Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 243: ADAKAH DITUNTUT UNTUK MAKAN TERLEBIH DAHULU SEBELUM MENUNAIKAN SOLAT SUNAT HARI RAYA

ADAKAH DITUNTUT UNTUK MAKAN TERLEBIH DAHULU SEBELUM MENUNAIKAN SOLAT SUNAT HARI RAYA

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, benarkah kita dituntut untuk menjamah makanan terlebih dahulu sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya? Adakah sama halnya dengan hari raya haji? Terima kasih Datuk. 

Ringkasan Jawapan

Seluruh umat Islam disunatkan untuk makan dan minum terlebih dahulu sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri, adapun bagi solat sunat hari raya Aidiladha, disunatkan agar melewatkan makan dan minum sehinggalah selesai mengerjakan solat sunat hari raya. Hal ini adalah kerana kedua-duanya bagi membezakan hari perayaan tersebut dengan hari sebelumnya.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَخْرُجُ يوم الفطر حتى يأكل تمرات ويأكلهن وترا

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW tidak akan keluar rumah pada hari raya Aidilfitri melainkan setelah Baginda memakan beberapa biji tamar, dan Baginda memakannya dalam bilangan yang ganjil.”

Riwayat al-Bukhari (953)

Begitu juga, terdapat sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Buraidah R.A, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يخرج يوم الفطر حتى يطعم ويوم النحر لا يأكل حتي يرجع فيأكل من نسيكته.[1]

Maksudnya:Nabi SAW tidak akan keluar rumah pada hari raya Aidilfitri sehinggalah Baginda menjamah makanan, dan pada hari raya Aidiladha pula Baginda tidak akan makan sehinggalah Baginda kembali (dari solat) lalu menjamah makanan daripada sembelihan Baginda.[2]

Berdasarkan kepada kedua-dua hadis ini, dapat kita lihat bahawa sememangnya sudah menjadi amalan kebiasaan Rasulullah SAW untuk menjamah sedikit makanan pada pagi hari raya Aidilfitri sebelum Baginda keluar menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya bersama orang ramai.

Imam al-Nawawi berkata, para ulama mazhab Syafie telah bersepakat bahawa sunat makan sesuatu pada hari raya sebelum keluar mengerjakan solat sunat hari raya. Sekiranya tidak dapat berbuat demikian sebelum, maka makanlah sebelum mengerjakan solat. Di samping itu, disunatkan makanan tersebut ialah tamar dan juga disunatkan untuk dimakan dalam bilangan yang ganjil[3].

Imam al-Syafi‘i berkata:

وَنَحْنُ نَأْمُرُ مَنْ أَتَى الْمُصَلَّى أَنْ يَطْعَمَ وَيَشْرَبَ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إلَى الْمُصَلَّى، وَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ أَمَرْنَاهُ بِذَلِكَ فِي طَرِيقِهِ، أَوْ الْمُصَلَّى إنْ أَمْكَنَهُ، وَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَا شَيْءَ عَلَيْهِ، وَيُكْرَهُ لَهُ أَنْ لَا يَفْعَلَ، وَلَا نَأْمُرُهُ بِهَذَا يَوْمَ الْأَضْحَى، وَإِنْ طَعِمَ يَوْمَ الْأَضْحَى فَلَا بَأْسَ عَلَيْهِ.

Maksudnya: “Kami memerintahkan mereka yang hadir ke tempat solat agar makan dan minum terlebih dahulu sebelum keluar menuju ke tempat solat (bagi menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri). Sekiranya dia tidak melakukannya, maka kami perintahkan agar ia dilakukan sewaktu dalam perjalanan atau di tempat solat sekiranya boleh, dan sekiranya dia tidak melakukannya juga, tidak mengapa baginya, namun makruh baginya sekiranya dia tidak menjamah sedikit makanan sebelum solat sunat hari raya[4]. Seterusnya, kami tidak pula memerintahkannya (menjamah sedikit makanan) pada hari raya Aidiladha. Namun, sekiranya dia makan juga, maka tidak mengapa.[5]

Berdasarkan kepada kalam Imam al-Syafi‘i ini juga, jelas kepada kita bahawa berbeza pula halnya pada hari raya Aidiladha, yakni kita disunatkan untuk menahan diri daripada makan dan minum sehinggalah pulang daripada mengerjakan solat sunat hari raya[6].

