Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #62: TERINGAT KATA ABAM..."KITA BAIK, RAMAI SAYANG"

ih124 conflict 26736410 3

  • Pertamanya, saya ucapkan takziah kepada keluarga almarhum Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan al-Juffrey (Abam Bocey). Semoga dikurniakan ketabahan dan kesabaran, khususnya kepada isteri beliau dalam membesarkan anak yang dikasihi, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey. Mungkin jika satu hari nanti anakanda Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey terbaca nukilan ini, ketahuilah bahawa ayahandamu seorang yang baik dan disenangi semua orang.
  • Saya tidaklah mengenali Abam Bocey secara dekat. Cuma sempat beberapa kali menonton jenakanya di kaca televisyen. Beliau memang mempunyai bakat membuat lawak yang semulajadi. Itulah antara anugerah Allah SWT kepada beliau.
  • Pada hari pemergiannya, tergerak di hati saya untuk menziarahi jenazahnya. Namun, kekangan masa yang amat padat tidak memungkinkan saya berada bersama-sama di tanah perkuburan atau masjid. Pada malam itu, saya menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Sultan Idris Shah II, Slim River, Perak. Pun begitu, saya tetap mengikuti proses daripada awal hinggalah ketika jenazah dikuburkan melalui media sosial.
  • Mungkin ramai juga yang tertanya-tanya. Walaupun sudah hampir seminggu kematiannya, nama Abam masih lagi meniti di bibir-bibir orang ramai. Mengapa boleh jadi sedemikian rupa? Adakah kerana kemasyhurannya? Atau kerana lawaknya yang sentiasa diingati? Bagi saya, bilamana kematiannya sentiasa disebut-sebut, itulah petanda kematian dan penamat yang baik (husnul khatimah).
  • Dari Anas bin Malik RA, beliau berkata, “Ketika satu jenazah diiringi, orang ramai memuji jenazah tersebut sebagai orang baik iaitu semasa hidupnya, maka Nabi SAW pun bersabda mengenainya: ‘Wajib, wajib, wajib.’ Lalu datang pula iringan jenazah yang kedua, orang ramai mengutuk mengenai jenazah tersebut sebagai orang yang jahat semasa hidupnya. Nabi SAW pun bersabda: ‘Wajib, wajib, wajib.’ Umar berkata: ‘Menjadi penebusmu, ayah dan ibuku! Ketika jenazah pertama diiringi, orang ramai memujinya sebagai orang baik, lalu kamu berkata: Wajib, wajib, wajib. Kemudian ketika jenazah kedua diiringi, orang ramai mengutuknya sebagai orang yang jahat, kamu juga berkata: Wajib, wajib, wajib. Apa ertinya?” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

هَذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا فَوَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ ، وَهَذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا فَوَجَبَتْ لَهُ النَّارُ ، أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِى الأَرْضِ

Maksudnya: “Orang yang kamu puji sebagai orang baik, maka diwajibkan kepadanya syurga. Sedangkan orang yang kamu katakan sebagai orang yang jahat, maka diwajibkan kepadanya neraka. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi.”

(Riwayat Muslim, no. 949)

  • Daripada Abi Zar RA, katanya: Telah ditanya kepada Rasulullah SAW: “Apa pendapatmu wahai Rasulullah, seseorang yang beramal kebaikan lantas orang ramai memujinya? Sabda Baginda SAW:

تِلْكَ عَاجِلُ بُشْرَى الْمُؤْمِنِ

Maksudnya: “Itulah berita gembira bagi orang mukmin yang disegerakan.”

(Riwayat Muslim, no. 2642)

Imam al-Nawawi menjelaskan: Ulama’ berkata: Makna berita gembira ini secara langsung dengan kebaikan sebagai petanda keredhaan Allah dan kasih sayang kepadanya. Justeru, Allah SWT menjadikan orang ramai sayang kepadanya seperti hadis terdahulu. Kemudian diletakkan perasaan penerimaan orang ramai di muka bumi. Ini semuanya apabila orang ramai memuji tanpa menghina atau menyindir.” (Lihat Syarah al-Nawawi ala Muslim, 16/189)

Ibn al-Jauzi menyebutkan: “Bahawa Allah SWT, apabila menerima amalan seseorang, maka dijadikan pada hati-hati orang ramai untuk menerima amalan seseorang itu dan memujinya. Maka jadilah ia sebagai berita gembira dengan penerimaan, sebagaimana apabila Allah kasih pada seorang hamba, maka dijadikan semua makhluknya kasih kepada seeorang itu. Ini kerana mereka menjadi penyaksi kepada-Nya di muka bumi.” (Lihat Kasyf al-Musykil, hlm. 245)

