Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-77: BILAKAH KEADAAN YANG DIBENARKAN UNTUK MENGAMBIL PANDANGAN MAZHAB LAIN?

BILAKAH_KEADAAN_YANG_DIBENARKAN_UNTUK_MENGAMBIL_PANDANGAN_MAZHAB_LAIN.jpg

Soalan

Assalamualaikum ada orang kata kita di Malaysia bukan bermazhab Syafi’i kerana kita membayar zakat tidak mengikut mazhab Syafi’i. Bolehkah kita berpindah-pindah mazhab sedangkan kita di Malaysia bermazhab Syafi’i?

Ringkasan Jawapan

Secara asanya kebanyakan negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan adalah bermazhab dengan mazhab Syafi’i namun dalam keadaan yang melibatkan kepentingan (masalahah) umum atau keperluan yang mendesak maka dibenarkan untuk mengambil pandangan yang lain sama ada pandangan yang tidak muktamad atau pandangan daripada mazhab lain. Hal ini sama sekali tidak menjadikan seseorang yang bermazhab Syafi’i terkeluar daripada mazhab.

Mengambil pandangan mazhab lain dalam keadaan tertentu telah dilakukan oleh ulama semenjak zaman berzaman. Namun harus diingatkan bahawa mengambil pandangan mazhab lain tidak boleh dilakukan secara suka-suka atau sengaja mencari-cari pandangan yang mudah yang mudah (tatabu’ al-rukhas). Mengambil pandangan mazhab lain hendaklah dilakukan dengan berhati-hati dengan meraikan syarat-syaratnya serta tidak berlaku talfiq yang dilarang iaitu campur aduk pandangan imam mujtahid di dalam sesuatu perkara. Menggabungkan dua mazhab sehingga terhasilnya pandangan yang tidak dikatakan oleh mana-mana mazhab.

Huraian Jawapan

Mazhab Syafi’i telah bertapak di Malaysia semenjak dahulu lagi. Ia telah diterima pakai dalam perlaksanaan agama di kebanyakan negeri di Malaysia. Di Wilayah Persekutuan, dalam Akta 505 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 menetapkan bahawa:

“(1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.

(2) Jika Mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali[1].”

Imam al-Iraqi, Imam Ibn al-Solah dan Imam al-Subki menegaskan bahawa fatwa yang dikeluarkan mestilah memilih pandangan yang paling kuat merupakan perkara yang ijmak dalam kalangan ulama. Seorang mufti yang memberikan pandangan menggunakan pendapat yang lemah akan dianggap seperti seorang yang mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT[2].

Walau bagaimanapun seorang mufti boleh berpindah kepada pandangan yang lemah atau pandangan daripada mana-mana mazhab lain selain daripada mazhab yang diamalkan jika terdapat keperluan yang mendesak. Perkara ini suatu yang dimaklumi dalam pengamalan para ulama mazhab zaman berzaman. Disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin:

يجوز تقليد ملتزم مذهب الشافعي غير مذهبه أو المرجوح فيه للضرورة، أي المشقة التي لا تحتمل عادة

Maksudnya: “Seseorang yang berpegang kepada mazhab Syafi'i diharuskan taqlid kepada selain daripada mazhabnya atau pandangan yang lemah dalam keadaan terpaksa, iaitu kesusahan yang biasanya tidak tertanggung[3].”

Namun perlu diingatkan bahawa mengambil pandangan yang lemah atau pandangan mazhab yang lain hendaklah dilakukan dengan memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama antaranya:

  1. Mengetahui dengan baik perbincangan mazhab yang ingin digunakan dengan segala syarat dan pertimbangannya.
  2. Bukan pandangan yang membatalkan keputusan hakim iaitu sesuatu yang bercanggah dengan nas, ijmak, kaedah atau qias yang jelas (qias jali).
  3. Tidak mencari-cari keringanan (tatabu’ al-rukhas) dengan mengambil daripada setiap pandangan mazhab yang paling mudah baginya.
  4. Tidak melakukan talfiq (menggabungkan) terhadap dua mazhab sehingga terhasilnya pandangan yang tidak dikatakan oleh mana-mana mazhab. Contohnya seperti jika dia berwuduk dan tidak menggosok sebagai bertaklid kepada mazhab Syafi'i, kemudian dia menyentuh bukan mahram tanpa syahwat kerana bertaklid kepada mazhab Maliki lalu dia solat maka solatnya pada waktu itu tidak sah menurut kesepakatan kedua-dua mazhab.
  5. Tidak mengikut sesuatu mazhab kemudian mengikut pula mazhab lain yang bertentangan dengan mazhab yang pertama. Namun syarat ini masih diperselisihkan oleh ulama mazhab Syafi’i[4].

Disebabkan sukarnya untuk memenuhi syarat-syarat di atas sebahagian ulama menyatakan bahawa memilih pandangan yang lemah dalam kerangka mazhab lebih diutamakan berbanding mengambil pandangan mazhab lain[5].

