Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-103 : HUKUM MENUNAIKAN SOLAT SUNAT TAHIYYATUL MASJID DI SURAU DIRI JUMAAT

Soalan:

Apakah hukumnya menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid di surau diri Jumaat?

 

Jawapan:

 

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Umum mengetahui bahawa solat sunat tahiyyatul masjid dilakukan oleh seseorang kerana memasuki masjid dan ianya warid di dalam hadith Nabi SAW di mana Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga menunaikan solat dua rakaat”.

Riwayat al-Bukhari (1167)

Untuk lebih memahami permasalahan ini, kami nyatakan di sini apa yang dimaksudkan dengan masjid, masjid al-Jami’, musolla dan juga surau sebelum membincangkan mengenai hukum solat sunat tahiyyatul masjid di surau diri Jumaat.

 

Definisi Masjid, Masjid Al-Jami’ & Musolla

Masjid: Masjid ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya kerana Allah SWT, beribadat kepada-Nya dengan ikhlas. Masjid juga adalah dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima (5) waktu dan tidaklah termasuk musolla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu seperti solat sunat hari raya, istisqa’ dan selainnya. Tidak diberikan hukum masjid baginya seperti mana juga madrasah dan juga ribat. (Lihat I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masaajid oleh al-Imam Al-Zarkasyi).

Masjid al-Jami’: Di dalam kitab-kitab fiqh, istilah masjid al-Jami’ diberikan maknanya seperti masjid hanya yang membezakannya ialah di masjid al-Jami’ didirikan Solat Jumaat manakala di masjid tidak didirikan Solat Jumaat.

Musolla: Musolla dari segi bahasa bermaksud tempat sembahyang dan berdoa. Namun, dari segi istilahnya, ia merujuk kepada tanah lapang yang luas dan padanya manusia berkumpul untuk menunaikan solat bagi tujuan-tujuan seperti solat istisqa’ (solat minta hujan), solat jenazah dan solat sunat  ’idilfitri dan ’idiladha. Ini dapat difahami melalui hadis Nabi SAW:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَرَجَ إِلَى المصلّى يَسْتَسْقِى وَأَنَّهُ لَمَّا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ اسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ وَحَوَّلَ رِدَاءَهُ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW keluar ke musolla untuk solat istisqa’. Apabila ingin berdoa, baginda akan mengadap kiblat dan membalik-balikkan selendangnya".

Riwayat al-Bukhari (6343) & Muslim (894c)

Begitu juga dengan hadis ketika mana Nabi SAW mendapat perkhabaran telah matinya al-Najasyi, Raja Habsyah dan Nabi SAW keluar ke tanah lapang (musolla) untuk solat ke atas jenazah al-Najasyi. Kata Abu Hurairah RA:

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِي فِيْ اليَوْمِ الَّذِيْ مَاتَ فِيْهِ خَرَجَ إِلَى المصلّى فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najashiy pada hari kematiannya, lalu Baginda keluar ke musolla dan menyusun saf bersama mereka (sahabat) dan Baginda bertakbir empat kali (solat jenazah)”.

Riwayat al-Bukhari (1245)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang lain:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى المصلّى، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاةَ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُوْمُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوْسٌ عَلَى صُفُوْفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوْصِيْهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيْدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW keluar ke musolla pada Hari Raya Idilfitri dan Adha. Perkara pertama yang dimulakan baginda ialah solat (sunat Hari Raya), kemudian baginda selesai. Lalu baginda bangun mengadap orang ramai dalam keadaan mereka duduk dalam saf masing-masing. Maka baginda pun (berkhutbah) memberi peringatan, memberi nasihat dan memerintahkan mereka. Sekiranya baginda ingin mengutus utusan, maka baginda akan mengutuskannya, atau baginda ingin menyuruh sesuatu, maka baginda akan menyuruhnya dan kemudian baginda bersurai ”.

