TASAWUF NADI PERUBAHAN UMAT
PENGENALAN: MELETAKKAN SEMULA KEUTAMAAN ILMU
Dunia Islam hari ini berdepan dengan cabaran besar seperti kelemahan ekonomi, perpecahan politik dan kemerosotan moral masyarakat. Punca utama krisis ini ialah kekeliruan dalam menentukan keutamaan ilmu (aulawiyat). Ramai terjebak dalam perbahasan cabang-cabang ilmu tanpa menyedari tujuan utamanya. Hakikatnya, semua cabang ilmu sama ada akidah yang membincangkan soal iman, fiqh yang mengatur hukum-hakam syariat atau sirah yang menelusuri perjuangan para nabi hanyalah wasilah untuk mencapai maqasid yang lebih tinggi.
Adapun maqasid tertinggi (ghayah) bagi setiap ilmu ini ialah pembentukan insan melalui tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa). Proses ini bertujuan membersihkan hati daripada sifat-sifat mazmumah (tercela) seperti takabur, riak dan hasad, lalu menghiasinya dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti ikhlas, tawaduk dan sabar. Tanpa penyucian jiwa, ilmu yang dimiliki hanya bersifat luaran, sekadar menghiasi pemikiran tetapi tidak menembusi hati. Ilmu seperti ini tidak mampu mencetuskan perubahan hakiki dalam diri manusia. Inilah yang menjadi kritikan terhadap sistem pendidikan moden yang lebih menekankan pembangunan akal (‘aql) sambil mengabaikan pendidikan hati (qalb), sehingga melahirkan generasi yang pintar secara intelektual tetapi tandus dari segi rohani dan akhlak.
Di sinilah terletaknya kedudukan tasawuf sebagai disiplin ilmu teras yang menjadi metodologi untuk mencapai maqam ihsan, selaras dengan tuntutan hadis Jibril mengenai tiga rukun agama (arkan al-din) iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Kerangka inilah yang menjadi asas bagi Ahli Sunnah Wal Jamaah arus perdana. Tasawuf membimbing seseorang menuju hadrat Allah SWT dengan membersihkan batin daripada segala kekotoran. Al-Quran sendiri menekankan bahawa tugas Rasulullah SAW bukan hanya menyampaikan kitab dan hikmah, tetapi juga menyucikan jiwa umat yang menandakan bahawa tazkiyah adalah matlamat utama. Al-Quran turut mengingatkan bahawa kejayaan umat bergantung pada kejayaan menyucikan jiwa sebagaimana firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya—yang sedia bersih—bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya—yang sedia bersih—itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”
Surah al-Shams (9–10)
Ayat ini menegaskan bahawa kejayaan sebenar hanya dicapai dengan menyucikan jiwa. Jiwa yang bersih lahir daripada pengembangan akal dan amal menurut syariat. Kesucian ini membawa manfaat bukan sahaja kepada diri, tetapi juga kepada orang lain. Sebaliknya, orang yang hanyut dalam maksiat dan menurut hawa nafsu akan kehilangan martabat insani. Mereka jatuh ke tahap makhluk yang hanya dipandu naluri kebinatangan. Inilah kerugian paling besar iaitu kegagalan menyucikan jiwa. Hal ini juga menghapuskan maqasid utama ilmu dan kehidupan. Penafsiran ini selari dengan perbahasan bahawa tasawuf ialah disiplin teras dalam pendidikan Islam. Ia memastikan ilmu bukan sekadar membentuk akal, tetapi turut membina akhlak, rohani dan peradaban insan.
MENYEMBUHKAN KRISIS UMAT MELALUI TERAPI ROHANI
Kegagalan untuk mengutamakan penyucian jiwa inilah yang membuka ruang kepada pelbagai krisis dalaman yang melumpuhkan kekuatan umat. Krisis umat hari ini bukan sekadar berpunca daripada faktor luaran, tetapi lebih mendasar iaitu krisis rohani yang menghakis kekuatan dalaman. Terdapat empat penyakit utama yang sedang melemahkan jati diri umat:
1. Putus Asa (Ya’s)
Apabila jiwa lupa akan keluasan rahmat Allah SWT, lahirlah penyakit putus asa yang memadamkan daya juang umat. Tasawuf tampil sebagai penawar dengan menanamkan raja’ (harapan) iaitu keyakinan mutlak bahawa setiap kesulitan pasti diiringi kemudahan. Melalui zikir dan tafakur, jiwa dilatih untuk sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT, sekali gus menghapuskan pesimisme dan menyuburkan kembali semangat untuk berusaha serta berdaya saing.
2. Kagum Diri (‘Ujb)
Sikap kagum diri menjadi barah yang memecahbelahkan masyarakat kerana ia melahirkan rasa sombong, budaya mudah menghukum dan ekstremisme. Tasawuf merawatnya dengan menanamkan kesedaran fakir iaitu pengakuan tulus bahawa segala kelebihan yang berbentuk ilmu, harta atau pangkat adalah pinjaman mutlak daripada Allah SWT. Kesedaran ini memupuk sifat tawaduk, membuka ruang untuk saling menghormati dan mengikis sikap merendahkan orang lain.