Antara bentuk-bentuk keadaan yang mendesak yang membolehkan seseorang mufti untuk keluar daripada mazhab rasmi atau memilih pandangan yang lemah dalam mazhab ialah:

  1. Jika menggunakan pendapat yang muktamad akan menyebabkan kesukaran di kalangan orang ramai.

     b.   Terdapat keperluan mendesak yang melibatkan kepentingan orang ramai[6].

Selain itu, penting juga untuk difahami bahawa mengambil pandangan mazhab lain dalam keadaan tertentu tidak menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada mazhab Syafi’i. Mengenai hal ini Syeikh Abdullah bin Ahmad Basudan menjelaskan:

إعلم أن أئمتنا الشافعية لهم اختيارات مخالفة لمذهب الإمام الشافعي اعتمدوا العمل بها لتعسر أو تعذر العمل بالمذهب وهي كثيرة مشهورة وعند التحقيق فهي غير خارجة عن مذهبه

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa para ulama mazhab Syafi'i memiliki pandangan-pandangan peribadi yang bercanggah dengan pandangan Imam Syafi'i. Mereka memilih pandangan yang lain daripada mazhab Syafi’i disebabkan oleh kesukaran atau kepayahan untuk berpegang dengan mazhab Syafi’i dan perkara seperti ini banyak dan masyhur. Secara tahqiq, ia tidak keluar daripada mazhab Syafi’i[7].”

Hal ini berdasarkan kaedah fiqh yang disebutkan oleh Imam al-Syafi’i sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Suyuti:

إذا ضاق الأمر اتسع وإذا اتسع ضاق

Maksudnya: “Ketika dalam kesempitan, diberikan keluasan dan apabila terlalu luas akan disempitkan[8].”

Mengambil pandangan lain sama ada pandangan yang tidak muktamad dalam mazhab Syafi’i atau mazhab lain dapat dilihat pada contoh-contoh berikut:

1.     Memberikan zakat hanya kepada satu golongan daripada asnaf yang lapan.

2.     Diharuskan melakukan jual beli tanpa akad (Bai’ al-Mu’atah) dalam sesetengah keadaan.

3.     Dibolehkan seorang yang fasiq untuk menjadi wali nikah

4.     Bagi wanita yang haidnya berhenti dengan tanpa sebab yang diketahui (iddah murtabah) maka dia perlu menunggu selama 9 bulan lalu ditambah dengan 3 bulan[9].

Namun orang ramai diingatkan agar tidak bermudah-mudah dalam mengambil pandangan mazhab lain kerana dikhuatiri ia akan membawa kepada tatabu’ al-rukhas iaitu sengaja mencari pandangan yang mudah menurut hawa nafsu dan perbuatan ini merupakan sesuatu yang haram berdasarkan ijmak para ulama. Imam al-Ghazali dalam kitab al-Mustasfa menjelaskan:

فليس له أن يأخذ بمذهب مخالفه بالتشهي وليس للعامي أن ينتقي من المذاهب في كل مسألة أطيبها عنده فيتوسع

Maksudnya: “Tidak dibenarkan untuk mengambil pandangan mazhab lain semata-mata atas dasar mengikut keinginan nafsu. Orang awam tidak boleh memilih pandangan yang disukainya pada setiap isu yang akan menyebabkan dia bermudah-mudahan dalam hukum.”

Menurut salah seorang ulama tabi’in yang terkenal iaitu Sulaiman al-Taimi:

إن أخذت برخصة كل عالم اجتمع فيك الشر كله

Maksudnya: “Jika kamu mengambil keringanan (rukhsah) dari setiap ulama, maka terkumpullah pada diri kamu segala kejahatan”.

Ibn Abd al-Bar ketika mengulas kenyataan ini bahawa larangan mengambil pandangan yang mudah sahaja merupakan sesuatu yang ijmak para ulama[10]. Bahkan menurut Imam al-Qalyubi hukum sengaja mencari-cari pandangan yang mudah adalah haram dan berdosa[11].

Berkenaan dengan mengambil pandangan mazhab yang lain, Majma’ al-Fiqh al-Islami kali ke-8 yang diadakan di Brunei pada 21-27 Jun 1993 menetapkan bahawa:

“Tidak dibenarkan mengambil keringanan (rukhsah) mazhab-mazhab fiqh semata-mata atas dasar hawa nafsu. Hal ini demikian kerana ia akan membawa kepada mengetepikan kewajipan, sebaliknya dibenarkan mengambil keringanan tersebut dengan mengambil kira garis panduan berikut:

a)     Pandangan fuqaha yang digunakan mestilah diiktiraf di sisi syarak dan tidak disifatkan sebagai pendapat yang ganjil (syaz).

b)     Terdapat keperluan untuk mengambil pandangan tersebut untuk mengelakkan kesusahan (masyaqqah), sama ada melibatkan keperluan umum atau individu.

c)      Orang yang mengambil fatwa tersebut mestilah mempunyai keupayaan untuk memilih atau berpanduakan kepada seseorang yang layak untuk berbuat demikian.

d)     Pandangan tersebut hendaklah tidak mengakibatkan talfiq yang dilarang.

e)     Tujuan mengambil pandangan tersebut itu bukan bertujuan untuk perkara menyalahi syarak.

f)      Pandangan itu memberikan ketenangan hati kepada orang yang ingin mengambil rukhsah tersebut[12].”