Riwayat al-Bukhari (956)

Difahami di sini bahawa Rasulullah SAW tidak menunaikan semua jenis solat di masjid, bahkan pada tujuan-tujuan tertentu, Rasulullah SAW akan keluar untuk solat di musolla. Musolla pula bukanlah tempat rasmi yang digunakan oleh Rasulullah SAW setiap hari untuk menunaikan solat namun pada keadaan-keadaan tertentu seperti yang telah disebutkan di atas, Nabi SAW pergi ke musolla untuk menunaikannya.

 

Adakah Musolla Dikira Sebagai Masjid?

Melalui definisi musolla sebelum ini, dapat difahami bahawa ia adalah tempat solat sempena acara tertentu. Kebiasaannya musolla yang menjadi tempat solat Rasulullah SAW untuk hari raya atau solat istisqa’ ialah di kawasan lapang atau padang. Ia bukanlah tempat solat lima waktu atau solat Jumaat yang tetap seperti masjid.

Menurut mazhab al-Syafi’e musolla tidak dikira sebagai masjid. Al-Imam al-Ghazali apabila ditanyakan tentang musolla yang dilakukan solat hari raya di luar bandar, jawab al-Imam:

لا يَثْبُتُ لَهُ حُكْمُ الْمَسْجِدِ فِي الاِعْتِكَافِ وَمُكْث الْجُنُبِ وَغَيْرِهِ مِنَ الأَحْكَامِ، لأَنَّ الْمَسْجِدَ هُوَ الَّذِيْ أُعِدَّ لِرَوَاتِبِ الصَّلاَةِ، وَعُيِّنَ لَهَا حَتَّى لاَ يُنْتَفَعَ بِهِ فِيْ غَيْرِهَا. وَمَوْضِعُ صَلاَةِ الْعَيْدِ مُعَدٌّ لِلاِجْتِمَاعَاتِ وَلِنُـزُوْلِ الْقَوَافِلِ، وَلِرُكُوْبِ الدَّوَابِّ، وَلَعْبِ الصِّبْيَانِ. وَلَمْ تَجْرِ عَادَةُ السَّلَفِ بِمَنْعِ شَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ فِيْهِ، وَلَوْ اعْتَقَدُوْه مَسْجِدًا لَصَانُوْهُ عَنْ هَذِهِ الأَسْبَابِ وَلقصد لإِقَامَةِ سَائِرِ الصَّلَوَاتِ. وَصَلاَةُ الْعَيْدِ تَطَوُّعٌ، وَهُوَ لاَ يَكْثُرُ تَكَرُّرُهُ بَلْ يُبْنَى لِقَصْدِ الاِجْتِمَاعِ وَالصَّلاَةُ تَقَعُ فِيْهِ بِالتَّبَعِ

Maksudnya: “Tidak ada baginya (musolla) hukum masjid dari segi iktikaf, hukum orang berjunub duduk dalam masjid dan hukum hakam yang lain. Ini kerana masjid ialah tempat yang disediakan untuk solat lima waktu. Masjid telah ditentukan khusus untuknya (solat lima waktu) sehinggakan masjid tidak boleh dimanfaat tanpanya. Tempat untuk solat hari raya pula disediakan untuk perjumpaan-perjumpaan, tempat berhentinya rombongan-rombongan, tempat untuk menaiki binatang ternakan dan tempat mainan kanak-kanak. Ulama terdahulu tidak pernah menghalang perkara-perkara tersebut pada tempat terebut (musolla). Jikalaulah mereka menganggap ia sebagai masjid, sudah pasti mereka akan menjaganya daripada perkara-perkara tersebut. Begitu juga -mereka akan menjaganya- atas sebab mendirikan solat-solat lain. Solat hari raya adalah sunat, ia tidak berulang banyak kali. Ia dilakukan di musolla untuk tujuan perhimpunan. Solat hari raya di situ (musolla) kerana mengikut perbuatan Nabi ” Rujuk I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masajid (hal.389]