Sehubungan dengan itu, ada dinyatakan juga hikmah perbezaan tersebut, sebagaimana Imam al-Nawawi menukilkannya di dalam kitab al-Majmu‘, bahawa sunat untuk bersedekah pada pagi hari raya Aidilfitri sebelum mengerjakan solat sunat raya, maka disunatkan baginya untuk menjamah makanan agar orang-orang miskin dapat bersama-sama menyertai aktiviti makan tersebut. Adapun bersedekah pada hari raya Aidiladha pula, ia dilakukan selepas solat melalui aktiviti sembelihan, maka disunatkan untuk menyamai perbuatan bersedekah tersebut dengan cara menjamah makanan .

Seterusnya, antara hikmah lain pula adalah kerana umat Islam diharamkan untuk makan dan minum sebelum hari raya Aidilfitri, maka disunatkan makan pada hari raya tersebut sebelum mengerjakan solat. Hal ini adalah bagi membezakan dengan kewajipan berpuasa pada hari sebelumnya. Adapun, pada hari raya Aidiladha, sebelum hari raya tersebut kita tidaklah diharamkan untuk makan dan minum, maka aktiviti makan itu dilewatkan dengan tujuan untuk membezakan dengan hari sebelumnya.

Kesimpulannya, seluruh umat Islam disunatkan untuk makan dan minum terlebih dahulu sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri, adapun bagi solat sunat hari raya Aidiladha, disunatkan agar melewatkan makan dan minum sehinggalah selesai mengerjakan solat sunat hari raya. Hal ini adalah kerana kedua-duanya bagi membezakan hari perayaan tersebut dengan hari sebelumnya. Akhir kalam, kami menasihati sekalian kaum Muslimin agar bersama-samalah kita meningkatkan amalan-amalan sunat meskipun pada hari berbahagia ini, agar ia dapat menampung sedikit kekurangan pada amalan fardu kita. Wallahu A‘lam

 

Rujukan:

[1] Lafaz ‘نسيكة’ seerti dengan ‘ذبيحة’ yang bererti sembelihan. Lihat: https://www.almaany.com/en/dict/ar-en/نسيكة/, laman web diakses pada 27 April 2022.

[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 5/5.

والسنة ان يأكل في يوم الفطر قبل الصلاة ويمسك يوم النحر حتى يفرغ من الصلاة لما روى بريدة رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ " كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يخرج يوم الفطر حتى يطعم ويوم النحر لا يأكل حتي يرجع فيأكل من نسيكته " والسنة أن يأكل التمر ويكون وترا لِمَا رَوَى أَنَسٌ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " كَانَ لَا يَخْرُجُ يوم الفطر حتى يأكل تمرات ويأكلهن وترا "}

[3] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 5/6.

وَاتَّفَقَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ عَلَى أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ أَنْ يَأْكُلَ فِي عِيدِ الْفِطْرِ شَيْئًا قَبْلَ الْخُرُوجِ إلَى الصَّلَاةِ فَإِنْ لَمْ يَأْكُلْ قَبْلَ الْخُرُوجِ فَلِيَأْكُلْ قَبْلَ الصَّلَاةِ وَيُسْتَحَبُّ كَوْنُ الْمَأْكُولِ تَمْرًا وَكَوْنُهُ وِتْرًا لِمَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ

[4] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 1/592.

وَالشُّرْبُ كَالْأَكْلِ، وَيُكْرَهُ لَهُ تَرْكُ ذَلِكَ كَمَا نَقَلَهُ فِي الْمَجْمُوعِ عَنْ نَصِّ الْأُمِّ.

[5] Muhammad bin Idris al-Syafi‘i, al-Umm¸(Beirut: Dar al-Ma‘rifah, t.c, 1410H), 1/266. Lihat juga: Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 1/592.

(وَيَأْكُلُ فِي عِيدِ الْفِطْرِ قَبْلَ الصَّلَاةِ) وَالْأَفْضَلُ كَوْنُ الْمَأْكُولِ تَمْرًا وِتْرًا فَإِنْ لَمْ يَأْكُلْ مَا ذُكِرَ فِي بَيْتِهِ فَفِي الطَّرِيقِ أَوْ الْمُصَلَّى إنْ تَيَسَّرَ (وَيُمْسِكُ) عَنْ الْأَكْلِ (فِي) عِيدِ (الْأَضْحَى) حَتَّى يُصَلِّيَ لِلِاتِّبَاعِ و

[6] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 5/6.

وَالسُّنَّةُ فِي عِيدِ الْأَضْحَى أَنْ يُمْسِكَ عَنْ الْأَكْلِ حَتَّى يَرْجِعَ مِنْ الصَّلَاةِ لِمَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ

Lihat juga: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 1/277.

 - 3يسن في عيد الفطر أن يأكل شيئاً قبل خروجه إلى الصلاة.

أمَّا في عيد الأضحى فيُسنُّ له أن يمسك عن الطعام حتى يعود من الصلاة.