Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HUKUM SIRI KE-962: HUKUM MENGGUNAKAN PENYEPIT MAKAN (CHOPSTICK)

HUKUM_MENGGUNAKAN_PENYEPIT_MAKAN_CHOPSTICK.jpg

Soalan

Baru-baru ini timbul persoalan dalam kalangan masyarakat berhubung hukum penggunaan penyepit makan (chopstick). Hal ini susulan kenyataan bahawa alat tersebut pada asalnya dicipta dan digunakan dalam upacara penyembahan Maharaja China. Sehubungan itu, jika benar penggunaannya mempunyai kaitan dengan syiar atau ritual agama lain, apakah hukum menggunakan penyepit tersebut dalam urusan makan seharian? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan

Hukum menggunakan penyepit makan (chopstick) adalah harus kerana ia merupakan alat yang bersifat umum tanpa diniatkan sebagai simbol atau syiar mana-mana agama. Larangan hanya terpakai terhadap tasyabbuh (penyerupaan) dalam perkara yang menjadi identiti atau syiar khusus sesuatu agama. Berdasarkan realiti semasa, chopstick lebih dikenali sebagai alat makan dan sebahagian daripada identiti budaya masyarakat tertentu. Malah, penggunaannya telah tersebar secara meluas dalam kalangan pelbagai bangsa di seluruh dunia tanpa dikaitkan dengan sebarang ritual atau amalan keagamaan. Oleh itu, penggunaan penyepit makan (chopstick) adalah harus, sebagaimana penggunaan sudu, garpu dan pelbagai alat makan yang lain.

Huraian Jawapan

Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Penyepit Makan (Chopstick) : Antara budaya atau Syiar Agama?

Penting untuk membezakan sama ada chopstick merupakan budaya atau syiar agama tertentu. Berdasarkan penulisan berkaitan sejarah perkembangan penyepit makan, alat ini pada asalnya digunakan sebagai alat makan yang ringkas sebelum berkembang menjadi simbol budaya masyarakat tertentu. Penyepit makan telah menjadi sebahagian daripada identiti budaya kulinari masyarakat China, Jepun, Korea dan Vietnam di seluruh dunia. Pada masa kini, lebih daripada satu perlima penduduk dunia menggunakan penyepit makan setiap hari sebagai alat utama untuk menikmati makanan.Ia menunjukkan bahawa evolusi masakan Asia terus membentuk cara penyepit makan digunakan, bukan sahaja di Asia malah di seluruh dunia.[1] Terdapat kajian yang terhasil dari temu bual yang melibatkan informan dari etnik Cina bagi mengenal pasti chopstick bukan sekadar alat makan bahkan turut berfungsi sebagai simbol identiti budaya masyarakat Cina. Terdapat dua orang informan yang menyatakan bahawa kepercayaan merupakan unsur identiti budaya yang diwarisi dari nenek moyang mereka.[2]

Sekalipun terdapat kenyataan bahawa chopstick pernah digunakan dalam upacara pelbagai ritual keagamaan tertentu pada zaman silam, hal tersebut perlu dibuktikan dengan fakta sejarah yang tepat. Tambahan pula, penggunaan chopstick pada hari ini telah menjadi alat makan yang digunakan secara meluas oleh pelbagai bangsa diseluruh dunia tanpa dikaitkan dengan sebarang ritual keagamaan dan melalui proses evolusi identiti yang membentuk budaya masyarakat berkenaan.

Konsep tasyabbuh dalam Islam

Dalam Islam, tasyabbuh (penyerupaan) tidak meliputi semua perkara yang berasal daripada masyarakat bukan Islam. Sebaliknya, larangan tersebut tertumpu kepada penyerupaan dalam perkara yang menjadi syiar, identiti atau amalan khusus sesuatu agama.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.

(Riwayat Abu Daud)

Tasyabbuh yang dilarang ialah penyerupaan dalam perkara yang menjadi ciri khusus mereka seperti aspek pakaian, penampilan dan perkara-perkara seumpamanya. [3]

Oleh yang demikian, larangan tasyabbuh adalah terhadap penyerupaan dalam perkara yang menjadi ciri khas dan syiar agama mereka bukan dalam urusan adat, budaya atau kebiasaan hidup yang dikongsi oleh masyarakat secara umum. Oleh itu, tidak semua perkara yang berasal daripada sesuatu bangsa atau tamadun lain dihukum sebagai tasyabbuh yang dilarang.

Berdasarkan realiti semasa, penggunaan chopstick tidak lagi terhad kepada sesuatu bangsa atau agama tertentu, bahkan ia telah menjadi alat makan yang digunakan secara meluas dalam pelbagai negara dan budaya di seluruh dunia. Oleh itu, statusnya lebih tepat dikategorikan sebagai adat dan kebiasaan masyarakat sejagat, bukannya syiar agama tertentu.

Prinsip Fiqh Mengenai Penggunaan Alat Makan

Tiada dalil Islam berkaitan larangan penggunaan alat untuk makan tertentu seperti sudu, garpu dan penyepit makan. Oleh itu, hukum asal penggunaan pelbagai alat makan adalah harus. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: “Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya.”

Hukum penggunaan chopstick kekal harus selagi tiada bukti sahih bahawa asal-usulnya berkaitan dengan upacara penyembahan Maharaja China. Keharusan ini juga tertakluk kepada syarat penyepit tersebut tidak diperbuat daripada emas atau tulang haiwan yang diharamkan.

Berdasarkan kajian, chopstick telah menjadi sebahagian daripada identiti budaya kulinari masyarakat China. Sebab pengharaman telah gugur berdasarkan kaedah fiqh berikut:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: “Sesuatu hukum berlegar bersama-sama ‘illah (sebab) nya ketika ia ada dan tiada.”

Dalam hal ini, sekiranya tiada unsur akidah, kepercayaan atau kaitan dengan upacara penyembahan Maharaja China, maka tiada lagi ‘illah yang membawa kepada larangan penggunaan chopstick. Oleh yang demikian, penggunaannya oleh orang Islam adalah diharuskan kerana ia merupakan alat makan yang berkaitan dengan adat dan budaya bukan lambang sesuatu agama.

Penggunaan chopstick dinilai berdasarkan tujuan dan niat penggunaannya sebagai alat makan bukan sebagai suatu bentuk amalan atau kepercayaan keagamaan. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الأَمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara itu dinilai berdasarkan tujuan-tujuannya”

Kesimpulan

Penggunaan penyepit makan (chopstick) oleh orang Islam adalah diharuskan. Walaupun terdapat dakwaan mengenai asal usul penggunaannya, realiti semasa menunjukkan bahawa chopstick telah menjadi alat makan yang digunakan secara meluas oleh pelbagai bangsa tanpa membawa sebarang makna keagamaan atau menjadi syiar agama tertentu. Dalam masa yang sama, Islam membezakan antara adat dan syiar agama. Larangan tasyabbuh hanya terpakai kepada penyerupaan dalam perkara yang menjadi identiti atau amalan khusus agama lain bukan terhadap adat atau kebiasaan yang bersifat umum. Oleh itu, penggunaan chopstick tidak termasuk dalam bentuk tasyabbuh yang dilarang.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Q. Edward Wang, Chopsticks: A Cultural and Culinary History. 2015. Cambridge University Press. https://dokumen.pub/chopsticks-a-cultural-and-culinary-history-9781107023963.html

[2] Gaby Agustina Ubra et all. The Use Of Chopsticks as A Cultural Identity Of Chinese Society. 2023

[3] Syarah Sunan Abu Daud Ibn ‘Ibad . J: 6 P:452