Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 283 : SOLAT DUA IMAM DI SURAU REHAT DAN RAWAT (R&R)

 IF283

Soalan:

Assalamualaikum, saya ingin memohon pandangan Mufti terhadap isu yang seringkali berlaku iaitu terdapat beberapa jemaah dengan beberapa imam yang berbeza di surau-surau R&R dalam satu masa yang sama. Adakah ia dibolehkan ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertama sekali kami mengucapkan tahniah atas kecaknaan anda dalam mengutarakan persoalan ini. Tidak dinafikan bahawa telah banyak aduan dan pertanyaan berkaitan solat dua imam atau lebih di surau-surau kawasan Rehat dan Rawat (R&R) ini dikemukakan kepada kami. Justeru kami akan membahaskan isu ini dengan terperinci dalam ruangan ini bagi menjelaskan hukum-hakam serta adab-adab yang berkaitannya dalam usaha merungkaikan kekeliruan yang berlaku.

Solat berjamaah merupakan sebahagian dari syiar agama Islam. Melazimi dan membesarkan solat berjamaah serta istiqamah dalam melaksanakannya adalah pembuktian yang zahir terhadap ketakwaan yang terdapat di dalam jantung hati seseorang. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

 وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: Sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia merupakan antara tanda ketakwaan jantung hati.

Surah Al-Haj (32)

Meskipun siyaq (konteks) ayat ini merujuk kepada amalan-amalan dalam ibadah haji seperti wukuf di ‘Arafah, melontar jamrah, serta beberapa perbuatan yang lain, namun ibrah adalah berdasarkan kepada keumuman lafaz. Ia seperti yang disebutkan dalam sebuah kaedah yang masyhur:

العِبْرَةُ بِعمُومِ اللفْظِ

Maksudnya: Ibrah itu merujuk kepada keumuman lafaz.

Oleh kerana itulah Imam Al-Hafiz Ibn Katsir apabila menafsirkan ayat tersebut beliau berkata: Iaitu (sesiapa yang membesarkan) perintah-perintah Allah. Lihat Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, Ibn Katsir (5/424).

Justeru, membesarkan dan melazimi solat berjamaah juga termasuk dalam perbuatan membesarkan syiar-syiar Allah kerana ia merupakan ibadah yang disyariatkan. Antara dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan solat berjamaah adalah:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: Dan dirikanlah solat, tunaikan zakat, serta ruku’lah kamu bersama dengan orang-orang yang ruku’ (solat berjamaah).

Surah Al-Baqarah (43)

Berdasarkan kepada ayat di atas, ia menunjukkan bahawa solat berjamaah adalah diperintahkan. Ruku’ di dalam ayat di atas adalah merujuk kepada solat kerana ruku’ adalah sebahagian dari rukun solat. Manakala ruku’ bersama golongan yang ruku’ adalah isyarat kepada pensyariatan solat berjamaah.

Imam Ibn Katsir dalam tafsirannya ke atas ayat ini berkata: Allah memerintahkan mereka untuk ruku’ bersama dengan golongan yang ruku’ dari kalangan umat Nabi Muhammad S.A.W. Dengan katanya: ‘’Jadilah kamu dari kalangan mereka (orang-orang yang ruku’) dan jadikan diri kamu tergolong bersama dengan mereka’’. Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, Ibn Katsir (1/245).

Isu Banyak Imam Di Surau-Surau R&R Dalam Waktu Yang Sama

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami merasakan bahawa situasi yang berlaku di kebanyakan surau R&R adalah disebabkan beberapa faktor berikut:

Pertama: Kekeliruan Berkenaan Hukum-Hakam Jamak dan Qasar

Sebahagian mereka yang menunaikan solat di surau-surau R&R kadangkala keliru dengan beberapa permasalahan hukum yang berkait rapat dengan isu jamak dan qasar. Sebagai contohnya, sebahagian mereka yang dalam keadaan bermusafir memilih untuk mendirikan solat jemaah yang baharu sedangkan di dalam surau tersebut pada ketika itu telah ada solat berjamaah. Ini kerana mereka menyangkakan bahawa jemaah yang sedang berlangsung mendirikan solat secara tamam (penuh) sedangkan mereka ingin melakukan solat jamak dan qasar.

Isu ini tidak sepatutnya timbul pada asalnya. Ini kerana, tatacara dalam melaksanakan solat dalam keadaan sebegini akan menjadi mudah sekiranya kita mengikuti panduan berikut:

  • Sekiranya seseorang yang bermusafir itu masuk ke dalam surau R&R dan mendapati terdapatnya solat berjamaah yang sedang didirikan, hendaklah dia mengikuti solat berjamaah tersebut meskipun dia sedang bermusafir.