Al-Imam al-Nawawi pula berkata:

الْمُصَلَّى الْمُتَّخَذُ لِلْعِيدِ وَغَيْرِهِ الَّذِي لَيْسَ بِمَسْجِدٍ لَا يَحْرُمُ الْمُكْثُ فِيهِ عَلَى الْجُنُبِ وَالْحَائِضِ عَلَى الْمَذْهَبِ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ

Maksudnya: “Musolla yang dijadikan tempat solat hari raya dan lain-lainnya yang bukan dianggap masjid, tidak haram padanya bagi orang berjunub, wanita haid atas pandangan mazhab. Pendapat ini dipegang oleh jumhur ulama”.

Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (2/180)

Pendapat mazhab lain seperti mazhab Hanbali mengatakan bahawa musolla yang digunakan padanya untuk solat hari raya dikira sebagai masjid manakala yang digunakan untuk menunaikan solat jenazah tidak dikira sebagai masjid. Lihat al-Syarh al-Mumti’ ‘ala Zaad al-Mustaqni’ (5/154)

Adapun mazhab Hanafi, mereka mengatakan bahawa musolla (untuk solat hari raya dan jenazah) bukanlah masjid namun dalam beberapa perkara diberikan hukum sebagai masjid.

Tarjih: Setelah melihat kepada pendalilan di atas, kecenderungan terdapat pada mazhab al-Syafi’e berdasarkan alasan-alasan berikut:

  1. Musolla atau tempat yang dijadikan tempat solat sempena acara tertentu seperti padang, stadium, dewan dan lain-lain tidak dianggap masjid. Ini kerana ia dijadikan tempat solat sementara dan bukannya tempat solat yang tetap.
  2. Terkadang tempat seperti padang atau stadium hanya dilakukan solat di situ sekali dua sahaja sempena program tertentu. Itulah keadaan dan penggunaan musolla di zaman Nabi SAW. Wallahu a’lam.

 

Surau

Perkataan surau secara pastinya bukan berasal dari perkataan Arab. Di dalam Kamus Dewan edisi ke-4, surau bermakna “bangunan yang lebih kecil daripada masjid, tempat orang-orang beribadat seperti bersembahyang dan belajar agama. Nama lain bagi surau ialah langgar dan madrasah”.

Sinonim dikalangan masyarakat Melayu, apabila dikatakan surau, dapat difahami bahawa ianya sebuah tempat untuk menunaikan solat dan boleh jadi surau itu adalah sebuah bilik kecil di pejabat ataupun pusat membeli belah ataupun masjid yang tidak didirikan solat Jumaat padanya.

Jika terdapat kawasan perumahan dan di situ terdapat surau, difahami bahawa surau itu padanya dikerjakan solat lima waktu namun tidak didirikan solat Jumaat bahkan dalam sesetengah surau terdapat AJK-nya yang tersendiri untuk mentadbir urus surau tersebut.

Terdapat juga sesetengah surau yang telah dinaiktarafkan sebagai masjid dan terdapat juga yang diberikan kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat dan selalunya istilah yang digunakan adalah surau diri Jumaat.

 

Surau Diri Jumaat

Di Malaysia, terdapat satu istilah yang digunakan kepada surau yang diberikan padanya kebenaran oleh pihak berkuasa untuk mendirikan solat Jumaat. Istilah bagi surau tersebut adalah “Surau Diri Jumaat” bagi melambangkan bahawa surau tersebut ada menunaikan solat Jumaat.

Jika kita melihat kepada perbahasan sebelum ini, kita telah melihat bahawa masjid telah diberikan definisinya yang tersendiri mengikut hukum syara’ dan kita juga telah mengetahui bahawa istilah surau tidak pernah wujud di dalam Bahasa Arab dan menyebabkan para ulama’ dan fuqaha’ tidak pernah membincangkannya. Namun, apabila kita melihat kepada fungsi sesetengah surau yang ada di Malaysia, kita dapati bahawa ianya menepati ciri-ciri sebuah masjid.

