Soalan
Assalamualaikum wbt SS Datuk. Baru-baru ini saya terbaca berita yang menyiarkan laporan mengenai teknologi terkini yang boleh membakar bangkai haiwan peliharaan dengan mudah. Saya ingin bertanya, adakah saya boleh melupuskan bangkai haiwan peliharaan dengan membakarnya, kemudian menyimpan abu tersebut untuk menjadikannya sebagai kenangan? Mohon pencerahan Datuk.
Ringkasan jawapan
Hukum menyimpan abu haiwan peliharaan adalah haram kerana perbuatan tersebut menyerupai amalan serta kepercayaan agama lain. Di samping itu, hukum abu yang terhasil daripada daripada bangkai haiwan adalah najis kerana ia berasal dari sesuatu yang najis dan bangkai tetap tidak dapat disucikan walaupun melalui proses seperti istihalah serta pembakaran. Bahkan tujuan membakar bangkai haiwan bagi mengambil abunya untuk dijadikan sebagai kenangan juga tidak sampai ke tahap keperluan yang mendesak. Sebaliknya, umat Islam dituntut untuk bersifat ihsan terhadap haiwan antaranya termasuklah dengan mengebumikan bangkai haiwan peliharaan di tempat yang sesuai, selamat dan bertepatan dengan tuntutan syarak.
Huraian jawapan
Membela haiwan peliharaan telah menjadi suatu budaya yang semakin berkembang dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia. Dalam era teknologi digital, kemunculan pelbagai peranti dan aplikasi pintar secara tidak langsung telah mengubah gaya hidup manusia yang semakin kurang tahap kebergantungan antara satu sama lain. Sebahagian individu kini berasa lebih selesa untuk menjalani kehidupan secara bersendirian dengan hanya memiliki haiwan peliharaan sebagai peneman. Interaksi yang berlangsung antara kedua-duanya secara tidak langsung telah mewujudkan hubungan yang istimewa. Hal ini menyebabkan sebahagian individu berasa sedih apabila haiwan peliharaan mereka menemui ajal. Hal ini kemudiannya mendorong pemilik haiwan melakukan sesuatu perkara bagi menyimpan kenangan bersama haiwan kesayangan mereka.
Berdasarkan persoalan di atas, secara umumnya perbuatan menyimpan abu mayat merupakan sebahagian daripada ritual, tradisi dan kepercayaan bagi masyarakat bukan Islam. Sesetengah ajaran mempercayai bahawa jasad manusia hanyalah bersifat sementara. Roh daripada jasad yang telah mati kemudiannya akan menjalani kehidupan seterusnya dalam bentuk yang lain (reincarnation). Oleh itu, proses pembakaran mayat (cremation) bertujuan membebaskan roh si mati daripada jasad tersebut.
Secara asasnya, bangkai haiwan termasuk dalam kategori perkara yang diharamkan oleh syarak. Allah SWT berfirman:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”
(Surah al-Ma’idah: 3)
Berdasarkan perbincangan dalam fiqh Syafi’i, bangkai dari sudut syarak merujuk kepada setiap haiwan yang mati tanpa melalui proses penyembelihan yang sah[1]. Antaranya termasuklah juga penyembelihan haiwan yang dilarang untuk dimakan, penyembelihan oleh kaum Majusi dan orang yang sedang berihram. Oleh itu, status bangkai haiwan adalah najis dan hukum bermuamalah dengan sesuatu yang najis adalah haram. Bahkan hukum abu daripada haiwan turut dinilai sebagai najis jika berasal daripada bangkai walaupun telah melalui proses pembakaran atau pelupusan hingga memusnahkan zatnya. Menurut Imam al-Ramli, bangkai tetap tidak boleh disucikan walaupun melalui proses istihalah dan pelupusan hingga mengubah bentuk asalnya menjadi abu ataupun debu[2].
Selain itu, perbuatan menyimpan abu haiwan peliharaan juga menyerupai bentuk kepercayaan dan tradisi bagi agama-agama lain. Dalam hal ini, terdapat hadis Rasulullah SAW yang melarang umat Islam daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyerupai ritual dan syiar agama lain terutamanya kaum Yahudi dan Nasrani. Baginda SAW bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا لاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ وَلاَ بِالنَّصَارَى فَإِنَّ تَسْلِيمَ الْيَهُودِ الإِشَارَةُ بِالأَصَابِعِ وَتَسْلِيمَ النَّصَارَى الإِشَارَةُ بِالأَكُفِّ
Maksudnya: "Sesiapa yang melakukan sesuatu perkara yang menyerupai bentuk-bentuk perbuatan dalam agama selain daripada agama Islam maka dia bukanlah tergolong dalam kalangan kami. Begitu juga dengan orang yang menyerupai kaum Yahudi dan Nasrani. Sesungguhnya isyarat salam bagi orang Yahudi adalah dengan menunjukkan jari manakala isyarat salam bagi orang Nasrani pula adalah dengan melambai tangan."
(Riwayat Tirmizi: 2695)
Oleh yang demikian, menjauhi perbuatan menyimpan abu haiwan peliharaan dilihat dapat memelihara kesucian akidah umat Islam daripada unsur-unsur kepercayaan agama lain yang boleh menyesatkan. Bahkan, syariat Islam juga telah menyediakan panduan kepada umat Islam untuk menguruskan kematian dengan kaedah pengebumian ke dalam tanah.
Kesimpulan
Berdasarkan dalil dan keterangan di atas, hukum menyimpan abu haiwan peliharaan adalah haram kerana perbuatan tersebut menyerupai amalan serta kepercayaan agama lain.
Hukum abu yang terhasil daripada daripada bangkai haiwan adalah najis kerana ia berasal dari sesuatu yang najis. Bahkan penghasilan abu tersebut tidak mencapai tahap keperluan yang mendesak dan tiada sebarang manfaat daripada perbuatan tersebut.
Umat Islam dituntut untuk bersifat ihsan terhadap haiwan antaranya termasuklah dengan mengebumikan bangkai haiwan tersebut di tempat yang sesuai, selamat dan bertepatan dengan tuntutan syarak.
Wallahu a'alam
Rujukan:
[1] Syams al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut:Dar al-Fikr,1984),1:238.
وَالْمُرَادُ بِالْمَيْتَةِ شَرْعًا مَا زَالَتْ حَيَاتُهُ لَا بِذَكَاةٍ شَرْعِيَّةٍ فَدَخَلَ فِيهَا مُذَكَّى غَيْرِ الْمَأْكُولِ، وَمُذَكَّى الْمَأْكُولِ تَذْكِيَةً غَيْرَ شَرْعِيَّةٍ كَذَبِيحَةِ الْمَجُوسِ وَالْمُحْرِمِ
[2] Syams al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut:Dar al-Fikr,1984),1:247.
(وَلَا يَطْهُرُ نَجِسُ الْعَيْنِ) بِالْغَسْلِ مُطْلَقًا وَلَا بِالِاسْتِحَالَةِ كَمَيِّتَةٍ وَقَعَتْ فِي مَلَّاحَةٍ فَصَارَتْ مِلْحًا أَوْ أُحْرِقَتْ فَصَارَتْ رَمَادًا