Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-208: HUKUM WANITA MEMBUKA SYARIKAT SENDIRI

Soalan: Apakah hukum wanita membuka syarikat sendiri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 Agama Islam merupakan satu agama yang memuliakan wanita dan meletakkan golongan ini di tempat yang tertinggi tanpa mengabaikan hak-hak dan kepentingan mereka. Di samping itu juga, Islam cukup menjaga kehormatan wanita ini dalam setiap perkara yang mereka ingin lakukan. Maka disebabkan itu, Islam mensyariatkan pernikahan, pembahagian harta, nafkah, penceraian dan sebagainya adalah bertujuan untuk menjaga hak dan kepentingan wanita agar mereka ini tidak dizalimi.

Berdasarkan persoalan di atas, suka bagi kami untuk menyatakan dalil-dalil yang melibatkan hukum wanita dibolehkan bekerja walaupun sebaik-baik tempat bagi wanita adalah di rumahnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT:

Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”
 Surah al-Ahzab:33

Syeikh Mustafa al-Maraghi berkata, ayat ini adalah larangan kepada wanita untuk keluar daripada rumah tanpa sebarang hajat atau tujuan. Lihat Tafsir al-Maraghi 6/22. Menurut Syeikh al-Sya’rawi, inilah adab bagi wanita secara umumnya kerana seorang wanita jika sibuk dengan tugas-tugas rumahtangga, tidak akan mempunyai waktu yang lapang untuk keluar (tanpa hajat). Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 19/12021. Ibnu Kathir menafsirkan ayat di atas bahawa janganlah wanita keluar rumah kecuali ada hajat seperti ingin menunaikan solat di masjid selama memenuhi syarat-syaratnya. Lihat Tafsir Al-Qur’an al-‘Azim, 6/182.

 Antara yang diboleh difahami daripada ayat ini adalah wanita itu pada asal tempatnya adalah di rumah dan dia tidak dibenarkan keluar sewenang-wenangnya melainkan jika ada keperluan atau hajat. Walaupun begitu

Untuk itu, di sini kami sertakan beberapa dalil yang menunjukkan bahawa wanita dibolehkan bekerja:

Di dalam al-Qur’an banyak ayat yang menggalakkan kita untuk beramal kerana dunia ini. Ayat-ayat ini berbentuk umum dan ia tidak khusus hanya kepada kaum lelaki sahaja, bahkan ia termasuk juga wanita. Selain itu juga, pekerjaan termasuk di dalam tuntutan beramal. Antara ayat yang menceritakan berkaitan hal ini adalah:

Firman Allah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”
Surah Al-Taubah:105

 

 Firman Allah SWT:

وَلَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِّنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ امْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ ۖ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا ۖ قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّىٰ يُصْدِرَ الرِّعَاءُ ۖ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ

Maksudnya: “Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia mendapati di situ ada sekumpulan orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternakan masing-masing) dan dia juga mendapati di sebelah mereka ada dua wanita yang sedang menahan kambing-kambingnya. Lalu dia bertanya: “Kenapa dengan kamu berdua?.” Mereka menjawab: “Kami tidak dapat memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa pulang binatang ternakannya. Adapun bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.”
Surah Al-Qasas:23

Di dalam hadith Nabi SAW juga ada diriwayatkan bahawa wanita juga bekerja di zaman Nabi SAW bukannya kaum lelaki sahaja yang bekerja. Hal ini, termasuklah isteri-isteri Nabi SAW yang juga rajin bekerja.  Antaranya adalah Khadijah bint Khuwailid. Selain itu, Zainab binti Jahsh juga dinyatakan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَسْرَعُكُنَّ لَحَاقًا بِي أَطْوَلُكُنَّ يَدًا قَالَتْ: فَكُنَّ يَتَطَاوَلْنَ أَيَّتُهُنَّ أَطْوَلُ يَدًا، قَالَتْ: فَكَانَتْ أَطْوَلَنَا يَدًا زَيْنَبُ، لِأَنَّهَا كَانَتْ تَعْمَلُ بِيَدِهَا وَتَصَدَّقُ

Maksudnya: “Orang yang paling awal akan menyusuliku dalam kalangan kamu semua (iaitu isteri-isteri Baginda SAW) ialah yang paling panjang tangannya.” Maka Aishah berkata: “Lalu kami mengukur tangan kami. Kemudian kami mendapati Zainablah yang paling panjang tangannya di antara kami kerana dia menjahit baju dan bersedekah (dengan hasil kerjanya itu).”
[Riwayat Muslim (2452)]

