Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-533 BAGAIMANAKAH KAEDAH PELUPUSAN ABU AL-QURAN

if533

Soalan

Mohon pandangan dan syor berhubung kerja-kerja pengosongan telaga simpanan abu pelupusan al-Quran di pusat pelupusan al-Quran.

Ringkasan Jawapan

Al-Quran yang hendak dilupuskan sebaiknya dibakar di tempat yang bersih kemudian abunya dihimpunkan dan dihanyutkan ke dalam laut atau sungai yang mengalir. Selain itu, abunya juga boleh ditanam ditempat yang tidak dilalui oleh orang ramai bagi mengelak daripada dipijak. Ini jelas tujuannya adalah untuk menjaga kesucian dan kemulian al-Quran itu sendiri. Disamping itu, hendaklah menjaga adab-adab ketika mengendalikan aktiviti tersebut seperti sentiasa dalam keadaan berwuduk dan tidak berhadas dan sebagainya.

Jawapan

Menjaga dan memuliakan kesucian al-Quran merupakan satu tanggungjawab dan kewajipan bagi setiap umat Islam. Oleh itu, beberapa kaedah yang telah digariskan oleh para ulama dalam proses pelupusan al-Quran rosak

Di antara kaedah yang telah yang disarankan oleh para ulama adalah dengan membakarnya. Hal ini berpandukan dengan apa yang dilakukan oleh Saidina Uthman bin ‘Affan R.A ketika proses pengumpulan al-Quran bahawa dia telah memerintahkan untuk mengumpul Mushaf yang dimansukhkan dan membakarnya bertujuan menjaga kesucian al-Quran. Hal tersebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:

أن عثمان بن عفان رضي الله عنه :أَمَرَ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ ، وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ ، وَسَعِيدَ بْنَ الْعَاصِ ، وَعَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْحَارِثِ بْنِ هِشَامٍ ، فَنَسَخُوهَا فِى الْمَصَاحِفِ ، وَقَالَ عُثْمَانُ لِلرَّهْطِ الْقُرَشِيِّينَ الثَّلاَثَةِ : إِذَا اخْتَلَفْتُمْ أَنْتُمْ وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ فِي شَيءٍ مِنَ الْقُرْآنِ فَاكْتُبُوهُ بِلِسَانِ قُرَيْشٍ ، فَإِنَّمَا نَزَلَ بِلِسَانِهِمْ ، فَفَعَلُوا ، حَتَّى إِذَا نَسَخُوا الصُّحُفَ فِي الْمَصَاحِفِ رَدَّ عُثْمَانُ الصُّحُفَ إِلَى حَفْصَةَ ، وَأَرْسَلَ إِلَى كُلِّ أُفُقٍ بِمُصْحَفٍ مِمَّا نَسَخُوا ، وَأَمَرَ بِمَا سِوَاهُ مِنَ الْقُرْآنِ فِي كُلِّ صَحِيفَةٍ أَوْ مُصْحَفٍ أَنْ يُحْرَقَ

Maksudnya: Sesungguhnya ‘Uthman bin ‘Affan R.A memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin al-Zubair, Sai’d bin al-‘As dan ‘Abd al-Rahman bin al-Harith bin Hisyam supaya menulis semula dalam bentuk salinan Mushaf yang sempurna, ‘Uthman berkata kepada tiga orang lelaki Quraish: Sekiranya kamu tidak bersetuju dengan Zaid bin Thabit berkaitan sesuatu hal di dalam al-Quran, maka tulislah dalam gaya bahasa Quraish, sesungguhnya al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka, lalu mereka melakukannya, sehingga menjadi banyak salinan daripadanya (mushaf), kemudian ‘Uthman memulangkan mushaf yang asal kepada Hafsah, dan dikirim ke seluruh pelusuk dunia, kemudian ‘Uthman memerintahkan supaya segala mushaf selain daripada mushaf yang asal agar dibakar.

