Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-530 : HUKUM MENUNAIKAN SOLAT SECARA JAMAK DAN QASAR KETIKA TEMPOH KUARANTIN

SFB

Assalamualaikum ustaz. Saya ada persoalan berkenaan solat jamak dan qasar. Tetapi sebelum itu saya ada sedikit penjelasan agar ustaz jelas dengan situasi yang saya hadapi.

*Tempat Asal: Malaysia KLIA

*Destinasi: Paloch, Sudan Selatan

*Transit & Quarantin: Juba, South Sudan

Jarak antara Paloch dgn Juba (500KM)

Dari KLIA - Juba South Sudan  6/7/2020

Juba, South Sudan 7/7/2020 - 22/7/2020(14 hari kuarantin)

Dari Juba – Paloch 22/7/2020

Soalan saya, Sepanjang kami di kuarantin selama 14 hari. Boleh ke kami melakukan Solat Jamak & Qasar sepanjang 14hari tu, Sebelum menerus kan ke destinasi yg hendak di tuju iaitu di Paloch.

Ringkasan jawapan :

Jika sudah diketahui bahawa keberadaan Puan di tempat kuarantin tersebut lebih dari empat hari, maka tidak dibenarkan lagi untuk melakukan solat secara Jamak dan Qasar.Solat perlu dilakukan secara sempurna pada waktunya. Solat secara Jamak dan Qasar hanya boleh dilakukan ketika dalam perjalanan daripada Juba ke Paloch.Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Di antara rahmat yang Allah SWT berikan kepada umat ini adalah boleh melakukan solat secara qasar iaitu memendekkan solat daripada empat rakaat menjadi dua rakaat dan juga boleh menggabungkan antara dua waktu solat. Menggabungkan antara Solat Zohor dengan Solat Asar dan juga menggabungkan antara Solat Maghrib dengan Solat Isyak. Ia dipanggil sebagai solat Jamak. Kedua-dua kemudahan ini dibenarkan untuk dilakukan khususnya ketika bermusafir.

Ianya adalah sebagai satu keringanan agar solat boleh dilakukan di mana sahaja walaupun ketika bermusafir. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya : “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang…”

(Surah Al-Nisa : 101)

Di antara perkara yang boleh menyebabkan solat Qasar dan Jamak itu tidak sah adalah berniat untuk menetap di satu tempat atau destinasi selama empat hari atau lebih. Empat hari ini adalah selain hari dia tiba dan juga hari dia keluar dari tempat tersebut untuk memulakan perjalanan yang baru.

Imam Al-Nawawi berkata :

اما إذا نوى الاقامة في بلد ثلاثة أيام فاقل فلا ينقطع الترخص بلا خلاف وان نوى اقامة اكثر من ثلاثة أيام قال الشافعي والاصحاب ان نوى اقامة أربعة أيام صار مقيما وانقطعت الرخص وهذا يقتضى أن نية دون أربعة لا تقطع السفر وان زاد على ثلاثة وقد صرح به كثيرون من أصحابنا وفى كيفية احتساب الاربعة وجهان حكاهما البغوي وآخرون (احدهما) يحسب منها يوما الدخول والخروج كما يحسب يوم الحدث ويوم نزع الخف من مدة المسح (وأصحهما) وبه قطع المصنف والجمهور لا يحسبان

Maksudnya : “ Adapun jika dia berniat untuk menetap di suatu negeri selama tiga hari atau kurang daripada itu maka rukhsah tersebut (Qasar dan Jamak) tetap ada. Jika dia berniat untuk menetap di satu tempat lebih daripada tiga hari, (maka) Imam Al-Syafi’i dan para Fuqaha dari kalangan mazhab Al-Syafi’i berkata : Jika seseorang berniat untuk menetap di satu tempat selama empat hari maka dia menjadi orang yang menetap (muqim) dan tiada lagi rukhsah. Ini membawa maksud bahawa jika dia berniat kurang dari empat hari tidak menyebabkan permusafiran terhenti. Jika dia menetap lebih dari tiga hari, kebanyakan fuqaha kami jelas menyebut perkara tersebut. Berkenaan cara pengiraan empat hari tersebut ada dua pandangan. Kedua-dua pandangan tersebut disebutkan oleh Al-Baghawi dan lain-lain. Salah satunya adalah hari tiba dan keluar dikira sekali sepertimana dikira hari berhadas dan hari menanggalkan khuf yang mana ia adalah tempoh untuk menyapu khuf. Pandangan yang paling sahih adalah dua hari tersebut iaitu hari tiba dan hari keluar tidak dikira. Inilah pandangan yang dipegang oleh pengarang dan jumhur fuqaha Al-Syafi’iyyah.”[1]

Imam Syihabuddin Al-Ramli menyebut :

 وَلَوْ نَوَى ) الْمُسَافِرُ الْمُسْتَقِلُّ وَإِنْ كَانَ مُحَارِبًا ( إقَامَةَ ) مُدَّةٍ مُطْلَقَةٍ أَوْ ( أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ ) مَعَ لَيَالِيِهَا ( بِمَوْضِعٍ ) عَيَّنَهُ قَبْلَ أَنْ يَصِلَ إلَيْهِ ( انْقَطَعَ سَفَرُهُ بِوُصُولِهِ ) أَيْ بِوُصُولِ ذَلِكَ الْمَوْضِعِ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ صَالِحًا لِلْإِقَامَةِ ، فَإِنْ نَوَاهَا وَقَدْ وَصَلَ لَهُ أَوْ بَعْدَهُ انْقَطَعَ سَفَرُهُ بِمُجَرَّدِ نِيَّتِهِ وَخَرَجَ مَا دُونَ الْأَرْبَعَةِ فَلَا يُؤَثِّرُ

Maksudnya : “Jika seseorang yang bermusafir walaupun berada dalam situasi peperangan berniat untuk menetap dalam satu tempoh yang tidak ditentukan atau empat hari empat malam di satu tempat yang mana dia telah menentukannya sebelum sampai di tempat tersebut maka permusafiran itu terhenti sejurus selepas dia sampai walaupun tempat tersebut tidak boleh untuk didiami. Jika berniat dalam keadaan dia telah sampai atau selepas dia tiba maka permusafiran dianggap telah terhenti hanya dengan niatnya sahaja. Pengecualian diberikan jika dia berniat kurang dari empat hari. Maka tidak memberi apa-apa kesan kepada rukhsah tersebut.”[2]

Berdasarkan nas yang telah disebutkan, jika seseorang telah berniat untuk menetap di satu tempat selama empat hari atau lebih maka dia tidak boleh lagi melakukan solat secara Qasar dan Jamak. Pengiraan hari tersebut tidak termasuk hari tiba dan hari dia pulang.

 

[1] Abu Zakariyya , Yahya Bin Syarf Al-Nawawi, Al-Majmu’ Fi Syarh Al-Muhazzab (4/361).

[2] Muhammad Bin Abu Al-‘Abbas Ahmad Bin Hamzah Bin Syihabuddin Al-Ramli, Nihayah Al-Muhtaj Ila Syarh Al-Minhaj (6/337)