

[5] Al-Mizzī, Yūsuf bin Abdurrahman (1980), Tahzīb al-Kamāl fī Asmā al-Rijāl, ed. Dr. Bashār ‘Awwad Ma’rūf, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.6 h.339. al-Mizzī menukilkan وقال الدارقطني  : متروك  وَقَال النَّسَائي: ليس بثقة

[6] Syams al-Din al-Zahabī, Ahmad bin ‘Uthman (t.t), Al-Mughnī fī al-Ḍua’fā, ed. Dr. Nur al-Dīn al-‘Itr, Qatar: Idārah Ihyā al-Turāth, j.1 h.168. Al-Zahabī menyebut : واه تَركه الدَّارَقُطْنِيّ وَغَيره