Soalan:
Assalamualaikum. SS Tuan Mufti, boleh jelaskan berkenaan aurat muslimah dengan perempuan yang bukan Islam dalam keadaan yang susah nak tutup aurat setiap masa contohnya rakan sebilik?
Ringkasan Jawapan:
Hukum aurat wanita muslimah dengan wanita bukan muslim menurut jumhur ulama adalah seluruh tubuh seperti mana aurat antara wanita muslimah dan lelaki ajnabi. Bahkan, menurut pendapat muktamad mazhab Syafi’i, wanita bukan muslim boleh melihat wanita muslimah pada anggota yang zahir ketika bekerja.
Namun begitu, dalam keadaan keperluan yang mendesak atau menyukarkan wanita muslimah untuk menutup aurat sebagaimana yang ditetapkan oleh jumhur ulama, wanita muslimah dibenarkan menampakkan aurat di hadapan wanita bukan muslim sebagaimana auratnya sesama wanita muslimah sebagaimana pendapat mazhab Hanbali dan pendapat kedua mazhab Syafi’i. Ini tertakluk juga sekiranya wanita bukan muslim tersebut boleh dipercayai, keadaan tersebut selamat dan aman daripada fitnah serta tidak menjatuhkan maruah wanita muslimah.
Hal ini diberikan dalam keadaan darurat bagi mengelakkan wanita muslimah terjerumus dalam dosa, selaras dengan prinsip syariah yang menitikberatkan kemaslahatan dan menghindari kesulitan. Wallahu a’lam.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Dalam Islam, konsep aurat bukan sekadar isu berpakaian, tetapi mencerminkan nilai kesopanan, maruah dan ketaatan seorang Muslim terhadap perintah Allah SWT. Perbincangan mengenai batas aurat sering tertumpu kepada interaksi antara lelaki dan wanita, namun tidak kurang pentingnya memahami batas aurat antara sesama wanita, khususnya antara wanita Muslim dan wanita bukan Muslim. Persoalan ini menjadi lebih signifikan dalam masyarakat majmuk yang mengamalkan kepelbagaian agama dan budaya, seperti di Malaysia.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran kepada wanita muslimah untuk menjaga auratnya seperti berikut:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٣١﴾
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Surah al-Nur (31)
Definisi Aurat
Perkataan aurat ialah merujuk kepada bahagian tubuh yang tidak boleh kelihatan atau wajib ditutup. Terdapat beberapa perbahasan berkenaan aurat wanita yang perlu ditutup dalam kalangan wanita antara muslim dan bukan muslim.
Pendapat Ulama berkaitan Aurat Muslimah dengan Wanita bukan Muslim
Ulama fiqh berbeza pendapat berkenaan aurat wanita muslimah pada pandangan wanita bukan muslim seperti berikut:
● Seluruh tubuh seperti auratnya ketika berada di kalangan lelaki ajnabi.
Pendapat ini merupakan pendapat jumhur ulama iaitu mazhab Hanafi[1], mazhab Maliki[2] dan pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i. Imam al-Khatib al-Syirbini berkata:
(وَالْأَصَحُّ تَحْرِيمُ نَظَرِ) كَافِرَةٍ (ذِمِّيَّةٍ) أَوْ غَيْرِهَا (إلَى مُسْلِمَةٍ) فَتَحْتَجِبُ الْمُسْلِمَةُ عَنْهَا لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {أَوْ نِسَائِهِنَّ} [النور: 31] [النُّورُ] فَلَوْ جَازَ لَهَا النَّظَرُ لَمْ يَبْقَ لِلتَّخْصِيصِ فَائِدَةٌ
Maksudnya: “Pendapat yang sahih adalah haram wanita kafir sama ada zimmi atau selainnya (harbi) melihat aurat wanita muslimah, maka wanita muslimah hendaklah berhijab dengannya berdasarkan firman Allah SWT: “atau perempuan-perempuan Islam” dalam Surah al-Nur: 31. Maka jika dibolehkan bagi wanita kafir untuk melihat, nescaya tidak ada lagi manfaat wujudnya takhsis (pengecualian) tersebut.”[3]
Bahkan, dinyatakan juga harus wanita kafir melihat wanita muslimah anggota yang zahir ketika bekerja dan ia adalah pandangan muktamad.[4]
Imam al-Ramli al-Kabir menjelaskan maksud anggota yang zahir ketika bekerja ialah muka, kepala, tangan hingga siku dan kaki hingga lutut.[5]
● Aurat sebagaimana antara lelaki dan lelaki atau antara wanita dan wanita tanpa membezakan agama.