Riwayat al-Bukhari (4987)

Imam Badr al-‘Aini dalam mensyarahkah hadis di atas menukilkan pandangan Ibn Battal dengan menyatakan:

فِي هَذَا الحَدِيث جَوَاز تحريق الْكتب الَّتِي فِيهَا اسْم الله، عز وَجل، بالنَّار وَإِن ذَلِك إكرام لَهَا وصون عَن وَطئهَا بالأقدام، وَقيل: هَذَا كَانَ فِي ذَلِك الْوَقْت، وَأما الْآن فالغسل إِذا دعت الْحَاجة إِلَى إِزَالَته

Maksudnya: Pada hadis ini menyatakan harus membakar kitab yang terdapat padanya nama Allah SWT dengan api kerana memuliakannya dan menjaganya daripada dipijak. Pada pandangan yang lain menyatakan: pendapat ini merupakan pada masa itu, ada pun pada masa sekarang, maka dengan membasuhnya apabila berhajat untuk menghilangkan tulisannya.

(Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 20/19)

Imam Khatib al-Syirbini mengatakan bahawa makruh membakar al-Quran tanpa tujuan melainkan tujuan untuk menjaga kesuciannya.

وَيُكْرَهُ إحْرَاقُ خَشَبٍ نُقِشَ بِالْقُرْآنِ إلَّا إنْ قُصِدَ بِهِ صِيَانَةُ الْقُرْآنِ فَلَا يُكْرَهُ كَمَا يُؤْخَذُ مِنْ كَلَامِ ابْنِ عَبْدِ السَّلَامِ وَعَلَيْهِ يُحْمَلُ تَحْرِيقُ عُثْمَانَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ – الْمَصَاحِفَ

Maksudnya: Dan makruh membakar kayu yang diukir padanya al-Quran melainkan dengan tujuan penyelenggaraan al-Quran, maka tidak makruh ini seperti yang diambil daripada pendapat Ibn Abd al-Salam berdasarkan perbuatan ‘Uthman R.A yang membakar mushaf

(Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/152)

Berkenaan dengan abu yang dibakar sebaiknya hendaklah dikumpulkan dan diletak ditempat yang selamat seperti ditanam pada tempat yang bersih dan tidak dilalui oleh orang ramai supaya tidak dipijak. Selain itu, boleh juga ia dihanyutkan ke dalam laut atau sungai yang mengalir. Ini bagi menjaga kesucian dan kemuliaan al-Quran serta dapat mengelak daripada perkara yang boleh mencemarkan kesucian al-Quran. Imam al-Zarkashi menukilkan di dalam kitabnya bahawa

وَفَى الْوَاقِعَاتِ مِنْ كُتُبِ الْحَنَفِيَّةِ أَنَّ الْمُصْحَفَ إذا بلي لا يحرق بل تحفر لَهُ فِي الْأَرْضِ وَيُدْفَنُ

Maksudnya: Apa yang terdapat di dalam karangan Mazhab Hanafi bahawa sesungguhnya apabila rosak (al-Quran) janganlah dibakar akan tetapi digali dan ditanam ia di dalam tanah.

(Rujuk al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran, 1/477)

Hal ini jelas seperti yang diputuskan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992 menyatakan bahawa cara pembakaran adalah seperti berikut:

  • Bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibakar hendak­lah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.
  • Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran yang telah dibakar hendaklah dipastikan di kumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah
  • Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam pada tempat yang bersih atau tempat yang tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut/sungai yang mengalir airnya.
  • Kerja-kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai Jabatan Agama atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan tersebut

KESIMPULAN

Justeru dapat disimpulkan bahawa, al-Quran yang hendak dilupuskan sebaiknya dibakar di tempat yang bersih kemudian abunya dihimpunkan dan dihanyutkan ke dalam laut atau sungai yang mengalir. Selain itu, abunya juga boleh ditanam ditempat yang tidak dilalui oleh orang ramai bagi mengelak daripada dipijak. Ini jelas tujuannya adalah untuk menjaga kesucian dan kemulian al-Quran itu sendiri.

Disamping itu, hendaklah menjaga adab-adab ketika mengendalikan aktiviti tersebut seperti sentiasa dalam keadaan berwuduk dan tidak berhadas dan sebagainya.