Sekiranya dia dalam keadaan muwafiq iaitu mengikuti solat berjamaah dari awal solat, dan imam melakukan solat secara tamam (solat penuh empat rakaat), maka hendaklah dia turut mengikut imam sehingga selesai solat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ ـ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا

Maksudnya: Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti. Apabila imam bertakbir, hendaklah kamu bertakbir. Apabila imam ruku’ hendaklah kamu ruku’ dan apabila imam bangun, hendaklah kamu bangun.

Riwayat Al-Bukhari (733)

Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.A bahawa beliau ditanyakan: ‘’Mengapakah orang musafir itu menunaikan solat dua rakaat ketika bersendirian dan solat empat rakaat apabila dia berimamkan kepada orang yang mukim ?’’ Maka jawab Ibn Abbas: ‘’Yang demikian itu adalah sunnah’’. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (2/64).

Manakala jika dia (orang musafir) itu dalam keadaan masbuq iaitu telah lewat beberapa rakaat dari imam, maka jika imam selesai memberikan salam dia hendaklah terus naik dan hendaklah menyelesaikan solat secara tamam memandangkan dia merupakan seorang musafir yang mengikut imam yang solat tamam.

Prof. Dr. Muhammad Al-Zuhaili berkata: ‘’Sekiranya seseorang yang bermusafir itu mengikut imam yang mukim maka menjadi kelaziman buatnya untuk solat secara tamam (penuh). Ini kerana ia merupakan solat yang wajib untuk disempurnakan (solat secara penuh)’’.

Beliau berkata lagi: Sekiranya (orang yang bermusafir itu) mengikut imam yang bermusafir dan dia jahil (tidak mengetahui) niat imamnya (sama ada beliau solat secara tamam atau qasar) maka dia boleh untuk menta’liqkan niatnya (mengikat niat). Iaitu dengan cara: ‘’Sekiranya dia (imam) qasar maka aku pun qasar dan sekiranya dia solat tamam (solat penuh) maka aku pun tamam’’.

Mengikut pendapat paling sahih ta’liqannya itu adalah sah. Maka sekiranya imam solat tamam dia pun turut solat tamam dan sekiranya imam solat qasar maka dia pun solat qasar. Ini kerana zahir dari keadaan musafir adalah qasar. Rujuk Al-Mu’tamad fil Feqh Al-Syafi’e, Dr. Muhammad Al-Zuhaili (1/475).

  • Manakala seseorang yang mukim (tidak bermusafir) pula, apabila dia mengikuti solat berjamaah yang telah didirikan dan dia mendapati imam tersebut menunaikan solat secara qasar, maka apabila imam selesai memberi salam hendaklah dia bangun dan menyelesaikan bilangan rakaatnya secara penuh. Ini kerana dia tidak memiliki syarat-syarat untuk menqasarkan solat.

Kekeliruan dalam hukum-hakam berkaitan solat musafir di surau-surau R&R ini juga sudah ditangani kerana terdapat banyak artikel-artikel atau panduan solat musafir yang disediakan oleh pihak pengurusan R&R dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri.

Hukum Makmum Mukim Berimamkan Imam Yang Musafir

Dalam isu ini terdapat sebuah riwayat yang dapat dijadikan panduan dan rujukan kepada kita. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain beliau berkata:

غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَشَهِدْتُ مَعَهُ الْفَتْحَ فَأَقَامَ بِمَكَّةَ ثَمَانِيَ عَشْرَةَ لَيْلَةً لاَ يُصَلِّي إِلاَّ رَكْعَتَيْنِ وَيَقُولُ ‏ يَا أَهْلَ الْبَلَدِ صَلُّوا أَرْبَعًا فَإِنَّا قَوْمٌ سَفْرٌ

Maksudnya: Aku pergi berperang bersama dengan Rasulullah S.A.W dan aku turut serta bersama baginda dalam Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah). Baginda menetap di Makkah selama 18 hari dan tidak menunaikan solat melainkan secara dua rakaat. Lalu baginda berkata penduduk negeri tersebut: “Wahai penduduk negeri (Makkah) solatlah kamu sebanyak empat rakaat, sesungguhnya kami kaum yang bermusafir’’.

Riwayat Abu Daud (1229)

Berdasarkan feqh hadis di atas, dapatlah difahami bahawa seseorang yang tidak bermusafir boleh untuk mengikut imam yang bermusafir. Namun hendaklah dia tetap menunaikan solat sebanyak empat rakaat, iaitu dengan menyempurnakan baki rakaat sesudah sahaja imam yang bermusafir itu selesai solatnya sebanyak dua rakaat (kerana melakukan qasar).

