Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-196: HUKUM BERMAIN DADU

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Definisi Dadu

Kata Imam Al-Manawi di dalam kitabnya Faidh al-Qadir: Sesungguhnya para ulama salaf telah sepakat atas keharaman bermain dadu. Ibn Qudamah juga telah menukilkan Ijmak ke atasnya. Dan dikatakan bahawa sebab pengharamannya adalah kerana: Pengasasnya yang bernama Sabur bin Azdasyir yang merupakan pemerintah Sasan yang terawal telah menyerupakan papan dadunya itu dengan permukaan bumi. Pembahagian segiempat diserupakan dengan empat fasal, 30 orang disamakan dengan 30 hari, warna hitam dan putih menunjukkan kepada siang dan malam, 12 buah rumah menunjukkan kepada 12 bulan dalam setahun. [Lihat: Faidh al-Qadir, Al-Manawi 6/219]

 

Syeikh Al-Zubaidi juga menyatakan pendapat yang hampir sama dengan katanya: Al-Nardasyir merupakan suatu sandaran kepada pengasasnya yang bernama Ardasyir yang merupakan salah seorang daripada raja Parsi. [Lihat: Taj Al ‘Urus, Al-Zubaidi 9/219]

 

Ibn Manzur mengatakan: Al-Nard adalah suatu permainan. Ia berasal dari Bahasa Parsi dan bukannya Bahasa Arab. Ia dinamakan sebagai Nardasyir, dan Al-Nard itu nama ‘ajam (bukan Arab) manakala Syir itu bermaksud manis. [Lihat: Lisan al-Arab, Ibn Manzhur, 3/421]

 

Berkenaan dengan makna Syir, al-Zubaidi mengatakan terdapat padanya waham (keraguan) terhadap kenyataan tersebut. Ini kerana, manis di sisi mereka adalah Syirin sebagaimana yang makruf dalam kalangan mereka. [Lihat: Taj al-‘Urus, Al-Zubaidi 9/219]

 

Hadith-Hadith Dan Hukum Bermain Dadu

Antara hadith-hadith yang menceritakan berkaitan dadu adalah:

 

  • Daripada Buraidah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

‏مَنْ لَعِبَ‏ ‏بِالنَّرْدَشِيرِ‏ ‏فَكَأَنَّمَا صَبَغَ يَدَهُ فِي لَحْمِ خِنْزِيرٍ وَدَمِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bermain dadu seperti mencelup tangannya di dalam daging khinzir dan darahnya”. [Riwayat Muslim (2260)]

 

  • Daripada Abi Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ لَعِبَ ‏بِالنَّرْدِ،‏ ‏فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bermain dadu maka dia telah melakukan dosa kepada Allah dan rasulnya”. [Riwayat Abu Daud (4938)] [Hadith ini hasan walaupun sanadnya dhaif disebabkan terdapat keguguran pada sanad sebagaimana yang dinilai oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

 

Kami melihat pengharaman permainan dadu adalah disebabkan terdapat padanya unsur judi bukannya zat dadu itu sendiri. Ini kerana, para ulama’ bersepakat bahawa berjudi itu adalah haram kerana nas yang jelas di dalam al-Qur’an.

 

Di dalam Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah mengatakan perjudian yang melalaikan seperti bermain dadu dan catur. Jika permainan ini tidak disertakan dengan duit telah berlaku perselisihan dalam kalangan para fuqaha’ pada menentukan hukumnya. [Lihat: Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 406/39]

 

Ini menunjukkan bahawa terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama’ berkaitan hukum bermain dadu jika ia tidak melibatkan perjudian. Di mana satu pihak mengatakan ianya adalah haram berdasarkan zahir hadith di atas dan satu pihak mengatakan ianya adalah makruh. Hal ini, disebut oleh Imam al-Nawawi bahawa jumhur ulama’ mengatakan haram bermain dadu dan telah berkata Abu Ishaq al-Marwazi (iaitu seorang tokoh besar dalam mazhab al-Syafie) daripada ashab atau ulama’ kami (yang bermazhab al-Syafie) bahawa permainan itu adalah makruh dan bukannya haram. [Lihat: al-Minhaj, 15/15]

 

Kesimpulan

Justeru itu, kami membuat kesimpulan berkaitan isu ini adalah dengan mengatakan bahawa bermain dadu adalah dibolehkan jika ianya tidak disertakan atau menatijahkan unsur-unsur yang haram seperti judi dan kelalaian (dalam melaksanakan tuntutan agama). Di samping itu juga, kemungkinan permainan dadu yang dimaksudkan oleh hadith di atas tidak sama seperti yang kita lihat pada hari ini. Sekali lagi, kami ingin tegaskan bahawa jika adanya sebarang bentuk atau unsur perjudian, pergaduhan dan juga yang membawa kepada kelalaian sehingga berlaku pengabaian terhadap amanah kepada Allah SWT serta tanggungjawab sesama manusia maka hukumnya adalah haram. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini kerana ia merupakan tanda bahawa Allah SWT inginkan kebaikan kepada kita. Amin.

 

Wallahua’lam