Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-73: ISTINBAT HUKUM DARIPADA KISAH-KISAH DALAM AL-QURAN

ISTINBAT_HUKUM_DARIPADA_KISAH-KISAH_DALAM_AL-QURAN.jpg

 

SOALAN

Adakah kisah-kisah Nabi dan umat terdahulu yang ada dalam al-Quran boleh diistinbatkan hukum daripadanya? Atau istinbat hukum hanya terhad kepada ayat-ayat hukum sahaja?

RINGKASAN JAWAPAN

Sumber untuk mengistinbatkan hukum hakam fiqh tidak hanya terhad kepada ayat-ayat hukum sahaja. Kisah-kisah para Nabi, Rasul, golongan soleh, peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan kisah yang akan berlaku di hari akhirat kelak yang diceritakan dalam al-Quran bukan sahaja menjadi nasihat dan iktibar, bahkan juga boleh diistinbatkan daripadanya hukum hakam fiqh dalam pelbagai bidang. Hal ini diperakui dan dipraktikkan oleh sekian ramai ulama sejak dahulu, lalu menghasilkan banyak hukum fiqh daripada ayat-ayat yang berbentuk penceritaan.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Mukadimah

Kisah-kisah dalam al-Quran itu ada beberapa jenis, antaranya ialah:

  • Kisah para anbiya’ dan rasul yang berkisar kepada intipati dakwah mereka kepada kaum masing-masing dan cabaran yang dihadapi
  • Kisah tentang golongan tertentu selain Nabi dan Rasul seperti Ashabul Kahfi, Zulqarnain, Qarun dan Saidatina Maryam
  • Kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW seperti peristiwa Isra’ dan Mi’raj, hijrah ke Madinah dan perang Badar

Sebagai seorang Muslim, kita wajib mengimani bahawa setiap ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah dalam apa jua bentuk, sama ada penegasan prinsip tauhid, kisah-kisah umat terdahulu, ayat-ayat hukum dan lain-lain, kesemuanya terkandung di dalamnya khazanah ilmu dan mutiara hikmah yang tidak akan pernah habis dan terhenti. Kerana itulah kita melihat para ulama mengeluarkan banyak faedah yang cukup menakjubkan daripada satu ayat setelah menelitinya dari pelbagai aspek.

Bolehkah diistinbatkan hukum daripada ayat-ayat al-Quran yang berbentuk kisah dan cerita?

Secara umumnya, para ulama bersetuju bahawa boleh diistinbatkan hukum daripada ayat-ayat al-Quran yang berbentuk kisah dan cerita. Menurut Imam Ibn al-‘Arabi:

أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى أَخْبَرَنَا عَنْ قَصَصِ النَّبِيِّينَ، فَمَا كَانَ مِنْ آيَاتِ الِازْدِجَارِ وَذِكْرِ الِاعْتِبَارِ فَفَائِدَتُهُ الْوَعْظُ، وَمَا كَانَ مِنْ آيَاتِ الْأَحْكَامِ فَالْمُرَادُ بِهِ الِامْتِثَالُ لَهُ وَالِاقْتِدَاءُ بِهِ

Maksudnya: Allah Ta’ala menceritakan kepada kita tentang kisah-kisah para Nabi; maka ayat-ayat yang bersifat mencegah daripada mafsadah dan menyebut tentang iktibar, maka faedah yang boleh diambil daripadanya ialah nasihat peringatan, manakala ayat-ayat berkaitan hukum pula tujuannya adalah untuk kita beramal dengannya.[1]

Menurut Imam al-Suyuti pula:

فَإِنَّ آيَاتِ الْقَصَصِ وَالْأَمْثَالِ وَغَيْرِهَا يُسْتَنْبَطُ مِنْهَا كَثِيرٌ مِنَ الْأَحْكَامِ

Maksudnya: Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran berkenaan kisah-kisah dan perumpamaan-perumpamaan itu boleh diistinbatkan banyak hukum daripadanya.[2]

