Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 89/2026: MISI BELIA DALAM MENELADANI GENERASI KAHFI DI RUMAH ALLAH

TintaMufti.jpg

MISI BELIA DALAM MENELADANI GENERASI KAHFI DI RUMAH ALLAH

Pendahuluan

Membangunkan negara tanpa melibatkan jiwa anak muda adalah satu usaha yang pincang. YAB Perdana Menteri, meletakkan harapan tinggi agar masjid menjadi pusat pencerahan utama bagi golongan belia menerusi inisiatif program “Rakan Masjid x Rakan Muda.”[1] Beliau menegaskan bahawa nilai kemajuan negara perlu berakar umbi daripada keutuhan akhlak dan kecerdasan akal yang dipupuk di rumah Allah.[2]

Strategi ini merupakan langkah strategik dalam memanusiakan semula fungsi masjid sebagai pusat tamadun di era Malaysia yang serba kompetitif ini.[3] Masjid bukan sekadar tempat ibadat khusus. Ia merupakan medan latihan bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berintegriti.

Ibrah al-Kahfi sebagai kompas keimanan belia

Al-Quran meletakkan standard yang tinggi bagi peranan belia dalam membawa perubahan masyarakat. Allah SWT merakamkan jati diri mereka menerus Firman-Nya:

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Surah al-Kahf (3)

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan pula kepada mereka petunjuk.”

Huraian ayat ini merujuk kepada Ashabul Kahfi sebagai generasi lampau yang berjaya meletakkan prinsip akidah mengatasi kepentingan duniawi. Menurut Imam al-Maraghi, ketersediaan jiwa anak muda dalam menyahut seruan hidayah merupakan kunci utama kejayaan dakwah Islam.[4] Syeikh Mutawalli al-Sha’rawi pula menyifatkan kualiti ini sebagai "kepemudaan iman" yang menjadi teladan zaman-berzaman.[5]

Kecemerlangan iman Ashabul Kahfi ini mempunyai kaitan langsung dengan ramuan kejayaan sesebuah gagasan. Sesuatu idea hanya akan membuahkan hasil sekiranya didukung oleh empat elemen utama: iman yang teguh, ikhlas yang murni, semangat yang membara dan amal yang berterusan.[6]

Sifat-sifat ini merupakan kekuatan semula jadi belia yang memiliki kejernihan hati dan ketajaman azam. Justeru itu, ibrah daripada generasi al-Kahfi ini menuntut belia masa kini untuk memiliki jati diri yang kental. Tanpa kompas iman yang jelas, anak muda akan mudah hanyut dan luntur di tengah arus modenisasi yang mencabar.

Disiplin spiritual sebagai tunjang ketahanan belia

Kecemerlangan seorang belia diuji melalui keupayaan mereka mengawal dorongan nafsu di tengah-tengah cabaran zaman. Rasulullah SAW memberikan pengiktirafan tertinggi kepada golongan ini melalui sabda Baginda:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ: الإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ، فَقَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ، أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

Maksudnya: “Tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya: Imam yang adil, pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Tuhannya, lelaki yang hatinya terpaut pada masjid-masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah di mana mereka bertemu dan berpisah kerana-Nya, lelaki yang digoda oleh wanita cantik dan berkedudukan lalu dia berkata: 'Sesungguhnya aku takut kepada Allah', orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya, dan orang yang mengingati Allah dalam keadaan sunyi lalu menitiskan air mata.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Fasa usia muda merupakan detik yang kritikal kerana kecenderungannya untuk memenuhi keinginan duniawi yang dilarang.[7] Oleh itu, belia yang memilih untuk melazimkan diri ke masjid dianggap telah berjaya menundukkan ego diri demi ketaatan kepada Pencipta.

Keterikatan hati dengan masjid bukan sekadar kehadiran fizikal. Ia merupakan bentuk perlindungan rohani daripada pengaruh negatif luar. Apabila seorang anak muda melazimkan diri ke masjid sebagai rumah kedua, maka seakan Allah SWT akan menyambutnya dengan penuh kegembiraan.[8] Hubungan rohani inilah yang membentuk perisai paling ampuh bagi belia dalam mendepani realiti dunia yang semakin mencabar.