Imam al-Suyuti pula menyatakan: “Berita gembira yang disegerakan ini adalah sebagai dalil hal yang sama akan berlaku di akhirat.” (Lihat Syarh al-Suyuti ‘ala Muslim, 5/556)

  • Dari Abu al-Aswad RA, ia berkata, “Aku datang ke Madinah lalu duduk menghampiri ‘Umar bin Al-Khattab. Kemudian satu jenazah melalui mereka, lalu jenazah tersebut dipuji kebaikannya. Maka ‘Umar berkata, “Wajib.” Kemudian lalu lagi yang lain, maka dipuji kebaikannya, maka ‘Umar berkata, Wajib.” Lalu yang ketiga, maka disebutkan kejelikannya. Kemudian ‘Umar berkata, “Wajib.” Aku pun bertanya, “Apakah yang wajib, wahai Amirul Mukminin?” ‘Umar menjawab, “Aku menyatakan seperti yang dikatakan oleh Nabi SAW,

أَيُّمَا مُسْلِمٍ شَهِدَ لَهُ أَرْبَعَةٌ بِخَيْرٍ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Mana-mana Muslim yang disaksikan (diakui) kebaikannya oleh empat orang, Allah pasti memasukkannya ke dalam syurga.” Lalu kami bertanya, “Bagaimana kalau tiga orang?” Beliau menjawab, “Dan tiga orang juga sama.” Lalu kami bertanya lagi, “Bagaimana kalau dua orang?” Beliau menjawab, “Dan dua orang juga sama.” Kemudian kami tidak bertanya pada beliau tentang satu orang.”

(Riwayat Ahmad, no 204)

Menurut Imam Nawawi, pujian yang dimaksudkan adalah pujian daripada orang-orang soleh yang mempunyai keutamaan (ahl al-fadha’il). Pujian mereka pasti menepati keadaan orang yang meninggal dunia. Pandangan yang lain pula menjelaskan, maksud pujian itu adalah umum. Ini bermakna, setiap Muslim yang meninggal dunia, Allah SWT akan memberikan ilham kepada manusia untuk memberikan pujian kepadanya. Itulah tanda bahawa dia adalah penghuni syurga, baik pujian tersebut benar ataupun tidak.

Jika tidak benar, maka tidak semestinya dia menerima hukuman. Ketentuan itu tetap berada di bawah kehendak Allah SWT. Justeru, jika Allah SWT mengilhamkan kepada orang ramai untuk memujinya, maka itu petanda bahawa Allah mengkehendaki keampunan kepadanya. Itu pun sudah menunjukkan faedah memujinya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 7/20).

Seperkara lagi, solat jenazahnya dihadiri oleh ramai orang. Ini jua menunjukkan petanda husnul khatimah.

مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا، لَا يُشْرِكُونَ بِاللهِ شَيْئًا، إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللهُ فِيهِ

Maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah bersabda, ‘Tidaklah seorang Muslim meninggal kemudian disolatkan jenazahnya oleh 40 orang yang tidak menyekutukan Allah, kecuali Allah mengizinkan mereka memberi syafaat kepadanya (pada Hari Kiamat nanti) .

(Riwayat Muslim, no. 948)

  • Betapa indahnya percaturan Allah SWT. Dengan pemergian seorang pelawak terkenal yang mungkin tidak kita ketahui peribadinya selama ini melainkan jenakanya, Allah zahirkan satu-persatu kebaikannya dan menjadi pujian ramai orang. Itulah kuasa Allah SWT yang menjemput seorang hamba-Nya dan menganugerahkan 1001 iktibar dan pengajaran untuk diinsafi bersama.
  • Harapan kami agar semua dari kita tanpa mengira apa jua latarbelakang sekalipun, berpegang dengan satu slogan, “Buatlah baik sebanyak mungkin dan jangan sekali-kali melakukan kejahatan.” Ini kerana bak kata hikmah:

كَمَا تَدِينُ تُدَانُ

Maksudnya: “Sebagaimana engkau memperlakukan orang lain (baik ucapan maupun perbuatan), maka demikian pula kamu akan diperlakukan.”

اللهُمَّ، اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ - أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