Bahkan perkara ini dianggap sebagai ijma’ oleh para ulama. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn al-Munzir:

وأَجمَعُوا عَلَى أَنَّ المُقِيمَ إِذَا ائْتَمَّ بِالمُسَافِرِ، وَسَلَّمَ الإمَامُ رَكْعَتَين أَنَّ عَلَى المُقِيمِ إِتمَام الصَّلَاة

Maksudnya: Dan mereka (para ulama) telah berijma’ bahawa seseorang yang mukim apabila menjadi makmum kepada imam yang musafir, dan imam selesai memberi salam pada rakaat yang kedua, untuk makmum yang mukim itu menyempurnakan solat.

Rujuk Al-Ijma’, Ibn Al-Munzir (1/41)

Kedua: Situasi dan Keadaan Surau Yang Tidak Kondusif

Kadangkala, ramai yang memilih untuk menunaikan solat secara bersendirian di surau-surau R&R atas alasan ruang yang sempit, atau dia tidak pasti sama ada jemaah yang sedang didirikan melakukan solat qasar (ringkas) atau tamam (penuh), dan beberapa sebab lain.

Sedangkan apabila kita menekuni riwayat-riwayat banyak menyebutkan bahawa solat berjamaah itu adalah lebih baik berbanding solat bersendirian. Ubai bin Ka’ab R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَصَلاَةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ وَحْدَهُ وَصَلاَةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ مَعَ الرَّجُلِ وَمَا كَانُوا أَكْثَرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: Solat seorang lelaki dengan lelaki yang lain adalah lebih baik dari solatnya seorang diri. Solat seorang lelaki bersama dua orang lelaki yang lain adalah lebih baik berbanding solat berdua. Dan sekiranya lebih ramai maka itu lebih disukai di sisi Allah S.W.T.

Riwayat Al-Nasaie (843)

Kami tidak menafikan bahawa kadangkala ruangan solat yang disediakan itu tidak dapat menampung jemaah pada musim-musim tertentu seperti musim perayaan, musim cuti sekolah, dan seumpamanya. Namun ia sama sekali tidak menjadi penghalang untuk solat berjamaah itu didirikan.

Justeru kami mengesyorkan agar solat berjamaah itu didirikan, namun ia perlulah diringkaskan dari sudut solat, begitu juga zikir dan doa sesudahnya. Ini memandangkan kepadatan jemaah yang boleh jadi menunggu di luar solat, dan akan menyukarkan keadaan apabila solat berjamaah dilakukan dalam tempoh masa yang panjang. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ مِنْكُمْ مُنَفِّرِينَ، فَمَنْ أَمَّ النَّاسَ فَلْيَتَجَوَّزْ، فَإِنَّ خَلْفَهُ الضَّعِيفَ وَالْكَبِيرَ وَذَا الْحَاجَةِ

Maksudnya: Wahai orang ramai, sesungguhnya ada dari kalangan kamu yang menyebabkan orang ramai lari (membuat orang tidak suka) kepada solat berjamaah. Maka sesiapa yang menjadi imam, hendaklah dia ringkaskan. Sesungguhnya di belakangnya terdapat orang yang lemah (uzur), orang tua, serta orang yang mempunyai urusan lain.

Riwayat Al-Bukhari (704)

 

Hukum Mendirikan Banyak Jemaah Solat Di Satu Tempat Yang Sama

Dalam isu ini, apabila kita meneliti kepada kenyataan para fuqaha dalam kitab-kitab mereka, kita mendapati bahawa mereka memperincikan isu kepada tempat ia didirikan seperti berikut:

Pertama: Masjid

Masjid yang dimaksudkan di sini adalah masjid rasmi yang disediakan untuk jemaah menunaikan solat lima waktu, solat jumaat, dan selainnya yang telah mempunyai imam lantikan rasmi (imam ratib). Para fuqaha membahaskan hukum berlakunya dua imam serentak di dalam masjid dengan menyatakan hujahan masing-masing.

Imam Al-Ramli dari kalangan ulama Syafi’eyyah berkata:

وتكره إقامة جماعة بمسجد غير مطروق له إمام راتب من غير إذنه قبله أو بعده أو معه ، فإن غاب الراتب سن انتظاره 

Maksudnya: Dimakruhkan untuk didirikan jemaah di masjid selain mathruq (tempat laluan orang ramai) yang mempunyai imam ratib (rasmi) tanpa izinnya sama ada (jemaah itu didirikan) sebelumnya, selepasnya, atau bersama dengannya (serentak). Sekiranya imam ratib itu tiada maka disunatkan untuk menunggunya (bagi mendirikan solat berjamaah).

