Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 57/2025: WAKAF SEBAGAI SATU INSTRUMEN PEMBANGUNAN EKONOMI UMAT ISLAM

TintaMufti.jpg

WAKAF SEBAGAI SATU INSTRUMEN PEMBANGUNAN EKONOMI UMAT ISLAM

Pada 30 Disember 2025, sejarah telah tercipta apabila satu projek pembangunan tanah wakaf berimpak tinggi iaitu pembinaan stesen minyak lengkap dengan restoran makanan segera dua tingkat telah berjaya dilaksanakan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan telah mula beroperasi.

Projek ini yang menelan kos RM9 juta sepenuhnya disiapkan menggunakan dana wakaf daripada orang awam dan manfaat bagi projek ini akan disalurkan kepada Masjid Sg. Ramal Luar sebanyak 50% seperti yang diniatkan oleh pewakaf. Kejayaan ini merupakan satu perkembangan yang baik bagi pengurusan wakaf di Malaysia yang merupakan salah satu instrumen yang sangat penting bagi membangun ekonomi umat Islam.

Wakaf sering dilihat sebagai satu jalan terbaik untuk memperoleh ganjaran yang besar dan berterusan sehingga selepas mati kerana harta wakaf akan berkekalan sentiasa dimanfaatkan. Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”

(Riwayat Muslim)

Namun, manfaat wakaf sebenarnya tidak terhenti kepada perkara keagamaan dan ganjaran akhirat semata-mata. Malahan, ia merupakan instrumen yang berpotensi besar untuk memberi manfaat kepada peningkatan taraf hidup umat Islam dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, kesihatan, ekonomi, pembangunan dan sebagainya. Hal ini selari dengan tuntutan syarak yang menekankan dua maqasid utama iaitu maqasid tadayyun dan maqasid umran untuk mencapai kemajuan dan pembangunan tamadun umat Islam.

Wakaf mempunyai potensi yang besar kerana hukum-hakamnya lebih luas dan manfaatnya boleh dihalakan kepada siapa-siapa sahaja berbeza dengan zakat yang khusus kepada lapan asnaf yang disebutkan dalam al-Quran. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak dapat direalisasikan sepenuhnya tanpa sokongan dan sumbangan sama ada daripada orang awam ataupun korporat.

Kejayaan PWS dalam projek wakaf ini sepatutnya menyedarkan umat Islam di Malaysia untuk lebih banyak menyumbang kepada dana. Bahkan, untuk berwakaf pada masa kini tidak semestinya memerlukan harta yang banyak, sebaliknya cukup hanya dengan RM1 sudah boleh melakukan wakaf tunai. Justeru, umat Islam di Malaysia diseru untuk meneroka projek-projek wakaf yang sedang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang masih menunggu dana wakaf untuk disumbangkan oleh orang awam.

Wallahu 'alam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

13 REJAB 1447H / 3 JANUARI 2026