Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-373 : HUKUM SENGAJA MENGAMBIL JALAN JAUH UNTUK KE MASJID

IF373.png

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang yang berjalan kaki ke masjid dengan melalui jalan yang jauh dengan alasan bahawa mendapat lebih banyak pahala jika banyak langkahannya?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT memuji orang yang memelihara solatnya dan menjanjikan mereka untuk ditempatkan di syurga yang tertinggi iaitu Syurga Firdaus. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ ﴿٩﴾ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ ﴿١٠﴾ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.

(Surah al-Mu’minun: 9-11)

Solat berjemaah di masjid merupakan cara yang paling baik dan afdhal bagi seseorang untuk mendirikan solat. Selain itu, Rasulullah SAW banyak menyebutkan tentang kelebihan-kelebihan berjalan kaki untuk solat berjemaah di masjid. Antaranya, Rasulullah SAW bahawa setiap langkahan seseorang ke masjid merupakan sedekah, Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith yang panjang:

                                        وكلُّ خطوَةٍ تخطوها إلى الصلاةِ صدَقَةٌ                                       

Maksudnya: Dan pada setiap langkah untuk menuju solat (berjemaah di masjid) adalah sedekah.

Hadith riwayat al-Bukhari (2891) dan Muslim (1009)

Begitu juga, Rasulullah SAW menyebut bahawa apabila seseorang itu melangkah satu langkahan ke masjid untuk mendirikan solat, maka diangkat satu darjat dan dihapuskan daripadanya satu dosa. Baginda SAW bersabda:

صَلاةُ أحَدِكُمْ في جَماعَةٍ، تَزِيدُ على صَلاتِهِ في سُوقِهِ وبَيْتِهِ بضْعًا وعِشْرِينَ دَرَجَةً، وذلكَ بأنَّهُ إذا تَوَضَّأَ فأحْسَنَ الوُضُوءَ، ثُمَّ أتى المَسْجِدَ لا يُرِيدُ إلّا الصَّلاةَ، لا يَنْهَزُهُ إلّا الصَّلاةُ، لَمْ يَخْطُ خَطْوَةً إلّا رُفِعَ بها دَرَجَةً، أوْ حُطَّتْ عنْه بها خَطِيئَةٌ، والمَلائِكَةُ تُصَلِّي على أحَدِكُمْ ما دامَ في مُصَلّاهُ الذي يُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya: Solat seseorang daripada kalangan kamu bersama dengan jemaah melebihi solatnya di tempat kerja atau rumahnya sebanyak 20 lebih kali ganda. Ini kerana ia memperelokkan wuduknya, kemudian dia pergi ke masjid hanya ingin mendirikan solat semata-mata. Tidak dia melangkah satu langkahan kecuali akan diangkat dengannya satu darjat dan dihapuskan dengannya satu dosa kesalahan. Malaikat sentiasa mendoakannya selagimana dia berada di masjid yang dia mendirikan solat tersebut.

Hadith riwayat al-Bukhari (2219) dan Muslim (649)

Rasulullah SAW juga ada menyebutkan tentang kelebihan seseorang berjalan ke dengan banyaknya langkahannya ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah dengan diampunkan dosanya dan ditambahkan pahalanya. Rasulullah SAW bersabda:

ألا أدلُّكُم على ما يُكَفِّرُ اللَّهُ بِهِ الخَطايا، ويزيدُ بِهِ في الحسَناتِ؟ قالوا: بلى يا رسولَ اللَّهِ قالَ: إِسباغُ الوضوءِ عِندَ المَكارِهِ، وَكَثرةُ الخُطى إلى المساجِدِ، وانتظارُ الصَّلاةِ بعدَ الصَّلاةِ

Maksudnya: Mahukah kalian aku tunjukkan kepada perkara yang dengannya Allah SWT akan mengampunkan dosa dan menambahkan pahala? Lalu para Sahabat RAnhum menjawab, “Sudah tentu, wahai Rasulullah SAW!”. Rasulullah SAW bersabda, “Menyempurnakan basuhan wuduk pada kesusahan (kesejukan, sakit dsb), banyaknya langkahan menuju ke masjid (untuk solat berjemaah) dan menunggu solat yang seterusnya selepas menunaikan solat.”

Hadith riwayat Ibn Majah: (776)

أَعْظَمُ النّاسِ أجْرًا في الصَّلاةِ أبْعَدُهُمْ، فأبْعَدُهُمْ مَمْشًى والذي يَنْتَظِرُ الصَّلاةَ حتّى يُصَلِّيَها مع الإمامِ أعْظَمُ أجْرًا مِنَ الذي يُصَلِّي، ثُمَّ يَنامُ

Maksudnya: Orang yang paling besar ganjarannya dalam menunaikan solat ialah sesiapa yang paling jauh perjalanannya (menuju solat berjemaah). Dan, orang yang menunggu solat untuk didirikan bersama imam adalah lebih besar ganjarannya berbanding seseorang yang mendirikan solat (bersendirian) kemudian tidur.

Hadith riwayat al-Bukhari (651) dan Muslim (662)

Berdasarkan hadith-hadith di atas, ia menunjukkan tentang keutamaan berjalan kaki menuju ke masjid dan ia lebih afdhal berbanding menaiki kenderaan ke masjid. Isu ini telah kami ulas secara panjang lebar, sila rujuk Al-Kafi #1223: Manakah Lebih Afdhal Antara Berjalan Kaki Dan Menaiki Kenderaan Menuju Ke Masjid?.

