Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 215 (16 MAC 2016 M / 7 JAMADILAKHIR 1437 H)

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato' mufti,

Saya ingin bertanya. Saya ada kekeliruan berkaitan dengan seseorang ustaz warga Malaysia yang dipanggil "pak keai" katanya yang pernah belajar di pesantren di Indonesia.

  • Dia ada mengatakan bahawa dia menerima ajaran ilmu tasawwuf sehingga 4 Senawi.
  • Dia pernah mengatakan bahawa pernah melihat syurga dan neraka dengan syarat dikapankan seperti mayat dan ditanam selama beberapa hari.
  • dia juga pernah mengeluarkan barang dari sejadah setelah dia membaca doa, dan dilihat oleh saya sendiri.
  • Dia berkata amalan sedekah kepada arwah tidak diterima sekiranya tidak mendahulukan bacaan 'Alhamdulillah ya Allah ya Tuhanku Allahuakbar'.
  • Beliau juga mengatakan perlu dibaca didalam hati pada setiap perbuatan solat, sebelum baca al-Quran, kalau tidak dibaca amalan tidak diterima dan dikira sia-sia.
  • Seorang anak muridnya pernah dibawa ke kubur dan mensedekahkan ayat suci al-quran kepada ahli kubur itu secara ajaran yang diajar disekolah, malangnya ahli kubur itu menjerit meminta pertolongan. Tetapi setelah membaca ayat 'Alhamdullillah Ya Allah Ya Tuhanku Allahuakbar' dan mula membaca seperti ayat suci al-quran, ahli kubur itu lama kelamaan tidak bersuara lagi.
  • Saya berasa sangsi apabila dia membekalkan batu delima untuk diletakkan pada sebelah pembaca al-Quran.
  • Saya juga pernah mendengar ustaz ini juga boleh menyelamatkan mangsa kemalangan yang nazak dengan membedah dadanya lalu mangsa tersebut elok sehingga kini.

Adakah perbuatan ini syirik dan perlu menjauhi 'pak keai' ini?

Mohon penjelasan yang jelas daripada mufti

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Dalam Islam, neraca kita dalam menilai keperibadiaan seseorang itu ialah berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Asasnya, jika seseorang itu mendakwa sebuah perkara sebagai benar, maka hendaklah perkara itu juga ialah kebenaran berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Sebaliknya, jika dia mendakwa suatu perkara sebagai benar sedangkan al-Quran dan al-Sunnah menafikan perkara tersebut, maka dia bukanlah seorang benar tetapi pendusta semata-mata.

Contohnya. melalui keterangan yang diberi, kami berpendapat seseorang yang mendakwa boleh melihat syurga dan neraka setelah dikapankan dan ditanam beberapa hari ialah dakwaan yang bohong dan tidak benar. Bahkan jika dia selamat pun ditanam beberapa hari, bagaimanakah solat wajibnya, adakah ditunaikan? Kalau benar dia seorang yang soleh dan bertaqwa.

Juga bagi poin keempat, tidak ada nas Syarak yang menunjukkan pahala sedekah kepada arwah terhalang jika tidak dibaca ‘Alhamdulillah ya Allah ya Tuhanku Allahuakbar.’ Juga banyak lagi dakwaan-dakwaan yang meragukan dan bersifat mencari populariti.

Kami menasihatkan semua agar tidak mudah mempercayai dakwaan-dakwaan seperti ini. Penampilan luaran seperti berjubah, berserban dan berjanggut bukanlah dalil yang menunjukkan keperibadian sebenar seseorang kerana pandangan boleh menipu.

Ikutilah nasihat Syeikh Junaid al-Baghdadi Rahimahullah, tokoh sufi yang terkenal:

علمنا هذا مقيد بالكتاب والسنة 

Maksudnya: Ilmu kami ini terikat dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Rujuk al-Risalah al-Qusyairiah hal. 32

Ini jelas menunjukkan tarikat tasawuf yang murni itu bersandar teguh di atas Syariat yang jelas dan terang seperti diturunkan Allah SWT, dan bukan berpaksikan atas perkara yang ragu dan syubhat.

Selain itu, rujuklah tuan-tuan guru yang pakar lagi mahir dan badan-badan agama yang berautoriti untuk mengetahui hakikat ilmu tasawuf dan juga mengenalpasti syubhat-syubhat ajaran yang menyeleweng agar kita boleh menghindarinya.

Semoga Allah tunjukkan kepada kita kebenaran itu sebagai kebenaran. Amin.

Wallahua`lam.