Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-523 : KEKELIRUAN BERKAITAN ISTINJAK MENGGUNAKAN TANGAN

هب523

SOALAN

Assalamualaikum WBT. Pada dasarnya orang Melayu menggunakan tangan kiri untuk beristinjak, dalam erti kata menggunakan tangan itu sendiri untuk menggosok dubur. Pada pandangan saya, ia mengundang persepsi negatif dalam kalangan penganut agama lain. Apa saya faham ialah yang dimaksudkan dengan menggunakan tangan kiri adalah untuk memegang paip, tisu atau batu yang digunakan ketika beristinjak. Adakah cara itu sebenarnya yang dituntut di dalam Islam?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Cara beristinjak paling afdhal di dalam Islam adalah menggunakan kedua-dua alat bersuci iaitu bahan kesat seperti batu dan tisu, kemudiannya barulah dibasuh dengan air tanpa tangan menyentuh dubur. Hal ini kerana, ‘ain najis akan dihilangkan dulu dengan bahan kesat, kemudian sisa-sisa kesan najis akan dibersihkan pula dengan basuhan air.

Oleh itu, tangan tidak akan terkena najis dan ia dapat dihilangkan dengan berkesan. Jika berkemampuan untuk melakukannya, sebaiknya kita mengamalkan cara yang afdhal dalam beristinjak seperti ini dalam kehidupan kita. Sekaligus ia menafikan persepsi negatif terhadap cara istinjak dalam ajaran Islam.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Islam sangat mementingkan kebersihan. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang yang sentiasa bertaubat dan mensucikan diri. FirmanNya dalam al-Quran:

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Begitu  juga, Rasulullah SAW menerangkan bahawa kebersihan itu adalah sebahagian daripada kesempurnaan iman. Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Kebersihan sebahagian daripada iman.

Hadith riwayat Muslim: 223

Oleh yang demikian, Islam mensyariatkan kepada umatnya untuk menyucikan diri daripada najis dengan beristinjak dan daripada semua hadas, samaada hadas kecil mahupun hadas besar dengan berwuduk dan mandi wajib sebelum menunaikan sebahagian ibadah yang disayaratkan untuk bersuci seperti menunaikan solat, memegang mushaf al-Quran, tawaf dan seumpamanya.

Berbalik kepada soalan yang ditanya, timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat bahawa Islam mengajar untuk menggunakan tangan bagi tujuan beristinjak.

Pertamanya, harus kita fahami bahawa istinjak boleh dilakukan samaada menggunakan air atau apa yang boleh menggantikannya daripada bahan kesat seperti batu atau tisu, atau menggunakan kedua-duanya sekali.

Para ulama’ telah menerangkan cara yang afdhal dalam melakukan istinjak tersebut. Caranya adalah dengan menghilangkan terlebih dahulu ‘ain najis itu dengan bahan yang kesat, kemudian dibasuh dengan air bagi menghilangkan sisa-sisa kesan najis tersebut tanpa menyentuh najis tersebut menggunakan tangan.

Hal ini sepertimana yang disebut di dalam kebanyakan kitab-kitab Fiqh al-Syafie, antaranya yang disebutkan oleh Imam Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, al-Iqna’:

والأفضل أن يستنجي بالأحجار أو ما في معناها ثم يتبعها بالماء لأن العين تزول بالحجر أو ما في معناه، و الأثر يزول بالماء من غير حاجة إلى مخامرة النجاسة

Maksudnya: Dan cara yang paling afdhal adalah dengan beristinjak terlebih dahulu menggunakan batu atau benda yang seumpamanya, kemudian diikuti pula dengan basuhan air. Hal ini kerana ‘ain najis tersebut akan hilang dengan batu atau benda yang seumpamanya, manakala sisa-sisa kesan najis itu akan hilang dengan basuhan air tanpa perlu untuk bersentuhan dengan najis.  (Rujuk al-‘Iqna fi Hall al-Alfaz Abi Syuja’, 1:53)

Justeru itu, dengan menerangkan cara yang afdhal untu beristinjak ini, sudah tentu ia dapat menghilangkan persepsi negatif terhadap cara istinjak yang di Islam seperti yang ditimbulkan dalam soalan di atas.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa cara beristinjak paling afdhal di dalam Islam adalah menggunakan kedua-dua alat bersuci iaitu bahan kesat seperti batu dan tisu, kemudiannya barulah dibasuh dengan air tanpa tangan menyentuh dubur. Hal ini kerana, ‘ain najis akan dihilangkan dulu dengan bahan kesat, kemudian sisa-sisa kesan najis akan dibersihkan pula dengan basuhan air.

Oleh itu, tangan tidak akan terkena najis dan ia dapat dihilangkan dengan berkesan. Jika berkemampuan untuk melakukannya, sebaiknya kita mengamalkan cara yang afdhal dalam beristinjak seperti ini dalam kehidupan kita. Sekaligus ia menafikan persepsi negatif terhadap cara istinjak dalam ajaran Islam.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.