Adapun perbuatan sengaja mengambil jalan yang jauh untuk ke masjid dengan alasan untuk mendapat lebih banyak pahala dengan memperbanyakkan langkah dan jauhnya perjalanan, ia adalah sesuatu yang kurang tepat dalam memahami nas hadith. Hal ini kerana kaedah fiqh menyebutkan bahawa:

الثَوَابُ عَلَى تَحَمُّلِ المَشَاقِّ لَا عَلَي عَين المَشَاقِّ

Maksudnya: Diberikan pahala pada kesabaran menanggung kesusahan, bukan pada kesusahan itu sendiri. (Rujuk Qawa’id al-Ahkam Fi Masalih al-Anam, 36)

Ini bermakna, seseorang diganjarkan dengan pahala yang lebih besar berbanding orang lain, apabila dia sabar dalam menanggung kesusahan yang terpaksa dihadapinya untuk melaksanakan ibadah. Contohnya, seseorang menyempurnakan wuduknya pada ketika cuaca yang sejuk mendapat lebih pahala kerana kesusahan yang dihadapinya berbanding seseorang yang melakukannya ketika cuaca yang biasa.

Justeru, apabila seseorang sengaja memberat-beratkan dirinya dengan kesusahan yang sebenarnya boleh dielak olehnya, maka perkara tersebut bukanlah apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, dia tidak mendapat pahala atas perbuatannya yang sengaja menambah kesusahan untuk dia melaksanakan ibadah.

Bahkan dalam isu ini, jika sekiranya seseorang yang sengaja mengambil jalan yang jauh menyebabkannya kepenatan sehingga tidak khusyuk dalam solat, ini bercanggah dengan anjuran yang lebih besar dan utama iaitu untuk khusyuk dalam solat. Begitu juga, jika sekiranya berjalan kaki tersebut menimbulkan kesusahan dan melambatkan untuk hadir awal ke masjid, maka lebih afdhal untuk  seseorang itu menaiki kenderaan. Ini seperti yang disebutkan di dalam kitab Tuhfat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj:

ويشبه أن يكون الركوب أفضل لمن يجهده المشي لهرم أو ضعف أو بعد منزله بحيث يمنعه ما يناله من التعب الخشوع والحضور في الصلاة عاجلاً

Maksudnya: Dan boleh jadi menaiki kenderaan lebih afdhal bagi sesiapa yang menghadapi kesusahan apabila dia berjalan kaki disebabkan oleh usia yang tua, sakit, lemah atau masjid jauh dari rumahnya. Ini kerana keletihan yang dialaminya akan menghalangnya daripada khusyuk dalam solat serta menghalangnya daripada hadir awal di masjid. (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 2:471)

Berkenaan dengan hal ini juga, Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa:

مما ينبغي أن يعرف أن الله ليس رضاه أو محبته في مجرد عذاب النفس وحملها على المشاق حتى يكون العمل كل ما كان أشق كان أفضل كما يحسب كثير من الجهال أن الأجر على قدر المشقة في كل شيء، لا! ولكن الأجر على قدر منفعة العمل ومصلحته وفائدته

Maksudnya: Apa yang perlu difahami adalah bahawa keredhaan dan kecintaan Allah SWT bukan dengan sekadar mengazab diri sendiri dan sengaja meletakkan diri sendiri dalam kesusahan, sehingga dirasakan bahawa lebih susah untuk dilaksanakan sesuatu ibadah, maka ia lebih afdhal, sepertimana yang disangka oleh orang-orang jahil. Adakah pahala diukur pada kadar kesusahan yang dihadapi seseorang? Tidak sama sekali! Akan tetapi pahala diberikan mengikut kadar manfaat, kemashlahatan dan faedah daripada amalan tersebut. (Rujuk Majmu’ al-Fatawa Lil Ibn Taimiyyah, 15:127)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa perbuatan sengaja mengambil jalan yang jauh untuk solat berjemaah di masjid sehingga membebankan dan menyusahkan diri bukanlah sesuatu yang dituntut dalam agama. Ini kerana, ia mungkin akan menyebabkan timbul rasa penat dan letih yang akan menyebabkan solatnya menjadi tidak khusyuk, sedangkan kekhusyukan dalam solat adalah lebih patut untuk diutamakan.

Namun jika sekiranya perbuatan tersebut tidak menimbulkan kesusahan dan kesukaran baginya seperti keadaan rumah yang berdekatan dengan masjid, cuaca tidak terlalu panas atau sejuk, maka lebih afdhal untuk dia berjalan kaki ke masjid berdasarkan hadith-hadith yang telah disebutkan di dalam artikel di atas. Sesungguhnya Allah SWT menurunkan syariat-Nya untuk memudahkan umat Islam dan bukannya untuk menimbulkan kesusahan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: Allah SWT menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Begitu juga, dalam satu hadith yang diriwayatkan Saidatina Aisyah RAnha, bahawa beliau berkata:

ما خُيِّرَ رَسولُ اللهِ ﷺ بيْنَ أَمْرَيْنِ، أَحَدُهُما أَيْسَرُ مِنَ الآخَرِ، إلّا اخْتارَ أَيْسَرَهُما، ما لَمْ يَكُنْ إثْمًا، فإنْ كانَ إثْمًا، كانَ أَبْعَدَ النّاسِ منه

Maksudnya: Tidak diberikan pilihan kepada Rasulullah SAW diantara dua perkara, kecuali Baginda SAW akan memilih yang paling mudah dari dua perkara itu, apa yang bukan perkara dosa. Jika sekiranya perkara itu sesuatu dosa, sesungguhnya Rasulullah SAW merupakan orang yang paling jauh daripadanya.

Hadith riwayat Bukhari (3560) dan Muslim (2327)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.