 

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa hadith ini menunjukkan akan keistimewaan Zainab binti Jahsh kerana beliau bekerja dan bersedekah daripada hasil jualan jahitannya. Justeru itu, kita memahami bahawa Rasulullah SAW menghargai usaha murni Zainab dalam usahanya meringankan beban fakir miskin. [Lihat: al-Minhaj, 8/16]

Tambahan pula, di dalam hadith yang lain ada diceritakan bahawa agama ini membenarkan wanita untuk keluar bagi melaksanakan atau menunaikan hajatnya. Ini kerana, secara umunya pekerjaan merupakan satu keperluan (hajat) bagi setiap individu tidak kira lelaki atau wanita.

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

قَدْ أُذِنَ أَنْ تَخْرُجْنَ فِي حَاجَتِكُنَّ

Maksudnya: “Telah diizinkan (bagi wanita) untuk mereka keluar bagi menunaikan hajat mereka.”
[Riwayat al-Bukhari (147)]

Daripada Ibn Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اسْتَأْذَنَتِ امْرَأَةُ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَمْنَعْهَا

Maksudnya: “Jika seseorang wanita meminta izin daripada kamu maka janganlah kamu menghalangnya.”
[Riwayat al-Bukhari (875)]

Daripada Rafi’ bin Khadij bahawa Nabi SAW pernah ditanya, “Apakah pekerjaan yang terbaik?” Maka Baginda SAW menjawab:

عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ

Maksudnya: Pekerjaan seseorang itu dengan usahanya dan setiap urusniaga yang diberkati.

Walaupun istilah yang digunapakai dalam hadis di atas adalah “lelaki”, ia sebenarnya bermaksud umum iaitu lelaki dan wanita. Kata al-San’ani, “Pekerjaan lelaki dengan usahanya sendiri, begitu juga wanita.” Lihat Subul al-Salam, 2/3.

Fatwa

Pilihan untuk membuka syarikat sendiri adalah berkait rapat dengan memasuki dunia pekerjaan. Oleh itu, kami nyatakan beberapa fatwa daripada individu dan institusi fatwa dunia yang membenarkan wanita bekerja dengan syarat mematuhi garis panduan syarak yang ditetapkan:

  1. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah
  2. Dar al-Ifta’ Jordan
  3. Al-Lajnah al-Da’imah li al-Ifta’ Saudi
  4. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi (Pengerusi Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia) di dalam bukunya al-Fatawa al-Mu’asirah
  5. Syeikh Dr. Syauqi ‘Allam (Mufti Besar Mesir) di dalam bukunya Fatawa wa Ahkam al-Mar’ah fi al-Islam

Garis Panduan Wanita Membuka Syarikat Sendiri

Kami berpandangan bahawa hukum wanita membuka syarikat sendiri adalah harus dan dibenarkan dalam Islam. Bahkan kadang-kala ia berlaku dengan tuntutan wajib apabila dia memerlukannya. Misalnya, kerana dia seorang janda atau diceraikan suaminya, sedangkan  tidak  ada  orang  atau keluarga  yang  menanggungnya dari sudut kewangan,  dan  dia sendiri dapat melakukan suatu usaha untuk mencukupi  dirinya dari meminta-minta daripada orang lain. Dalam masa yang sama, keadaan ekonomi semasa juga pasti sedikit meresahkan sekiranya hanya suami yang bekerja untuk menyara keluarga. Maka, boleh sahaja wanita membuka syarikat dan berniaga, misalnya. Antara garis panduan yang dicadangkan adalah:

  1. Pekerjaan tersebut adalah pekerjaan yang diperlukannya atau diperlukan masyarakat kerana ianya lebih sesuai berbanding diganti oleh lelaki.
  2. Tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan juga ibu.
  3. Ia adalah dalam ruanglingkup kepakarannya.
  4. Memelihara aurat dan maruahnya sebagai wanita.
  5. Perlu minta izin kepada suami apatah lagi jika memerlukan bantuan dan sokongan kewangan daripada suami.
  6. Dalam keadaan tertentu seperti isteri yang sudah mahir dalam hal ini sejak sebelum berkahwin, suami sewajarnya memahami dan tidak mudah-mudah melarangnya sehingga menyebabkan si isteri tertekan dan tertindas dalam rumahtangga.

Wallahua'lam.