Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 363 : HUKUM MENGGUNAKAN PATUNG HARIMAU BAGI MENGHALAU MONYET?

IF 363 harimau

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Apakah hukum meletak patung harimau di anjung rumah untuk menghalau monyet dari memggeledah dapur rumah atau meletak patung harimau di kebun untuk menghalau monyet?

Mohon tuan mufti menjawab kemusykilan sebab saya dalam dilema bila nampak patung harimau itu di anjung rumah. Seram juga saya tengok patung tu. Tapi yang selebihnya saya takut malaikat tak masuk rumah. Mohon pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya : “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”

[HR al-Bukhari (3225), Muslim (2106) dan al-Tirmizi (2804)]

Al-Mubarakfuri mengatakan yang dimaksudkan dengan ungkapan “Malaikat tidak akan masuk” ialah malaikat rahmah, bukan malaikat hafazah (yang sentiasa bersama manusia dan mencatat perilakunya) dan bukan juga malaikat maut (yang mencabut nyawa). Manakala ungkapan “gambar yang menyerupai” di dalam hadis tersebut pula bermaksud gambar (berbentuk) manusia dan binatang. [Lihat : Tuhfah al-Ahwazi (8/72)]

Sebab larangan menyimpan gambar patung (makhluk bernyawa)

Imam al-Nawawi menyebutkan berkenaan sebab larangan tersebut bahawa :

قَالَ الْعُلَمَاءُ سَبَبُ امْتِنَاعِهِمْ مِنْ بَيْتٍ فِيهِ صُورَةٌ كَوْنُهَا مَعْصِيَةً فَاحِشَةً وَفِيهَا مُضَاهَاةٌ لِخَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَبَعْضُهَا فِي صُورَةِ مَا يُعْبَدُ مِنْ دُونِ اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya : “Para ulama mengatakan bahawa, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar (makhluk bernyawa). Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT dan sebahagian daripada gambar-gambar tersebut ada yang dijadikan sembahan.” [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (14/84)]

Selain itu, terdapat di dalam hadis yang lain bahawa :

أنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ، وأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتا كَنِيسَةً رَأَيْنَها بالحَبَشَةِ فِيها تَصاوِيرُ لِرَسولِ اللهِ ﷺ، فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: إنَّ أُولَئِكَ، إذا كانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصّالِحُ، فَماتَ، بَنَوْا على قَبْرِهِ مَسْجِدًا، وصَوَّرُوا فيه تِلْكِ الصُّوَرَ، أُولَئِكِ شِرارُ الخَلْقِ عِنْدَ اللهِ يَومَ القِيامَةِ.

Maksudnya : Bahawasanya Ummu Habibah dan Ummu Salamah R.Anhuma teringat kepada tempat ibadat yang mereka pernah melihatnya di Habsyah yang terdapat patung-patung berhala di dalamnya dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka, Rasulullah SAW bersabda : “Pada satu ketika dahulu ada seorang lelaki yang soleh kemudian dia meninggal dunia. Maka, penduduk di situ mereka membina tempat ibadah di atas kuburnya dan mengukirkan patung-patung tersebut untuknya. Mereka itulah seburuk-buruk ciptaan di sisi Allah SWT pada hari Kiamat.” [HR Muslim (528)]

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyebut bahawa terdapat kisah Nabi SAW masuk ke dalam Kaabah dan bersolat di dalamnya serta Baginda SAW tidak mahu masuk ke dalamnya melainkan setelah dikeluarkan kesemua gambar di dalamnya. Kemudian, beliau mengulas kisah tersebutdengan menyebut :

فَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى كَرَاهَةِ الصَّلَاةِ فِي الْمَكَانِ الْمُصَوَّرِ، وَهَذَا أَحَقُّ بِالْكَرَاهَةِ مِنَ الصَّلَاةِ فِي الْحَمَّامِ؛ لِأَنَّ كَرَاهَةَ الصَّلَاةِ فِي الْحَمَّامِ، إِمَّا لِكَوْنِهِ مَظِنَّةَ النَّجَاسَةِ، وَإِمَّا لِكَوْنِهِ بَيْتَ الشَّيْطَانِ، وَهُوَ الصَّحِيحُ، وَأَمَّا مَحَلُّ الصُّوَرِ فَمَظِنَّةُ الشِّرْكِ غَالِبُ شِرْكِ الْأُمَمِ كَانَ مِنْ جِهَةِ الصُّوَرِ وَالْقُبُورِ

Maksudnya : “Ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa hukumnya adalah makruh bersolat di tempat yang bergambar. Dan perkara ini lebih makruh lagi berbanding bersolat di dalam bilik mandi kerana solat di dalam bilik mandi (adalah makruh) sama ada disebabkan berkemungkinan terdapatnya najis atau kerana ia merupakan rumah syaitan. Pendapat ini yang sahih. Adapun tempat yang bergambar, (solat di dalamnya makruh) kerana berkemungkinan ia membawa kepada syirik. Kebanyakkan umat-umat terdahulu menjadi syirik sama ada melalui gambar-gambar atau kuburan (para nabi dan orang soleh).” [Lihat : Zad al-Ma’ad (3/402)]

Maka, kita dapat fahami bahawa larangan kepada patung atau gambar-gambar (lukisan) makhluk bernyawa adalah kerana ia menyerupai ciptaan Allah dan dikhuatiri benda-benda tersebut akan diagungkan atau disucikan atau terlalu dihormati sehingga akhirnya membawa kepada kesyirikkan dan penyembahan.