Manakala Imam al-Syaukani pula berpandangan:

مَنْ لَهُ فَهْمٌ صَحِيحٌ، وَتَدَبُّرٌ كَامِلٌ، يَسْتَخْرِجُ الْأَحْكَامَ مِنَ الْآيَاتِ الْوَارِدَةِ لِمُجَرَّدِ الْقَصَصِ وَالْأَمْثَالِ

Maksudnya: Sesiapa yang mempunyai kefahaman yang sahih dan tadabbur yang sempurna, dia akan mampu mengeluarkan hukum-hakam daripada ayat-ayat al-Quran yang menceritakan hanya semata-mata kisah-kisah dan perumpamaan.[3]

Imam al-Qarafi pula menyatakan dengan jelas:

وقال بعض العلماء: كُلُّ قصةٍ مذكورةٍ في كتاب الله تعالى فالمراد بذكرها: الانزجارُ عما في تلك القصة من المفاسد التي لابَسَها أولئك الرَّهْط، والأمر بتلك المصالح التي لابسها المحكي عنه

Maksudnya: Sebahagian ulama berkata: Setiap kisah yang disebut dalam kitab Allah Taala itu tujuannya adalah supaya kita menjauhi daripada mafsadah-mafsadah yang dikaitkan dengan kumpulan tertentu yang disebut dalam kisah-kisah tersebut, serta sebagai perintah untuk kita mendapatkan maslahah yang dikaitkan dengan kumpulan yang diceritakan itu.[4]

Contoh istinbat hukum daripada kisah dalam al-Quran

Dr. Usamah Muhammad ‘Abd al-‘Azim Hamzah, Professor dalam bidang Usul Fiqh di Universiti al-Azhar telah menghasilkan satu kajian yang bertajuk Al-Qasas al-Qur’ani wa Atharuhu fi al-Istinbat al-Ahkam. Dalam buku ini, beliau telah menghimpunkan sejumlah istinbat hukum oleh para ulama daripada ayat-ayat al-Quran yang berbentuk kisah dan cerita. Antara istinbat yang dinukilkan termasuklah daripada firman Allah:

وَنَادَىٰ أَصْحَابُ النَّارِ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ أَنْ أَفِيضُوا عَلَيْنَا مِنَ الْمَاءِ أَوْ مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ ۚ قَالُوا إِنَّ اللَّـهَ حَرَّمَهُمَا عَلَى الْكَافِرِينَ ﴿٥٠﴾

Maksudnya: Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): "Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu". Mereka (ahli Syurga) menjawab: "Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir".

Surah al-A’raf (50)

Menurut Imam al-Qurtubi, diistinbatkan daripada ayat ini beberapa hukum, antaranya:

  • Memberi minum kepada yang memerlukan merupakan antara amalan yang paling besar ganjarannya
  • Pemilik telaga adalah lebih berhak terhadap air dari sumber tersebut berbanding orang lain.[5]

Selain itu, dalam kisah Nabi Nuh yang dirakamkan oleh al-Quran:

وَقَالَ ارْكَبُوا فِيهَا بِسْمِ اللَّـهِ مَجْرَاهَا وَمُرْسَاهَا ۚ إِنَّ رَبِّي لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٤١﴾

Maksudnya: Dan (ketika itu) Nabi Nuh menyeru kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): "Naiklah kamu ke bahtera itu sambil membaca: 'Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya.' Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Surah Hud (41)

Menurut Ibn al-‘Arabi dan al-Qurtubi, ayat ini menjadi dalil akan anjuran membaca Bismillah ketika hendak memulakan sesuatu perkara.[6]

Begitu juga Allah SWT berfirman:

قَالَ يَا بُنَيَّ لَا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَىٰ إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا ۖ إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿٥﴾

Maksudnya: Bapanya berkata:" Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan ialah musuh yang nyata bagi manusia.