3. Tertipu dengan Diri (Ghurur)
Bahaya di sebalik kejayaan duniawi ialah sikap tertipu diri (ghurur) yang menyebabkan seseorang lupa bahawa setiap pencapaian adalah kurniaan Allah SWT. Sikap ini menjadi benih kepada materialisme dan hedonisme yang melalaikan. Tasawuf menawarkan jalan keluar melalui muhasabah (introspeksi diri) dan muraqabah (rasa diawasi Allah) yang menyedarkan individu bahawa setiap nikmat akan dipersoalkan, lantas mendorongnya untuk bersyukur dan menggunakan kejayaan ke jalan yang diredai.
4. Buruk Sangka (Su’ al-Zan)
Buruk sangka menjadi punca utama keretakan perpaduan umat kerana ia menghancurkan kepercayaan, menyuburkan fitnah dan merosakkan hubungan sosial. Tasawuf menyembuhkan racun yang mematikan ukhuwah ini dengan menyemai benih mahabbah (cinta) dan rahmah (kasih sayang). Apabila jiwa dipenuhi cinta kerana Allah SWT, ia akan sentiasa mencari kebaikan pada orang lain, memaafkan kesilapan dan membina jambatan perpaduan.
Keempat-empat penyakit ini menuntut agenda tazkiyah al-nafs secara menyeluruh sebagai teras kepada islah individu, masyarakat dan ummah. Proses ini berpaksi pada amalan zikir, kerana setiap amalan ketaatan pada hakikatnya adalah simbol zikrullah. Ia bermula dari peringkat individu melalui zikir lisan dan muhasabah, bergerak ke peringkat komuniti melalui majlis ilmu dan khidmat masyarakat dan akhirnya ke peringkat institusi melalui penerapan prinsip integriti dan muraqabah dalam sistem pendidikan serta tadbir urus. Dengan keseimbangan antara tarbiah (pendidikan akal) dengan tazkiah (penyucian hati), lahirlah peribadi muslim yang soleh (baik pada dirinya) dan muslih (pembawa kebaikan kepada masyarakat).
TASAWUF SEBAGAI TERAS KEKUATAN PERADABAN ISLAM
Sejarah membuktikan bahawa tasawuf bukanlah punca kelemahan, sebaliknya ia menjadi faktor penggerak kebangkitan peradaban Islam. Menurut laporan The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims, 2025 oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre mencatatkan bahawa sekitar tahun 1900, hampir 25% masyarakat Islam bermazhab Ahli Sunnah Waljamaah di seluruh dunia terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan tasawuf dan tarekat. Sumbangan besar tasawuf ini dapat dilihat dalam pelbagai dimensi:
1. Pembangunan Intelektual dan Spiritual
Salah satu sumbangan besar tasawuf dalam pembangunan intelektual dan spiritual dapat dilihat melalui karya agung Ihya’ ‘Ulum al-Din oleh Imam al-Ghazali. Karya ini memperlihatkan bahawa syariat, akidah dan akhlak digabungkan secara harmoni sehingga melahirkan sistem ilmu yang seimbang antara akal dan hati. Dengan pendekatan ini, tasawuf memastikan ilmu tidak menjadi alat kemusnahan, sebaliknya menjadi asas yang membina peribadi berilmu, berintegriti dan bertakwa. Hasilnya, ilmu pengetahuan berkembang bukan sahaja sebagai sumber kemajuan peradaban tetapi juga sebagai pedoman yang mengangkat martabat umat.
2. Kepimpinan dan Kenegaraan
Rahsia di sebalik lahirnya pemimpin agung dalam sejarah Islam terletak pada gabungan antara kebijaksanaan mentadbir dengan kekuatan rohani yang dibentuk melalui disiplin tasawuf. Sejarah membuktikan tokoh seperti Sultan Muhammad al-Fatih, penakluk Konstantinopel yang sentiasa merujuk kepada bimbingan gurunya Syeikh Akshamsaddin bagi memastikan strategi peperangan seiring dengan kekuatan spiritual. Manakala di Alam Melayu, peranan Sheikh Abdullah Fahim dalam menasihati pemimpin kemerdekaan menunjukkan bahawa keputusan besar negara turut dipandu oleh pertimbangan rohani. Ini membuktikan bahawa tasawuf berperanan melahirkan pemimpin yang adil dan amanah.
3. Dakwah dan Integrasi Budaya
Penyebaran Islam di Nusantara yang berlangsung secara aman didorong oleh pendekatan dakwah para sufi seperti Wali Songo. Mereka penuh hikmah dan meraikan kearifan tempatan dengan menyaring unsur budaya yang bercanggah serta mengisinya dengan nilai-nilai Islam melalui seni. Peranan Wali Songo yang menggabungkan tasawuf dengan pendidikan, kesenian dan budaya setempat menjadikan Islam mudah diterima, berkembang pesat serta berakar umbi dalam masyarakat tanpa pertumpahan darah.
