Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-532: MENGAMBIL INSURANS DARIPADA SYARIKAT KONVENSIONAL KERANA TERPAKSA

motorr 2

Soalan

Assalamualaikum. Saya sudah ikhtiar untuk ambil insurans kenderaan dengan beberapa syarikat Takaful seperti Etiqa takaful dan Takaful Malaysia. Tetapi mereka memaklumkan insurans kenderaan tidak boleh buat dengan syarikat Takaful disebabkan motosikal lama. Jadi, saya terpaksa mengambil insurans dgn syarikat konvensional. Apakah hukumnya?

Jawapan Ringkas

Waalaikumussalam. Secara asalnya, wajib seseorang Muslim berusaha sedaya upaya untuk mencari syarikat insurans yang menjalankan operasi secara islamik yang boleh memberi perlindungan kepada kenderaannya. Namun begitu, sekiranya usahanya tidak berhasil dan ternyata tiada syarikat takaful yang menawarkan insurans bagi kenderaan lama, maka diharuskan baginya untuk mengambil insurans konvensional.

Keharusan ini melihat kepada arahan pemerintah yang mewajibkan setiap kenderaan perlu memiliki insurans kenderaan. Maka, situasi ini boleh dianggap sebagai keperluan mendesak kerana mengingkarinya boleh menyebabkan pemilik kenderaan didenda dan dikompaun.

Dalam masa yang sama, diingatkan bahawa keharusan ini bersifat sementara sehinggalah satu tempoh wujud syarikat takaful yang menyediakan tawaran sebegitu. Jika berlaku sedemikian, maka wajib beralih kepada syarikat takaful.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Mencari sesuatu yang halal untuk dimakan atau digunakan dalam kehidupan seharian merupakan suatu tuntutan yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas setiap Muslim, kerana mencari yang halal dapat meningkatkan keimanan dan membuat termakbulnya doa dan diterima segala amal ibadah. Sedangkan memakan makanan yang haram boleh menghalang doa dan ibadat daripada diterima oleh Allah SWT.

Daripada Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,

طَلبُ الحَلالِ وَاجِبٌ على كلِ مُسلِم

Maksudnya: “Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim.”

Riwayat al-Thabarani (8610)

Hukum mengambil insurans konvensional sudah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum mengambil dan melanggan Insurans Am termasuklah insurans kereta adalah tidak diharuskan oleh Islam.

Alternatif Takaful

Takaful bermaksud permuafakatan sekumpulan individu untuk saling menjamin dan membantu antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan tertentu yang dipersetujui dalam kalangan mereka seperti memberi pampasan bagi sesuatu musibah yang menimpa serta keperluan kewangan yang lain.

Majlis Penasihat Syariah pada mesyuarat ke-24 bertarikh 24 April 2002 telah memutuskan bahawa model perniagaan takaful yang berasaskan tabarru’ dan wakalah adalah dibenarkan. Kontrak wakalah berlaku antara peserta dengan syarikat takaful, manakala kontrak tabarru’ berlaku antara peserta sahaja.

 Rujuk Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam Edisi Kedua (hlm. 63) oleh Bank Negara

Dalilnya adalah firman Allah Taala:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma'idah: 2)

Penelitian Masalah

Berdasarkan situasi di atas, pertamanya kami melihat pengambilan insurans bagi kereta sudah menjadi suatu kewajipan yang sudah ditetapkan oleh kerajaan bagi menjaga kebajikan pemilik kereta sekiranya berlaku apa-apa kemalangan. Bahkan, tidak mengambil insurans atau takaful boleh menyebabkan didenda dan dikompaun. Walaupun keadaan sebegini tidak mengancam diri, namun ia menjadi keperluan mendesak bagi setiap pemilik kereta sehingga boleh juga diiktibar sebagai darurat.

Ini dikuatkan lagi dengan kaedah Fiqh yang disebutkan Imam al-Suyuthi Rhm. dalam kitab Asybah wa al-Nazhair (hlm. 88)

الحاجة تنزل منزلة الضرورة عامة كانت أو خاصة

Maksudnya: “Suatu hajat (keperluan) boleh jatuh dalam kategori terdesak sama ada ia berbentuk umum mahupun khusus."

Seterusnya, berbeza dengan negara-negara Barat, Malaysia mempunyai banyak syarikat takaful sebagai alternatif kepada syarikat insurans konvensional yang sedia ada. Secara asalnya, wajib seseorang Muslim untuk berusaha meneliti dan mencari sedaya syarikat takaful yang boleh memberi perlindungan kereta kepadanya.

Namun begitu, sekiranya selepas segala usaha sudah dibuat dan ternyata tiada syarikat takaful yang boleh mengambil tanggungjawab tersebut, maka dalam situasi sebegini dibenarkan untuk mengambil insurans konvensional sehinggalah sampai satu tempoh wujud syarikat takaful atau seumpamanya yang memberikan tawaran sebegitu.

Kesimpulannya, perbahasan di atas menunjukkan bahawa syariat Islam memberikan kemudahan (al-taysir) kepada umatnya dalam melaksanakan ibadah serta menjalani kehidupan harian. Kemudahan tersebut berperanan sebagai jalan keluar daripada sebarang kesukaran yang menimpa diri seseorang dalam keadaaan yang tidak diduga.