Teladan masjid sebagai madrasah integriti

Sejarah Islam membuktikan bagaimana masjid menjadi sekolah praktikal bagi membentuk disiplin anak muda. Di zaman Umar bin al-Khattab RA, terdapat seorang pemuda yang sangat tekun beribadat dan istiqamah melazimkan diri di masjid. Keampuhan imannya teruji apabila beliau digoda oleh seorang wanita. Namun, saat hampir terjerumus ke dalam maksiat, kesedaran rohani yang dipupuk di masjid membangkitkan rasa takutnya kepada Allah. Beliau teringat akan ayat suci al-Quran lalu jatuh pengsan dan akhirnya meninggal dunia akibat ketakutan yang mendalam kepada Pencipta.[9]

Selain itu, masjid turut berfungsi sebagai ruang pengisian jiwa yang menyentuh realiti kehidupan. Pernah dilaporkan kepada Khalifah Umar mengenai seorang imam yang sering mendendangkan syair selepas solat. Apabila Umar mendengar sendiri bait syair tersebut yang berkisar tentang penyesalan terhadap masa muda yang disia-siakan dan ketakutan terhadap mati, maka beliau menangis dan mengakui kebaikannya.[10] Kisah ini membuktikan bahawa masjid berupaya melahirkan generasi yang bukan sahaja pakar dalam bidang masing-masing, tetapi memiliki integriti moral dan keinsafan jiwa yang tinggi menerusi bimbingan di rumah Allah SWT.

Penutup

Kehadiran anak muda di masjid secara aktif merupakan manifestasi kepada maqasid tadayun iaitu pemeliharaan amalan agama yang berkualiti. Apabila nilai-nilai ini meresap dalam jiwa belia, maka ia secara langsung akan memacu maqasid umran iaitu pembangunan tamadun yang seimbang. Pembangunan fizikal negara yang maju dan berdaya saing akan menjadi sia-sia jika ia kering daripada nilai spiritual dan etika.

Sehubungan itu, inisiatif bersama antara kementerian yang menguruskan hal ehwal agama dengan kementerian belia menerusi program “Rakan Masjid x Rakan Muda” perlu didukung sepenuhnya oleh semua pihak berwajib. Pelaksanaan inisiatif ini hendaklah direalisasikan dengan lebih proaktif bagi memastikan masjid berfungsi sebagai inkubator kepimpinan belia yang berwibawa. Masyarakat awam juga perlu memberikan kepercayaan kepada anak muda untuk mengimarahkan masjid. Sinergi ini amat penting bagi menjamin masa hadapan negara yang lebih gemilang dan berdaya saing.

Wallahu a'lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

21 RAMADAN 1447H / 11 MAC 2026

 

Rujukan: 

[1] Pejabat Perdana Menteri Malaysia, “Teks Ucapan Verbatim YAB PM: Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid x Rakan Muda Madani,” capaian pada 10 Mac 2026, https://www.pmo.gov.my/en/speeches-en/teks-ucapan-verbatim-yab-pm-majlis-berbuka-puasa-dan-peluncuran-rakan-masjid-x-rakan-muda-madani/.

[2] Pejabat Perdana Menteri Malaysia, “Teks Ucapan Verbatim: Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa,” capaian pada 10 Mac 2026, https://www.pmo.gov.my/en/speeches-en/teks-ucapan-verbatim-majlis-berbuka-puasa-bersama-mahasiswa/.

