Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 69/2026: PANDANGAN HUKUM DAN PANDUAN BERKENAAN KAEDAH PENGALIHAN KUBUR-KUBUR LAMA KE LOKASI BAHARU DI MASJID AL-KHADIJAH, PANTAI DALAM

TintaMufti.jpg

 

PANDANGAN HUKUM DAN PANDUAN BERKENAAN KAEDAH PENGALIHAN KUBUR-KUBUR LAMA KE LOKASI BAHARU DI MASJID AL-KHADIJAH, PANTAI DALAM

Hukum menggali semula dan memindahkan mayat pada asalnya adalah haram jika tiada sebab syar’i yang mengharuskannya. Perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, kata beliau:

وأما نبش القبر، فلا يجوز لغير سبب شرعي، باتفاق الأصحاب، ويجوز بالأسباب الشرعية كنحو ما سبق

Maksudnya: “Adapun berkenaan membongkar kubur, hukumnya adalah tidak diharuskan tanpa sebab-sebab syar’i mengikut kesepakatan para Ashab (ulama’ mazhab Syafi’i dan diharuskan apabila ada sebab-sebab syar’i seperti yang telah disebut.”[1]

Imam al-Nawawi kemudian menjelaskan bahawa antara sebab yang mengharuskan pembongkaran kubur adalah apabila mayat telah hancur menjadi tanah. Justeru, diharuskan pembongkaran untuk mengebumikan mayat lain di situ untuk pembinaan atau pertanian dengan syarat sudah tidak tinggal sisa-sisa mayat seperti tulang dan lain-lain. Perkara ini dapat diketahui melalui kebiasaan setempat atau pengesahan pakar. Namun, jika masih terdapat sisa-sisa mayat, maka diharamkan untuk membongkar kubur. Imam al-Nawawi berkata:

يجوز نبش القبر: إذا بلي الميت وصار تراباً، وحينئذ يجوز دفن غيره فيه، ويجوز زرع تلك الأرض وبناؤها، وسائر وجوه الانتفاع والتصرف فيه باتفاق الأصحاب ، وإن كانت عارية رجع فيها المعير، وهذا كله إذا لم يبق للميت أثر من عظم وغيره. قال أصحابنا رحمهم الله: ويختلف ذلك باختلاف البلاد والأرض ويعتمد فيه قول أهل الخبرة بها.

Maksudnya: “Harus membongkar kubur sekiranya mayat telah hancur dan menjadi tanah. Oleh yang demikian, boleh mengebumikan mayat lain di situ. Harus membuat pertanian dan membangunkannya dan dengan semua cara pemanfaatan dan tindakan di situ menurut kesepakatan para ulama mazhab, sekalipun ia adalah pinjaman yang ditarik balik oleh peminjamnya. Semua ini harus jika mayat itu tidak meninggalkan kesan seperti tulang-belulang dan selainnya. Ulama mazhab kita berkata, perkara ini berbeza mengikut perbezaan negeri dan tanah serta ia berdasarkan pandangan pakar mengenainya.”[2]

Bagi konteks isu ini di mana kubur-kubur lama itu telah mencapai usia lebih 200 tahun, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) berpandangan bahawa diharuskan untuk menggali semula kubur-kubur lama di kawasan Masjid Al-Khadijah untuk tujuan membina tanah perkuburan baharu kerana ia termasuk dalam sebab-sebab syar’i yang mengharuskannya. Hal ini kerana tempoh itu pada kebiasanya mayat sudah hancur dan menjadi tanah. Namun, jika terdapat apa-apa sisa mayat, maka ia hendaklah dipindahkan dengan cara yang terhormat seperti yang akan dijelaskan.

Tambahan pula, pembangunan tanah perkuburan yang baharu merupakan satu keperluan (hajah) yang mendesak kerana tanpanya akan menyulitkan pelaksanaan fardu kifayah pengkebumian jenazah kerana perlu dilakukan di lokasi yang lebih jauh. Selain itu, tanah perkuburan di Kuala Lumpur juga amat terhad, jadi pembangunan tanah perkuburan baharu ini satu keperluan yang mendesak untuk menampung jenazah yang akan dikebumikan bagi tempoh yang agak panjang terutamanya bagi penduduk Pantai Dalam. Satu kaedah fiqh menyebutkan:

الحاجة تنزل منزلة الضرورة عامة كانت أم خاصة

Maksudnya: Sesuatu yang bersifat keperluan (hajat) mengambil hukum darurat sama ada umum atau khusus.

Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat cara atau kaedah tertentu yang boleh mengekalkan kedudukan sebahagian besar atau sebanyak mungkin kubur lama tersebut di tempat asalnya tanpa menjejaskan kerja-kerja pembangunan kubur baharu tersebut, maka lebih afdal untuk mengekalkannya di tempat tersebut. Hal ini kerana keharusan penggalian semula dan pemindahan kubur tersebut bergantung kepada hukum dharurah dan kaedah ini diikat dengan kaedah lain yang menyebut:

الضرورة تقدر بقدرها

Maksudnya: “Keadaan darurat diharuskan mengikut kadarnya sahaja (tidak boleh berlebihan).”

Namun sekiranya tiada cara untuk mengekalkannya, maka harus dipindahkan ke tanah baharu yang akan dibangunkan dan diletakkan dalam satu liang lahad yang baharu.

Selain daripada itu, jika pihak masjid dan waris ingin membuat tanda baharu bagi mayat tertentu yang dikenal pasti, perkara tersebut adalah diharuskan. Namun, jika terdapat potensi berlaku perbuatan-perbuatan khurafat dan syirik di kawasan tersebut, pihak masjid hendaklah mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan perkara tersebut seperti meletakkan di kawasan terbuka dan meletakkan notis untuk menjauhi perbuatan khurafat dan syirik tersebut.

Tatacara Pemindahan Kubur Islam

  1. Kenal pasti tapak kubur lama & baharu yang telah disahkan oleh pihak berkuasa.
  2. Membersihkan kawasan lokasi pemindahan kubur sebelum kerja-kerja pemindahan dilakukan.
  3. Tumpukan satu atau beberapa hari untuk kerja-kerja pemindahan kubur sahaja dan tiada kerja-kerja sampingan yang lain.
  4. Keseluruhan proses penggalian/pemindahan kubur hendaklah dipantau oleh pihak berkuasa agama.

Penyediaan Kubur Baru

  1. Kenal pasti tapak kubur baharu yang telah disahkan oleh pihak berkuasa.
  2. Menentukan arah kiblat bagi lokasi tanah perkuburan tersebut.
  3. Bagi jenazah yang masih kekal jasadnya, kuburnya anggaran berukuran 6 kaki dalam, 7 kaki panjang, 4 kaki lebar. Manakala bagi jenazah yang telah hancur atau tinggal tulang berukuran 4 kaki dalam, 7 kaki panjang, 3 kaki lebar.
  1. Boleh ditanam satu atau beberapa jenazah dalam satu liang mengikut ukuran panjang jenazah.

Penggalian Kubur Lama

  1. Digalakkan memulakan kerja dengan bacaan doa.
  2. Bagi menghormati jenazah kerja-kerja penggalian hendaklah dilakukan secara tertib.
  3. Penggalian kubur boleh dimulakan dengan menggunakan lengkau (jengkaut) pada kedalaman 3 kaki bagi mengelakkan terkena jenazah yang masih sempurna. Manakala seterusnya bolehlah menggunakan cangkul atau seumpamanya.
  4. Sediakan sekurang-kurangnya sehelai kain kapan bagi setiap jenazah.
  5. Kutip dan kumpul semua tulang dan tanah yang boleh disifatkan sebagai jasad si mati.
  6. Antara sifat tanah yang boleh dikenal pasti sebagai jasad yang telah hancur adalah seperti berikut:-
    1. Tanah berwarna gelap.
    2. Tanah tidak mampat dan lebih halus daripada tanah asal.
    3. Bau tanah.
    4. Tanah yang berwarna gelap kehijauan dipercayai tahi cacing yang memakan daging manusia juga dikira sebahagian dari jasad.
  7. Susun anggota si mati di atas kain kapan mengikut tertib daripada kepala hingga ke kaki.
  8. Tandakan bahagian kepala dengan mengikat bahagian leher ketika mengkapankan semula.
  9. Barang berharga yang ditemui bersama dengan jenazah seperti gigi emas, duit emas atau seumpamanya hendaklah diserahkan kepada warisnya.
  10. Bagi menyempurnakan keseluruhan proses pemindahan ini, digalakkan membaca doa kepada si mati.[3]

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, hukum mengalih dan memindahkan kubur lama ke lokasi baharu di Masjid Al-Khadijah, Pantai Dalam adalah harus dengan mengikut tatacara dan panduan yang telah dikemukakan. Oleh yang demikian, pihak JMWP tiada halangan untuk pihak masjid meneruskan projek pembangunan kubur baharu di tempat tersebut.

WaAllahua’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

4 SYAABAN 1447H / 23 JANUARI 2026

 

Rujukan: 

[1] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, (Kaherah: al-Tiba’ah al-Muniriah, 1347H), 5:303.

[2] Ibid

[3] Garis Panduan Pemindahan Kubur Negeri Selangor

https://www.muftiselangor.gov.my/wp-content/uploads/2023/08/GARIS-PANDUAN-PEMINDAHAN-KUBUR_compressed.pdf