Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-366: HUKUM MENERIMA PANDANGAN ORANG BUKAN ISLAM

irsyad366

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Saya ada soalan, apakah hukum untuk menerima pandangan dan pendapat orang bukan islam seperti kristian dan yahudi? Mohon penjelasan Datuk. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

﴿لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ﴾

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Surah al-Mumtahanah (8)

Melalui ayat ini, Imam al-Tobari menafsirkan ayat ini bahawa yang dimaksudkan dengannya (tidak melarang berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu) ialah terhadap semua jenis ajaran dan juga agama supaya berbuat baik dengan mereka, berhubung baik dan berlaku adil kepada mereka. [Lihat: Tafsir al-Tobari; 23/323]. Justeru, ayat ini menerangkan dengan jelas bahawa asas kepada hubungan di antara orang Islam dan juga orang bukan Islam adalah toleransi, ihsan dan juga perdamaian.

Pergaulan orang Islam bersama orang bukan Islam bukanlah perkara yang baharu, malah ia telah berlaku sejak zaman Rasulullah S.A.W dalam pelbagai urusan seperti muamalat, perjanjian, perdamaian, dan sebagainya. Maka, perlunya kepada kita untuk melihat kepada konsep fiqh ta’ayush (kewujudan bersama) bagi melihat lebih lanjut hukum hakam syarak berkaitan tatacara kehidupan bersama antara golongan Islam dan golongan bukan Islam. Perbahasan dan penerangan lanjut berkenaannya boleh dilihat di artikel kami di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan: BAYAN LINNAS SIRI KE-155: KONSEP FIQH Al-TA’AYUSH: ISU DI MALAYSIA DAN PENYELESAIANNYA.

Namun, persoalan mulai timbul dalam hal perbincangan ataupun perkara-perkara yang memerlukan idea dan pendapat seterusnya dalam konteks zaman kini, banyak perkara yang dibincangkan terkadang melibatkan di antara orang Islam dan bukan Islam, justeru persoalannya ialah hukum bagi orang Islam menerima pendapat ataupun pandangan daripada orang bukan Islam.

Pada dasarnya, setiap insan mempunyai hak untuk bersuara, berkata-kata serta hak untuk memberikan pendapat dan juga idea. Keadaan ini berbalik kepada kaedah fiqh iaitu:

الأصل في الإنسان وتصرفاته الحرية والإباحة

Maksudnya: Asal bagi setiap insan dan perbuatannya ialah kebebasan dan juga keharusan.

[Lihat: Ma’lamah Zayd; 3/165]

Namun, kebebasan dan juga keharusan ini tidaklah terpakai apabila wujudnya dalil ataupun hukum yang menyatakan pengharaman dan juga larangan ke atasnya. Ini juga berdasarkan kaedah Fiqh:

الأصل في الأشياء الإباحة ما لم يرد دليل التحريم

Maksudnya: Asal pada sesuatu perkara ialah harus selagi mana tiada dalil pengharaman ke atasnya.

Maka, berbalik pada soalan yang diajukan, menerima pandangan orang bukan Islam tidaklah dilarang mahupun diwajibkan, kerana tiada wujudnya nas yang jelas lagi shorih terhadapnya. Namun, wujud juga nas umum seperti firman Allah S.W.T:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.

Surah al-Ma’idah (51)

Menurut Syeikh Wahbah az-Zuhaily, ayat ini diturunkan berkenaan sekumpulan orang Islam yang menjadikan segolongan orang Yahudi yang mempunyai niat jahat terhadap Islam, dan mereka enggan untuk menjauhi mereka meskipun telah dinasihati dan diperingatkan berkali-kali tentang tipu-daya mereka. [Rujuk: al-Tafsir al-Munir; 3/199].

Imam al-Baghawi pula berkata bahawa yang dimaksudkan dengan “بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ” ialah menolong mereka (orang Yahudi dan juga Nasrani) ke atas (menghadapi) orang muslimin. [Lihat: Tafsir al-Baghawi; 3/68].

Kemudian, terdapat juga firman Allah S.W.T:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

Surah Ali ‘Imran (118)

Berdasarkan kedua-dua ayat di atas, jelas menunjukkan larangan bersekutu dengan mereka (bukan Islam) dalam hal-hal yang melanggar dan menyalahi ajaran Islam ataupun pada perkara yang membantu mereka meruntuhkan agama Islam. Maka, perkara yang perlu dilihat di sini ialah bagaimana dengan situasi orang kafir zimmi atau dalam zaman kini digelar sebagai muwatin (warganegara) yang bukan Islam. Justeru, kami katakan bahawa tiada larangan yang menyatakan tidak boleh menerima pandangan bukan Islam namun ia mestilah bersama-sama dengan dawabith yang jelas.

Selain itu, perkara ini boleh diteliti juga hukumnya melalui sirah atau athar Rasulullah S.A.W. Kami kongsikan beberapa sirah Rasulullah S.A.W yang jika difahami secara mafhumnya membawa kepada keharusan menerima pendapat dan juga pandangan orang bukan Islam.