[3] Ibid

[4] Ahmad bin Mustafa al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi, (Mesir: Mustafa al-Babi al-Halabi, 1946), 15:125. Teks asal:

وقد جرت العادة أن الفتيان أقبل للحق، وأهدى للسبل من الشيوخ الذين قد عتوا وانغمسوا فى الأديان الباطلة، ومن ثم كان أكثر الذين استجابوا الله ورسوله صلى الله عليه وسلّم شبّانا، وبقي الشيوخ على دينهم، ولم يسلم منهم إلا القليل

[5] Muhammad Mutawalli al-Sha’rawi, Tafsir al-Sha’rawi – al-Khawatir, (Kaherah: Matabi’ akhbar al-Yaum, 1991), 14: 8852. Teks asal:

ونلاحظ هنا أن هؤلاء المؤمنين الذين ضَحَّوْا بكلِّ شيء وفرُّوا بدينهم ما زالوا في مرحلة الشباب، وهو مظنّة الانشغال بالدنيا والحِرْص على مُتعها، أما هؤلاء فقد انشغلوا بدينهم منذ صِغَرهم ليكونوا قدْوة ومثَلاً للشباب المؤمن في كل زمان ومكان، فالفتاء في أهل الكهف: فتاء إيمان وفتاء عقيدة

[6] Hasan al-Banna, Min Rasail al-Ikhwan al-Muslimin ila al-Syabab (Kaherah: al-Matba’ah al-Arabiyyah, 1951), 6-7. Teks asal:

أيها الشباب: إنما تنجح الفكرة إذا قوي الايمان بها، وتوفر الإخلاص في سبيلها، وازدادت الحماسة لها، ووجد الاستعداد الذي يحمل على التضحية والعمل لتحقيقها. وتكاد تكون هذه الأركان الأربعة: الايمان، والإخلاص، والحماسة، والعمل من خصائص الشباب

[7] Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar al-Ma'rifah, 1379H), 2:145. Teks asal:

فإن الشباب شعبة من الجنون، وَهُوَ داع للنفس إلى استيفاء الغرض من شهوات الدنيا ولذاتها المحظورة، فمن سلم مِنْهُ فَقَدْ سلم

[8] Muhammad bin Yazid bin Majah, Sunan Ibn Majah, no. 800 (Riyadh: Darussalam, 1999). Teks asal:

لا توطن رَجُل المساجد للصلاة والذكر إلا تبشبش الله بِهِ كما يتبشبش أهل الغائب بغائبهم إذا قدم

[9] Ali bin al-Hasan bin Asakir, Tarikh Dimasyq, (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 45:450. Teks asal:

كان في زمن عمر بن الخطاب شاب متعبد قد لزم المسجد، وكان عمر به معجباً، وكان له أب شيخ كبير، فكان إذا صلى العتمة انصرف إلى أبيه، وكان طريقها على باب امرأة، فافتتنت به فكانت تنصب نفسها له على طريقه، فمر بها ذات ليلة، فما زالت تغويه حتى تبعها، فلما أتى الباب دخلت، وذهب يدخل فذكر الله عز وجل وجلي عنه. ومثلت هذه الآية على لسانه: إن الذين اتقوا إذا مسهم طائف من الشيطان تذكروا فإذا هم مبصرون

[10] Abu al-Qasim Isma’il bin Muhammad al-Asbahani, al-Targhib wa al-Tarhib, (Kaherah: Dar al-Hadith, 1993), 1:411. Teks asal:

كنا عند عمر بن الخطاب إذ جاءه قوم فقالوا: إن لنا إماماً يصلي بنا العصر فإذا صلى صلاته يغني بأبياتٍ، فقال عمر قوموا بنا إليه. فاستخرجه عمر من منزله فقال له: إنه بلغني أنك تقول أبياتاً إذا قضيت صلاتك فأنشدنيها فإن كانت حسنة قلتها معك، وإن كانت قبيحة نهيتك عنها. فقال الرجل: وفؤادي كلما أنبهته عاد في اللذات يبغي تعبي، لا أراه الدهر إلا لاهياً في تماديه فقد برح بي، يا قرين السوء ما هذا الصبي فني العمر كذا باللعب، وشبابه بان مني فمضى قبل أن أقضي منه أربي، ما أرجى بعده إلا الفنا ضيق الشيب على مطلبي، نفس لا كنت ولا كان الهوى اتقي الموت وخافي وارهبي. فقال عمر: نعم .. نفس لا كنت ولا كان الهوى وهو يبكي ويقول: اتقي الموت وخافي وارهبي. ثم قال عمر: من كان منكم مغنياً فليتغن هكذا