Sesetengah surau di Malaysia padanya dilaungkan azan, ditunaikan solat lima waktu berjemaah di dalamnya, bahkan surau-surau ini ada carta organisasinya yang tersendiri dari sudut pentadbiran dan juga bangunan yang sesuai. Surau-surau ini juga telah didaftarkan dengan jabatan-jabatan agama negeri masing-masing untuk mendapatkan pengesahan seterusnya mula beroperasi. Surau-surau seperti ini wujud di kawasan perumahan awam yang mana apabila pihak pemaju ingin memajukan sesuatu kawasan yang majoritinya beragama Islam, maka sebidang tanah telah diperuntukkan untuk dibinakan surau atau masjid yang mana tanah itu akan diambil alih pengurusannya oleh majlis atau jabatan agama yang terbabit. Atas dasar ini, kami melihat, meskipun asal pada namanya adalah surau namun ianya telah menepati ciri-ciri masjid yang telah ditetapkan.

Tarjih: Sesetengah pendapat tidak membenarkan solat sunat tahiyyatul masjid di surau diri Jumaat atas alasan ianya bukan masjid dan kami melihat bahawa pendapat ini tidak begitu kuat asas dalilnya. Di sini kami kemukakan beberapa alasan untuk menunjukkan kebolehan untuk menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid di surau diri Jumaat:

Secara urufnya kita melihat apa yang dilakukan di masjid terdapat juga ciri-cirinya pada surau. Hanya surau itu tidak ditunaikan solat Jumaat padanya dan dari segi saiznya pula, ia agak kecil dari masjid. Dalam satu kaedah fiqh, الْعِبْرَةُ بِالْقَصْدِ لا بِالْأَلْفَاظِ yang bermakna "Yang diambil kira ialah maksud bukannya perkataan (istilah)", boleh kita katakan surau juga ialah tempat solat lima waktu secara jemaah, maka ia sama statusnya dengan masjid walaupun ia tidak dinamakan sebagai masjid.

Memahami erti masjid dalam Bahasa Arab dan juga istilah fiqh, maka kami dapati kedua-duanya selari dan surau diri Jumaat juga menepati ciri-ciri tersebut.

Pada zaman Nabi SAW, terdapat banyak masjid di sekitar Madinah namun jika ingin menunaikan Solat Jumaat, ianya hanya dilakukan di Masjid al-Nabawi. Oleh itu, dibolehkan untuk menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid di surau yang mendirikan solat Jumaat. Ini bagi menerangkan bahawa pada zaman Nabi SAW, meskipun tidak didirikan solat Jumaat pada masjid tersebut, ianya tetap dinamakan dengan masjid. Adapun masyarakat Melayu Islam beranggapan bahawa masjid padanya didirikan solat Jumaat manakala surau pula tidak didirikan solat Jumaat padanya.

Ini juga dalam rangka untuk menyediakan lebih banyak ruang bagi masyarakat awam untuk melakukan ibadah dan bukan hanya masjid al-Jami’ sahaja, tetapi ianya juga merangkumi surau diri Jumaat yang diertikan sebagai masjid berdasarkan pengertian ulama’-ulama’ silam seperti surau-surau yang terdapat di kawasan perumahan dan ini termasuklah dalam bab al-Targhibbagi menggalakkan umat Islam untuk melakukan amal kebaikan. Wallahu a’lam.

 

Keputusan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-96 yang telah besidang pada 24 Februari 2016 bersetuju untuk membenarkan ditunaikan solat sunat tahiyyatul masjid di surau diri Jumaat berdasarkan hujah-hujah yang telah dikemukakan sebelum ini.

Semoga, Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman yang baik dalam beragama dan seterusnya dapat beramal untuk mencari keredhaan-Nya. Amin.

 

Akhukum fillah,

S.S Dato' Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

25 Februari 2016 bersamaan 16 Jamadilawwal 1437H