Kesimpulan

  1. Secara asanya kebanyakan negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan adalah bermazhab dengan mazhab Syafi’i namun dalam keadaan yang melibatkan kepentingan (masalahah) umum atau keperluan yang mendesak maka dibenarkan untuk mengambil pandangan yang lain sama ada pandangan yang tidak muktamad atau pandangan daripada mazhab lain. Hal ini sama sekali tidak menjadikan seseorang yang bermazhab Syafi’i terkeluar daripada mazhab.
  2. Mengambil pandangan mazhab lain dalam keadaan tertentu telah dilakukan oleh ulama semenjak zaman berzaman. Namun harus diingatkan bahawa mengambil pandangan mazhan lain tidak boleh dilakukan suka-suka atau untuk mencari-cari pandangan yang mudah (tatabu’ al-rukhas).
  3. Mengambil pandangan mazhab lain hendaklah dilakukan dengan berhati-hati dengan meraikan syarat-syaratnya serta tidak berlaku talfiq yang dilarang iaitu campur aduk pandangan imam mujtahid di dalam sesuatu perkara. Menggabungkan dua mazhab sehingga terhasilnya pandangan yang tidak dikatakan oleh mana-mana mazhab.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Lihat: https://muftiwp.gov.my/images/archive/akta_pekeliling/Akta_505-pentadbiran_undang_islam_1993.pdf

[2] Zain al-Din al-Malibari (t.t) Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah Ain bi Muhimmat al-Din, Beirut: Dar Ibn Hazm, 622-623.

نقل العراقي وابن الصلاح الإجماع على أنه لا يجوز الحكم بخلاف الراجح في المذهب وصرح السبكي بذلك في مواضع من فتاويه وأطال وجعل ذلك من الحكم بخلاف ما أنزل الله لان الله تعالى (فتح المعين: 622-623)

[3] Abdul Rahman bin Muhammad al-Ba’lawi (t.t) Bughyah al-Mustarsyidin fi Talkhis Fatawa B’di al-A’immah min al-Ulama al-Mutakhirin, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 14.

[4] Ibid.

[5] Ibid.

[6] Da’irah al-Ifta’ al-Amm fi al-Mamlakah al-Urduniyyah al-Hasyimiyyah (2024) al-Madkhal ila al-Mazhab al-Syafi’i, Urdun: Dar al-Fath, 310

[7] Muhammad bin Abdullah Basudan (2018) al-Maqasid al-Saniyyah ila al-Mawarid al-Haniyyah, Urdun: Dar al-Fath, 237.

[8] Jalaluddin al-Suyuti (1983) al-Asybah wa al-Nazair fi Qawaid wa Furu’ Fiqh al-Syafi’i, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 83

[9] Muhammad bin Abdullah Basudan (2018) al-Maqasid al-Saniyyah ila al-Mawarid al-Haniyyah, Urdun: Dar al-Fath, 237.

[10] Abu Umar bin Abd al-Bar (1994) Jami’ Bayan al-Ilmi wa Fadlihi, Saudiah: Dar Ibn Jauzi, 2:927.

قال لي سليمان التيمي إن أخذت برخصة كل عالم اجتمع فيك الشر كله قال أبو عمر هذا اجماع لا أعلم فيه خلافا

[11] Ahmad Salamah al-Qalyubi dan Ahmad al-Barlisi Umairah (1995) Hasyiahta Qalyubi wa Umairah, Beirut: Dar al-Fikr, 1:13.

وَيَجُوزُ الْعَمَلُ بِالْمَرْجُوحِ فِي حَقِّ نَفْسِهِ لَا فِي الْإِفْتَاءِ وَالْقَضَاءِ إذَا لَمْ يَجْمَعْ بَيْنَ مُتَنَاقِضَيْنِ كَحِلٍّ وَحُرْمَةٍ فِي مَسْأَلَةٍ وَاحِدَةٍ، وَيَجُوزُ تَقْلِيدُ بَقِيَّةِ الْأَئِمَّةِ الْأَرْبَعَةِ، وَكَذَا غَيْرُهُمْ مَا لَمْ يَلْزَمْ تَلْفِيقٌ لَمْ يَقُلْ بِهِ وَاحِدٌ، كَمَسْحِ بَعْضِ الرَّأْسِ مَعَ نَجَاسَةٍ كَلْبِيَّةٍ فِي صَلَاةٍ وَاحِدَةٍ، وَمَا لَمْ يَتَّبِعْ الرُّخْصَ بِحَيْثُ تَنْحَلُّ رِبْقَةُ التَّكْلِيفِ مِنْ عُنُقِهِ، فَإِنْ فَعَلَ ذَلِكَ أَثِمَ.

[12] Lihat: https://iifa-aifi.org/ar/1950.html