Pendapat ini merupakan pendapat mazhab Hanbali[6] dan pendapat kedua dalam mazhab Syafi’i sebagaimana berikut:
وَالثَّانِي: لَا يَحْرُمُ نَظَرًا إلَى اتِّحَادِ الْجِنْسِ كَالرِّجَالِ فَإِنَّهُمْ لَمْ يُفَرِّقُوا فِيهِمْ بَيْنَ نَظَرِ الْكَافِرِ إلَى الْمُسْلِمِ وَالْمُسْلِمِ إلَى الْمُسْلِمِ.
Maksudnya: “Pendapat yang kedua: Tidak diharamkan wanita kafir memandang wanita muslimah kerana persamaan jantina, seperti antara lelaki sesama lelaki. Ini kerana para ulama tidak membezakan dalam perkara ini pandangan lelaki kafir kepada lelaki muslim dan antara lelaki muslim kepada lelaki muslim yang lain.”[7]
Oleh yang demikian, menurut pendapat majoriti ulama fiqh bahawa aurat muslimah pada pandangan wanita bukan Muslim (kafirah) adalah seperti aurat perempuan pada pandangan lelaki ajnabi.[8]
Selain itu, mazhab Maliki juga menyatakan pengharaman wanita bukan muslim melihat wanita muslimah kerana dibimbangi wanita kafir itu akan menceritakan sifat tubuhnya kepada suaminya yang kafir. Maka, pengharaman ini adalah disebabkan faktor luaran iaitu kebimbangan tersebut, bukan kerana tubuh itu adalah aurat pada asalnya. Perkara ini juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُبَاشِرُ المَرْأَةُ المَرْأَةَ، فَتَنْعَتَهَا لِزَوْجِهَا كَأَنَّهُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا
Maksudnya: “Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain, lalu wanita lain itu menceritakan kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis tersebut, seorang isteri dilarang menceritakan keadaan bentuk badan wanita lain kepada suaminya kerana dikhuatiri suaminya berasa tertarik dengan sifat yang disebutkan sehingga menceraikan isterinya dan mengidamkan wanita yang diceritakan sifatnya itu. Hadis ini merupakan hujah Imam Malik dalam menentukan piawaian sadd al-zariah iaitu menghalang perbuatan harus yang boleh membawa kepada sesuatu yang haram.[9]
Namun begitu, dalam keadaan keperluan yang mendesak atau menyukarkan wanita muslimah untuk menutup aurat sebagaimana yang ditetapkan oleh majoriti ulama, wanita muslimah dibolehkan menampakkan aurat di hadapan wanita bukan Muslim sebagaimana auratnya sesama wanita muslimah sekiranya wanita bukan muslim tersebut boleh dipercayai, keadaan tersebut selamat dan aman daripada fitnah. Ini juga sebagaimana yang dinyatakan dalam pendapat mazhab Hanbali dan pendapat kedua mazhab Syafi’i.
Kesimpulan
Pengawalan dan penjagaan aurat adalah amat penting. Tetapi dalam keadaan tertentu, jika sesama wanita sekalipun wanita bukan Islam maka ia adalah harus untuk menampakkan sebahagian auratnya dengan syarat tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah wanita muslimah. Ini kerana keadaan realiti kehidupan kini berbeza dengan zaman dahulu. Justeru, meraikan keadaan semasa yang bersifat realiti perlu diambilkira.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Al-Haskafi, Ala al-Din Muhammad bin Ali. Al-Dur al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar wa Jami’ al-Bihar. (Beirut: Dar al-Kutub al’Ilmiyyah, 2002). Hlm. 656.
والذمية كالرجل الاجنبي في الاصح فلا تنظر إلى بدن المسلمة
[2] Al-Dusuqi, Muhammad bin Ahmad.. Al-Syarh al-Kabir wa Hasyiyah al-Dusuqi. (T.tp: Dar al-Fikr, t.t.). 1/213-214.