Pertama: Dalam sirah Rasulullah S.A.W, ketikamana Baginda ingin berhijrah ke Madinah, Baginda S.A.W menggunakan khidmat seorang Musyrikin Mekah untuk menjadi penunjuk jalan yang bernama Abdullah bin Uraiqat. Beliau diupah kerana mahir dengan jalan dan juga selok-belok di padang pasir. Beliau ketika itu masih lagi beragama Quraisy namun Baginda S.A.W mempercayainya. [Lihat: Fiqh al-Sirah; hlm. 176, al-Raheeq al-Makhtum; hlm. 142]. Berdasarkan daripada kisah ini, boleh difahami bahawa di sebalik perbuatan Nabi Muhammad S.A.W mengupah orang Abdullah bin Uriqat itu sebagai penunjuk dan juga memberi pendapat kepada Baginda S.A.W memberi makna bahawa boleh hukumnya bagi menerima pendapat dan juga pandangan orang bukan Islam. Namun, melalui kisah yang sama ini juga, dapat kita teladani juga beberapa dawabith di sebaliknya iaitu:

  1. Nabi menggunakan khidmatnya (musyrikin itu) kerana telah percaya kepadanya dan juga kerana dia mahir dalam halnya.
  2. Nabi juga memintanya memberi petunjuk dalam hal keduniaan bukannya dalam hal yang melibatkan akidah mahupun syariah.

Kedua: Rasulullah S.A.W juga pernah mencontohi orang bukan Islam dalam hal-hal yang bukan berkaitan aqidah dan juga tidak bertentangan dengan agama. Contohnya, Nabi Muhammad S.A.W ketika berbincang mengenai cara untuk menyeru orang ramai mengerjakan kefardhuan solat dan menandakan sudah masuknya waktu solat, para sahabat berkongsi idea mereka dengan melihat kepada orang-orang bukan Islam bahawa mereka mempunyai cara tersendiri bagi mengajak orang yang mengikuti ajaran mereka untuk pergi beribadah dan Nabi Muhammad S.A.W tidak pula menghalang ataupun menolak idea mereka, bahkan Baginda S.A.W menerima idea mereka supaya diadakan seruan bagi mengajak ke arah kebaikan (solat) tersebut namun dengan syarat tidak menyerupai ibadah yahudi dan juga nasrani lantas wujudnya seruan azan yang dikumandangkan sehingga sekarang.

Maka, melalui perbahasan dan juga perbincangan ini, dapatlah difahami bahawa tiadanya larangan ke atas orang Islam bagi mengambil idea ataupun pandangan orang bukan Islam selagimana ia tidak melibatkan ibadah mereka ataupun tidak pula bertentangan dengan akidah dan juga syariat Islam.

Sumbangan Orang bukan Islam kepada Maslahah Orang Islam

Di samping itu juga, penyataan kami dikuatkan lagi dengan hukum yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam isu adakah dibolehkan orang bukan Islam memberi sumbangan terhadap orang Islam. Maka jawapan mereka ialah:

فلا مانعَ شرعًا من قبولِ تبرُّعاتِ غيرِ المسلمين في مصالحِ المسلمين العامة دينيةً كانت أم دنيويةً، أخذًا بمذهب الشافعية في ذلك ما دام لا يترتبُ على ذلك مفسدةٌ شرعيةٌ

Maksudnya: Maka tiada halangan dari sudut syarak bagi menerima sumbangan ataupun kebajikan orang bukan Islam terhadap kepentingan orang Islam secara amnya sama ada dari segi duniawi dan juga ukhrawi, berpegang juga kepada mazhab Syafi’i dalam perkara yang sama selagi mana tidak memberi kerosakan ataupun keburukan ke atas orang Islam.

[Lihat: Dar al-Ifta’ al-Misriyyah; no.182]

Sehubungan dengan itu, berdasarkan hukum ini, kami qiaskan kepada hukum menerima pandangan orang bukan Islam dari sudut ‘illahnya selagi mana tidak menyebabkan kerosakan atau keburukan kepada agama Islam.

Penutup

Kesimpulannya, kami mengatakan bahawa hukum bagi orang Islam menerima pandangan, idea, buah fikiran ataupun pendapat daripada orang bukan Islam adalah harus dan dibolehkan namun mestilah berdasarkan kepada dawabith yang berikut:

  1. Menerima pandangan, idea, buah fikiran atau pendapat dalam hal-hal yang tidak berkait dengan agama dan tidak pula bercanggah dengan syariat juga ajaran Islam.
  2. Menerima pandangan bukan bagi tujuan yang tidak baik seperti idea untuk menjatuhkan atau meruntuhkan agama Islam.
  3. Menerima pandangan dalam hal-hal keduniaan bukan dalam hal Akhirat.

Maka kesemua dabith ini perlulah dipatuhi sebelum menerima sebarang idea dan juga pandangan mereka. Kami berpendapat jika didapati ada Muslim yang lebih mahir dalam sesuatu hal atau perkara, maka sebaiknya diutamakan pendapat mereka yang Muslim. Namun, segalanya berbalik pada asas dalam firman Allah S.W.T:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

Surah al-Nahl (43)

Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar bermuamalat sesama manusia sambil menjaga batas pergaulan yang telah ditetapkan dalam syariat Islam agar kehidupan berjalan dengan aman sentosa. Kami mendoakan semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman dalam memahami agama seterusnya menetapkan iman kita, memberikan hidayah dan petunjuk agar kita sentiasa tetap dan istiqamah pada jalanNya.

Wallahua’lam.