Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

tangki air bercampur tahi cicak

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 239 (4 APRIL 2016 M / 26 JAMADILAKHIR 1437 H)

 

SOALAN:

Assalamulaikum.

saya ingin bertanya. Boleh kah mengmbil wuduk menggunakan air mineral? Kedua, bagaimana keadaan tangki yang dipenuhi tahi cicak disebabkn tangki yang tidak ditutupi. Adakah air tangki tadi kena dibuang dan tidak boleh digunakan untuk berwuduk, mandi wajib dan menghilangkan najis?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Bagi soalan pertama, tidak ada masalah menggunakan air mineral untuk berwuduk. Syaratnya air itu ialah air mutlak, bukan air musta’mal yakni air yang telah digunakan untuk basuhan wajib mandi dan wuduk, bukan juga air mutaghayyir yang bercampur dengan bahan-bahan yang suci sehingga berubah sifatnya, apatahlagi kalau air mutanajjis yang bercampur dengan najis.

Bagi soalan kedua,  kapasiti air tangki itu perlu dibahagi kepada dua;

Pertama: tangki kecil yang tidak cukup dua kolah. Maka hukum airnya menjadi mutanajjis dan tidak boleh digunakan untuk berwuduk dan mandi wajib. Namun jika ditambah dengan air mutlak, atau dengan air mutanajjis juga, sehingga sampai dua kolah, dan tidak berubah bau, warna dan rasa seperti najis, maka kembalilah air tangki itu menjadi air mutlak yang suci dan menyucikan.

Dalilnya ialah sabda Rasulullah SAW:

إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ، فَلَا يَغْمِسْ يَدَهُ فِي الْإِنَاءِ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلَاثًا، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ

Maksudnya: Jika salah seorang daripada kalian bangun daripada tidur, maka janganlah dia mencelupkan tangannya ke dalam bekas air sehinggalah dia membasuhnya (terlebih dahulu) sebanyak tiga kali, kerana dia tidak tahu di manakah tangannya bermalam.

Hadis riwayat Imam Muslim (278) dalam Sahih-nya

 

Kedua: tangki besar yang cukup atau lebih dua kolah. Maka air itu tidak menanggung najis, melainkan berubah bau, warna dan rasanya. Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا كَانَ المَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الخَبَثَ

Maksudnya: Jika air itu berjumlah dua kolah, maka air itu tidak menanggung kekotoran (atau najis).

Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (67) dalam Sunan-nya

 

Jumlah doa kolah itu ialah kira-kira 500 ritl (kati) Baghdad, bersamaan 200 liter, atau 192.857 kilogram, atau 204 kilogram, atau kapasiti berbentuk segi empat sama yang panjang, lebar, dan tingginya ialah 1 ¼ hasta. Kiraan ini hanyalah bersifat taqriban (kurang lebih), makna kalau terkurang sedikit tidak menjejaskan kesucian air. Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/34) dan al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/41).  

 

Wallahua`lam.