4. Perjuangan dan Jihad fi Sabilillah
Sumber kekuatan luar biasa para pejuang Islam dalam menentang kuasa besar tidak hanya terletak pada strategi ketenteraan, tetapi pada ketahanan rohani yang dibina melalui tarbiah tasawuf. Keimanan yang mendalam dan kebergantungan penuh kepada Allah SWT melahirkan pejuang seperti Amir Abdul Qadir al-Jazairi yang memimpin penentangan menentang penjajahan Perancis di Algeria, serta Tokku Paloh yang membangkitkan semangat jihad menentang kuasa British di Tanah Melayu. Tasawuf mengajar bahawa kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu melahirkan keberanian dan disiplin untuk berjuang di medan sebenar.
5. Sosial dan Kesejahteraan Masyarakat
Sumbangan tasawuf melangkaui aspek spiritual dengan impak praktikal terhadap kestabilan sosial dan ekonomi negara. Institusi sufi seperti zawiyah dan khanqah sejak dahulu berfungsi sebagai pusat kebajikan. Lebih penting lagi, pengisian rohani yang diterapkan dalam masyarakat secara langsung mengurangkan jenayah. Apabila jiwa individu bersih, kecenderungan melakukan kerosakan sosial menurun, lantas peruntukan negara untuk penjara dan pemulihan dapat disalurkan kepada sektor pembangunan yang lebih mendesak.
MENJAWAB SALAH TANGGAP TERHADAP TASAWUF
Walaupun wujud amalan yang menyeleweng, ia tidak wajar dijadikan alasan untuk menolak keseluruhan disiplin ilmu tasawuf ini. Antara kritikan yang sering dilontarkan termasuklah:
1. Tasawuf Adalah Bidaah
Dakwaan bahawa tasawuf adalah bidaah timbul akibat kegagalan membezakan antara paksi ajaran (usul) dengan kaedah (wasilah). Paksi ajaran tasawuf ialah tazkiyah al-nafs, satu tuntutan jelas daripada al-Quran dan Sunnah. Adapun kaedah seperti wirid berjemaah adalah ijtihad ulama untuk mencapai maqasid tersebut, sama seperti penyusunan ilmu nahu dan usul fiqh yang diterima dalam Islam demi menjaga kemurnian agama.
2. Tasawuf Menjauhkan dari Dunia
Tuduhan bahawa tasawuf mengajar pengikutnya untuk menjadi pasif adalah salah faham terhadap konsep zuhud dan uzlah. Zuhud bukan bermakna meninggalkan harta, tetapi membuang kecintaan dunia daripada hati. Manakala uzlah bukanlah pelarian sosial, tetapi fasa "penyelenggaraan rohani" untuk kembali menyumbang kepada masyarakat dengan jiwa yang lebih bersih dan semangat yang lebih jitu.
3. Tarekat Menjurus kepada Kultus
Amalan tarekat dipastikan tidak terpesong kepada pemujaan guru melalui mekanisme kawalan yang ketat. Para ulama telah menggariskan perbezaan yang jelas antara tarekat muktabar (diiktiraf) dengan tarekat yang menyimpang; ukuran utamanya ialah kepatuhan mutlak kepada al-Quran dan Sunnah. Imam al-Junaid al-Baghdadi menegaskan bahawa semua jalan menuju Allah SWT hanya terbuka bagi mereka yang mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa tasawuf yang benar bukan sahaja tidak menyimpang, malah memperkukuh ikatan hamba dengan syariat serta berperanan membimbing umat ke arah pemulihan rohani dan pembinaan akhlak yang mulia.
KESIMPULAN: PERUBAHAN HAKIKI BERMULA DARIPADA DALAM DIRI
Selaras dengan perbincangan di atas, tasawuf berperanan sebagai nadi yang menggerakkan perubahan umat. Ia menjadi paksi dan pemacu bagi kemajuan serta transformasi umat Islam. Perubahan hakiki tidak mungkin tercapai jika hanya menumpukan aspek luaran seperti politik dan ekonomi semata-mata. Masalah sebenar berpunca daripada hati yang sarat dengan penyakit rohani. Selagi dimensi dalaman ini tidak dipulihkan melalui tazkiyah al-nafs, segala usaha pembaharuan hanya akan bersifat sementara.
Tasawuf dalam bentuknya yang autentik mengikat rohani dengan syariat, melengkapkan kerangka Iman, Islam dan Ihsan. Melalui pendidikan jiwa, ia menanam sifat ikhlas, sabar dan kasih sayang yang menjadi asas kepada akhlak mulia dan masyarakat yang harmoni. Sejarah telah membuktikan bagaimana kekuatan rohani ini menjadi teras kepada kegemilangan peradaban.
Sehubungan itu, tasawuf seharusnya difahami sebagai keperluan asas untuk melahirkan insan soleh yang menjaga dirinya dan pada masa sama menjadi muslih yang aktif membawa manfaat kepada masyarakat. Inilah landasan sebenar kebangkitan umat yang tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan rohani yang diajar oleh tradisi tasawuf.
Wallahu’alam