Rujuk Nihayah Al-Muhtaj, Al-Ramli (2/141)

Manakala sebahagian fuqaha Malikiyyah berhujah menggunakan firman Allah S.W.T:

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin.

Surah Al-Taubah (107)

Imam Al-Qurthubi dalam tafsirannya ke atas ayat ini berkata: ‘’Maksud ayat ‘’ memecah belah antara orang-orang mukmin’’ adalah memecahbelahkan jemaah mereka supaya mereka terpisah dan berpecah dari Nabi S.A.W. Ini menunjukkan bahawa maqasid paling besar serta tujuan paling utama solat secara berjamaah adalah untuk menyatupadukan hati-hati serta kalimah (umat Islam) di atas ketaatan’’.

Kata beliau lagi: Imam Malik mengulas ayat ini dengan berkata: ‘’Tidak boleh didirikan dua jamaah dalam masjid yang satu dengan dua imam’’. (Pendapat) ini berbeza dengan majoriti ulama yang lain. Juga telah diriwayatkan bahawa Imam Al-Syafi’e turut melarang perkara ini kerana ia akan merosakkan kalimah serta membatalkan hikmah (solat berjamaah). Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (8/174).

Kedua: Masjid Al-Mathruq

Masjid Al-Mathruq bermaksud masjid yang disediakan di tempat-tempat laluan orang ramai seperti di pasar contohnya. Dari segi makna kontemporari, istilah ini mencakupi surau-surau di kompleks beli belah, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), dan seumpamanya.

Imam Al-Ramli berkata:

 أما المسجد المطروق فلا يكره فيه تعدد الجماعات ولو كان له إمام راتب ووقع فيه جماعتان معا

Maksudnya: Adapun masjid al-mathruq (masjid yang berada di kawasan laluan orang ramai) maka tidak dimakruhkan untuk berlakunya banyak jemaah padanya. Sekalipun jika masjid tersebut mempunyai imam ratib (rasmi). (Dan tidak makruh) untuk berlakunya dua jemaah serentak di dalamnya.

Kata beliau lagi: ‘’Pendapat yang ditasrihkan dalam tatimmah tentang kemakruhan menjalankan dua jemaah (solat) dalam satu keadaan yang sama tempatnya adalah pada masjid yang bukan al-mathruq’’. Rujuk Nihayah Al-Muhtaj, Al-Ramli (2/141).

Sebagai kesimpulan dalam hal ini, kami melihat bahawa perlu dibezakan antara masjid yang rasmi dari sudut mempunyai jawatankuasa pengurusan, imam-imam ratib yang dilantik secara rasmi oleh jabatan-jabatan agama dengan surau-surau R&R yang lebih mirip keadaannya kepada istilah masjid al-mathruq menurut kitab-kitab feqh.

Kesimpulan

Justeru, berdasarkan kepada beberapa hujah yang kami kemukakan, adalah dibolehkan untuk berlakunya beberapa jemaah solat dalam keadaan serentak di surau-surau R&R secara umumnya. Ini kerana, ia tidak mempunyai imam rasmi dan tidak berciri dengan ciri-ciri masjid yang rasmi. Meskipun begitu, bagi mendapat fadhilat besar solat berjamaah, disamping usaha untuk menzahirkan syiar dan kesatuan umat Islam, serta mengelakkan berlakunya kekeliruan apabila banyaknya imam dalam masa yang serentak, adalah lebih utama untuk dilakukan solat secara berjamaah dengan satu imam serta mengikuti tatacara solat yang telah kami sebutkan di atas.

Penutup

Akhir kalam, kami menyatakan bahawa solat berjamaah adalah lebih utama untuk didirikan secara satu imam sahaja dalam satu-satu masa. Ini bagi menzahirkan syiar Islam iaitu umat Islam mampu bersatu dalam menunaikan solat berjamaah. Wujudnya banyak imam dalam satu masa yang sama serta di tempat yang sama, adalah gambaran luaran terhadap tiadanya kesatuan umat Islam dalam dada-dada mereka.

Kata Rasulullah S.A.W:

وَلاَ تَخْتَلِفُوا فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: Janganlah kamu berpecah belah, nescaya pastilah jantung-jantung hati kamu juga akan berpecah.

Riwayat Muslim (432)

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T menyatupadukan jiwa-jiwa umat Islam dalam ketaatan kepada-Nya teruatamanya dalam melaksanakan solat secara berjamaah. Semoga Allah memberikan kefahaman yang benar kepada kita semua dalam beragama. Ameen.