Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #13: HUKUM BERAMAL UNTUK MENDAPATKAN KHADAM AYAT

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan khadam ayat dan bolehkah mengamalkannya?

Jawapan:

Khadam dari sudut istilahnya dalam konteks ini adalah pembantu manusia dalam kalangan jin. (Rujuk Fatawa al-‘Ulama’ fi ‘Ilaj al-Sihr wa al-Massi wa al-‘Ayn wa al-Janni, m. 112).

Khadam ayat ini terkenal dalam kalangan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional atau amalan kebatinan Melayu. Ia merujuk kepada pendamping atau penjaga yang diperoleh setelah mengamalkan ayat-ayat al-Qur’an tertentu dengan kaedah yang khusus. Kadangkala, ia tidak hadir dengan pengamalan ayat al-Qur’an tetapi cukup dengan amalan kebatinan. Antara yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu adalah khadam ayat al-Kursi.

Walaubagaimanapun, khadam yang difahami sebagai khadam ayat ini bukanlah orang suruhan tetapi ianya lebih kepada pendamping atau penjaga seperti rijal al-ghaib. Rijal al-ghaib ini biasanya akan hadir dan mendakwa diri sebagai wali-wali, atau orang soleh. Dalam hal berkenaan rijal al-ghaib, Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari menyebutkan:

والحق : أن هؤلاء من أتباع الشياطين ، وأن رجال الغيب هم الجن لأن الإنس لا يكون دائما محتجبا عن أبصار الإنس يحتجب احيانا فمن ظن أنهم من الإنس فمن غلطه وجهله.

“…yang benarnya mereka (yang menyamar sebagai wali-wali) itu adalah pengikut para syaitan. Dan sesungguhnya rijal al-ghaib adalah jin kerana jika ianya manusia, tidaklah ia sentiasa terhijab daripada pandangan manusia. Manusia terhijab kadangkala (tetapi tidak bermakna dia tidak boleh dilihat). Barangsiapa yang menyangka rijal al-ghaib itu dalam kalangan manusia adalah kesilapannya dan kejahilannya.” (Syarah Fiqh al-Akbar, m. 421).

Firman Allah SWT

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَـٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ ﴿٣٦﴾ وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ 

Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak mempedulikan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Ibnu Qayyim Al Jauzi menyatakan bahawa: Al-Quran adalah jalan bagi hati seseorang mendapat ketenangan. Justeru, sesiapa yang berpaling dari ajaran sebenar Al Quran atau menggunakan ayat Al Quran dari tujuan asal ia diturunkan, maka Allah akan jadikan baginya seekor syaitan yang menjadi Qarin. Qarin inilah yang akan berkhidmat kepada pengamalnya. Lalu timbul tanggapan bahawa malaikat yang menjaga ayat tersebut telah menjadi penolongnya. Inilah tipudaya dalam amalan-amalan kebatinan seperti ilmu ghaib, ilmu kebal, ilmu khadam ayat dan seumpamanya. (Tafsir al-Qayyim, 1/490)

Ada juga sebahagian pawang atau bomoh yang mendakwa bahawa khadam ayat itu adalah malaikat, bukan jin atau syaitan. Kami melihat dakwaan ini jauh tersasar kerana:

  • Tugas malaikat adalah menjalankan apa jua perintah Allah SWT kepadanya, bukan perintah manusia. Firman Allah SWT:

لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ 

Maksudnya: “…mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

(Surah al-Tahrim: 6)

  • Malaikat mendampingi dan mendoakan orang yang beriman dan bertaqwa, bukannya mereka yang melakukan syirik. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:

الْمَلاَئِكَةُ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلاَّهُ مَا لَمْ يُحْدِثْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ‏

Maksudnya: “Para Malaikat akan selalu berselawat kepada salah seorang di antara kalian selama ia berada di masjid dimana ia melakukan solat, hal ini selama wudhu’nya belum batal. (para Malaikat) berkata: ‘Ya Allah, ampunilah dia, ya Allah, rahmatilah dia.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 445)

Berdasarkan hujah-hujah di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa hukum beramal bagi mendapatkan khadam ayat adalah haram dan membawa kepada kesyirikan. Firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

(Surah al-Jinn: 6)

Al-Qur’an dibaca dan diamalkan juga sebagai tujuan rawatan tetapi yang menyembuhkan tetaplah Allah SWT. Ianya tidak memerlukan kepada apa-apa perantara yang terdiri daripada apa jua makhluk. Cukuplah Allah SWT yang Maha Mendengar, jua Maha Penyembuh. Semoga Al-Qur’an akan semakin mendekatkan kita kepada-Nya dan bukan sebaliknya. Wallahua’lam.