Hukuman ke atas penyimpan patung (makhluk bernyawa) di dalam rumah

Selain itu juga, dengan tidak masuknya malaikat rahmah ke dalam rumah (yang menyimpan gambar atau patung makhluk bernyawa dan anjing) adalah merupakan satu hukuman ke atasnya. Kesannya, tiada malaikat yang melakukan solat di dalam rumahnya, atau memohon keampunan bagi penghuninya, atau memohon keberkatan di dalamnya, atau melindungi penghuni rumah tersebut daripada gangguan syaitan. Hal ini kerana malaikat rahmah ialah malaikat yang memohon keberkatan dan keampunan bagi penghuninya. [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (14/84)]

Persoalan mengenai hukum menyimpan patung atau figura aksi yang menjadi permainan kanak-kanak atau menjadikannya sebagai perhiasan sama ada di dalam rumah atau kereta atau sebagainya telah kami jawab di dalam artikel kami :

  1. Al-Afkar #47 : Hukum Patung Sebagai Perhiasan.
  2. Al-Kafi li al-Fatawi : Hobi Menyimpan Figura Aksi.
  3. Al-Kafi li al-Fatawi (1331) : Hukum Menyimpan Patung Permainan Kanak-kanak.

Menggunakan patung harimau bagi menghalau monyet

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, terdapat beberapa pengecualian diberikan dalam isu ini seperti sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya :

كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي

Maksudnya : “Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sahabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.” [HR al-Bukhari (6130)]

Ibnu Hajar al-Asqalani berkata : “Para ulama berdalilkan dengan hadis ini akan bolehnya patung boneka berupa perempuan dan bolehnya mainan untuk anak perempuan. Hadis ini adalah pengecualian dari keumuman hadis yang melarang daripada mencipta sesuatu yang menandingi dengan ciptaan Allah. Kebolehan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau berkata bahawa inilah pendapat majoriti ulama.” [Lihat : Fath al-Bari (10/527)]

Oleh itu, kita ketahui bahawa sekiranya patung tersebut dijadikan sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak, maka hukumnya adalah harus. Hal ini kerana patung permainan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang disembah atau dimuliakan. Bahkan, kanak-kanak tersebut dengan tabiatnya akan mematahkan dan merosakkan patung tersebut seperti terputus kepala atau anggota badannya. Ini jelas menunjukkan bahawa ia adalah sebagai patung permainan bagi mereka dan jauh sekali untuk dihormati, apatah lagi disembah.

Begitu juga, kami melihat sekiranya patung tersebut dijadikan sebagai alat bagi menakutkan haiwan tertentu yang merosakkan tanaman atau barang-barang rumah seperti para petani biasanya akan meletakkan orang-orang[1] di kawasan tanaman padi mereka bagi menakutkan burung yang merosakkan tanaman. Dan pekebun yang menggunakan patung harimau bagi menakut-nakutkan monyet. Patung tersebut jelas bukanlah untuk dihormati, disucikan atau dipuja tetapi sebagai salah satu langkah atau ikhtiyar bagi menghalau monyet, burung atau haiwan perosak yang menggangu dan merosakkan tanaman. Dengan adanya patung harimau tersebut, yang diletakkan di pinggir rumah atau tepi pagar kebun, haiwan lain seperti monyet tidak berani mendekat kerana menyangka ia adalah harimau yang sebenar. Justeru, kami melihat ia dibolehkan selagi mana patung tersebut tidak diletakkan di tempat yang mulia, tidak disucikan (taqdis), dihormati atau bertujuan untuk disembah.

Kesimpulannya

Tuntasnya, setelah kami melihat kepada dalil-dalil dan pandangan para ulama serta realiti dan waqi’ Malaysia, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Kami cenderung mengatakan bahawa penggunaan patung harimau bagi menghalau dan menakut-nakutkan monyet adalah dibolehkan selagimana patung tersebut tidak diletakkan di tempat yang mulia, tidak disucikan (taqdis), dihormati atau bertujuan untuk disembah atau dipuja. Akan tetapi sekiranya patung berkenaan digunakan sebagai bahan pujaan, atau diletakkan di tempat yang dihormati sehingga membawa kepada penyucian (taqdis), maka jelas perkara tersebut haram dan dilarang sama sekali.
  • Selain itu, kami juga mengesyorkan sekiranya dapat, agar diubah sedikit bentuk patung berkenaan adalah lebih baik, supaya tidak terlalu menyerupai gambaran haiwan bernyawa yang asal. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abi al-Hayyaj al-Asadi, bahawa Ali bin Abi Talib RA telah berkata kepadanya : “Tidakkah mahu aku ingatkan engkau sepertimana Rasulullah SAW ingatkan aku”, bahawa :

لاَ تَدَعْ تِمْثَالاً إِلاَّ طَمَسْتَهُ

Maksudnya : “Janganlah engkau tinggalkan patung kecuali engkau telah membuatnya menjadi tidak berbentuk.” [HR Muslim (969)]

  • Begitu juga, kami ingin mengingatkan agar patung tersebut seboleh-bolehnya dielakkan daripada dibawa masuk ke dalam rumah sebagaimana yang jelas daripada nas hadis larangan berkenaan yang menyebut (فِيهِ) iaitu di dalamnya (rumah tersebut) ada anjing dan lukisan atau patung (makhluk bernyawa).
  • Walaupun begitu, kami juga ingin mengesyorkan (sekiranya boleh) supaya dielakkan penggunaan patung, agar kita tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya. Jika boleh diganti atau carilah alternatif-alternatif lain, yang boleh mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah (adalah lebih baik dan selamat) kerana apabila kita meninggalkan perkara-perkara yang khilaf seperti ini, ia termasuk dalam apa yang disebutkan bahawa :

الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya “Keluar dari perkara khilaf adalah digalakkan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] patung yang dibuat untuk menakutkan burung. [Lihat : Kamus Dewan Edisi Keempat]