Surah Yusuf (5)

Menurut al-Qurtubi, ayat ini menjadi dalil akan keharusan untuk seorang Muslim memberi peringatan kepada saudaranya tentang bahaya yang bakal menimpa terhadapnya daripada perbuatan jahat orang lain, dan ia tidak dianggap sebagai mengumpat (ghibah) yang diharamkan oleh Allah.[7]

Begitu juga dengan firman Allah:

وَهَلْ أَتَاكَ نَبَأُ الْخَصْمِ إِذْ تَسَوَّرُوا الْمِحْرَابَ ﴿٢١﴾ إِذْ دَخَلُوا عَلَىٰ دَاوُودَ فَفَزِعَ مِنْهُمْ ۖ قَالُوا لَا تَخَفْ ۖ خَصْمَانِ بَغَىٰ بَعْضُنَا عَلَىٰ بَعْضٍ فَاحْكُم بَيْنَنَا بِالْحَقِّ وَلَا تُشْطِطْ وَاهْدِنَا إِلَىٰ سَوَاءِ الصِّرَاطِ ﴿٢٢﴾

Maksudnya: Sudahkah sampai kepadamu wahai Muhammad berita tentang perbicaraan dua orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat; Iaitu ketika mereka masuk menemui Nabi Daud, lalu beliau terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya: "Janganlah takut, kami ini ialah dua orang yang berselisihan, salah seorang daripada kami telah berlaku zalim kepada yang lain; oleh itu hukumkanlah antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui batas keadilan, serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus.

Surah Sad (21-22)

Menurut al-Qurtubi, ayat ini menjadi dalil akan keharusan hukum melaksanakan pengadilan dan proses kehakiman di dalam masjid.[8]

Kesimpulan

Istinbat hukum daripada al-Quran tidak hanya terhad kepada ayat-ayat hukum (ayat al-ahkam) semata-mata. Kisah-kisah para Nabi, Rasul, golongan soleh, peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan kisah yang akan berlaku di hari akhirat kelak yang diceritakan dalam al-Quran bukan sahaja menjadi nasihat dan iktibar, bahkan juga boleh diistinbatkan daripadanya hukum hakam fiqh dalam pelbagai bidang. Hal ini diperakui dan dipraktikkan oleh sekian ramai ulama sejak dahulu, lalu menghasilkan banyak hukum fiqh daripada ayat-ayat berbentuk penceritaan dan pengisahan.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Rujuk Ibn al-‘Arabi (2003), Ahkam al-Quran, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Cetakan Ketiga, 1/39

[2] Rujuk Al-Suyuti, Jalaluddin (1974), Al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, al-Hai’ah al-Misriyyah al-‘Ammah li al-Kitab, tahqiq: Muhammad Abu al-Fadhl Ibrahim, 4/40

[3] Rujuk al-Syaukani, Muhammad bin Ali (1999), Irsyad al-Fuhul ila Tahqiq al-Haq min ‘Ilm al-Usul, Dar al-Kutub al-‘Arabi, cetakan pertama, tahqiq Ahmad ‘Azwu ‘Inayah, 2/206

[4] Rujuk Al-Qarafi, Syihabuddin Ahmad bin Idris (1995) Nafa’is al-Usul fi Syarh al-Mahsul, Maktabah Nizar Mustofa al-Baz, Cetakan Pertama, tahqiq: Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud dan Ali Muhammad Mu’awwadh, 9/3832

[5] Dr. Usamah Muhammad ‘Abd al-‘Azim Hamzah (2008) Al-Qasas al-Qur’ani wa Atharuhu fi al-Istinbat al-Ahkam, Dar al-Fath, Cetakan Kedua, hal. 60

[6] Al-Qasas al-Qur’ani wa Atharuhu fi al-Istinbat al-Ahkam, hal. 65.

[7] Al-Qasas al-Qur’ani wa Atharuhu fi al-Istinbat al-Ahkam, hal 65.

[8] Al-Qasas al-Qur’ani wa Atharuhu fi al-Istinbat al-Ahkam, hal. 213