(قَوْلُهُ: وَلَوْ كَافِرَةً) أَيْ هَذَا إذَا كَانَتْ الْحُرَّةُ أَوْ الْأَمَةُ مُسْلِمَةً بَلْ وَلَوْ كَانَتْ كَافِرَةً وَهَذَا مُسَلَّمٌ فِي الْأَمَةِ وَأَمَّا الْحُرَّةُ الْكَافِرَةُ فَعَوْرَةُ الْحُرَّةِ الْمُسْلِمَةُ مَعَهَا عَلَى الْمُعْتَمَدِ مَا عَدَا الْوَجْهَ وَالْكَفَّيْنِ كَمَا فِي بْن لَا مَا بَيْنَ السُّرَّةِ وَالرُّكْبَةِ فَقَطْ كَمَا هُوَ ظَاهِرُ الشَّارِحِ وَقَوْلُ عبق مَا عَدَا الْوَجْهَ وَالْأَطْرَافَ مَمْنُوعٌ بَلْ فِي شب حُرْمَةُ جَمِيعِ الْمُسْلِمَةِ عَلَى الْكَافِرَةِ لِئَلَّا تَصِفَهَا لِزَوْجِهَا الْكَافِرِ فَالتَّحْرِيمُ لِعَارِضٍ لَا لِكَوْنِهِ عَوْرَةً كَمَا أَفَادَهُ شَيْخُنَا وَغَيْرُهُ
[3] Al-Khatib al-Syirbini. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (T.tp: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1994). 4/213.
[4] Ibid.
نَعَمْ عَلَى الْأَوَّلِ يَجُوزُ أَنْ تَرَى مِنْهَا مَا يَبْدُو عِنْدَ الْمِهْنَةِ عَلَى الْأَشْبَهِ فِي الرَّوْضَةِ كَأَصْلِهَا وَهُوَ الْمُعْتَمَدُ، وَقِيلَ: الْوَجْهُ وَالْكَفَّيْنِ فَقَطْ، وَرَجَّحَ الْبُلْقِينِيُّ أَنَّهَا مَعَهَا كَالْأَجْنَبِيِّ، وَصَرَّحَ بِهِ الْقَاضِي وَغَيْرُهُ.
[5] Al-Ramli al-Kabir, Ahmad. Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib wa Hasyiyah al-Ramli al-Kabir. (T.tp: Al-Matba’ah al-Maimuniyyah, 1313H). 3/111.
(قَوْلُهُ نَعَمْ يَجُوزُ لَهَا أَنْ تَرَى إلَخْ) أَشَارَ إلَى تَصْحِيحِهِ وَقَوْلُهُ مَا يَبْدُو عِنْدَ الْمِهْنَةِ وَهُوَ الْوَجْهُ وَالرَّأْسُ وَالْيَدُ إلَى الْمِرْفَقِ وَالرِّجْلِ إلَى الرُّكْبَةِ ش
[6] Ibn Qudamah, Abdullah bin Ahmad. Al-Mugni. (Kaherah: Maktabah al-Qaherah, 1969). 7/105.
وحكم المرأة مع المرأة حكم الرجل مع الرجل سواء، ولا فرق بين المسلمتين، وبين المسلمة والذمية، كما لا فرق بين الرجلين المسلمين، وبين المسلم والذمي، في النظر. قال أحمد: ذهب بعض الناس إلى أنها لا تضع خمارها عند اليهودية والنصرانية، وأما أنا فأذهب إلى أنها لا تنظر إلى الفرج، ولا تقبلها حين تلد. وعن أحمد رواية أخرى: أن المسلمة لا تكشف قناعها عند الذمية، ولا تدخل معها الحمام. وهو قول مكحول وسليمان بن موسى
[7] Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. 4/213.
[8] Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait. Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (Mesir: Matabi’ Dar al-Safwah, 1427H). 31/47
ذهب جمهور الفقهاء: (الحنفية والمالكية وهو الأصح عند الشافعية) إلى أن المرأة الأجنبية الكافرة كالرجل الأجنبي بالنسبة للمسلمة، فلا يجوز أن تنظر إلى بدنها، وليس للمسلمة أن تتجرد بين يديها
[9] Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar al-Asqalani, 9/338