Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL KAFI LIL FATAWI 448 : BILAKAH SAF PERLU DIBENTUK ?

Soalan :

Pada ketika bilakah saf perlu dibentuk. Adakah ketika iqamah dilaungkan atau selepas iqamah ?

Jawapan :

Saf mula dibentuk sebaik sahaja iqamah telah dikumandangkan. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata : ‎

أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَسَوَّى النَّاسُ صُفُوفَهُمْ ‏‏

Maksudnya : Apabila telah dilaungkan iqamah maka orang ramai pun meluruskan saf mereka.

Riwayat Al-Bukhari (640)

Riwayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa saf diluruskan setelah iqamah dilaungkan. Kerana dalalah huruf الفاء di antaranya menunjukkan kepada tertib (turutan). Pandangan ini dikuatkan lagi dengan sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa beliau berdiri untuk solat ketika muazzin mengucapkan :

قَدْ قَامَتِ الصَّلَاة

Maksudnya : Telah tiba masa solat untuk didirikan.

Imam Sa'id Ibn al Musayyib Rahimahullah berkata :

 ‎إِذَا قَالَ الْمُؤَذِّنُ الله أَكْبَرُ وَجَبَ الْقِيَامُ وَإِذَا قَالَ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ عُدِّلَتِ الصُّفُوفُ وَإِذَا قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ كَبَّرَ الْإِمَامُ

Maksudnya : Apabila muazzin (tukang azan) mengatakan Allahu Akbar maka wajib (untuk makmum) berdiri dan apabila muazzin mengatakan Hayya 'Ala Al-Solah maka saf diluruskan dan apabila muazzin mengatakan La Ilaaha IllaLlah maka Imam pun bertakbir. Lihat Fathul Bari Syarah Sahih al Bukhari, Ibn Hajar (2/120).

 

Kesimpulan

Justeru, setiap makmum yang hadir menunaikan solat secara berjemaah hendaklah peka dan mengambil cakna sebaik sahaja iqamah dikumandangkan. Tatkala muazzin melaungkan iqamah hendaklah mereka terus bangun serta berdiri di dalam saf dengan kedudukan yang teratur lagi lurus. Semoga Allah S.W.T memberikan kepada kita semua kefahaman dalam beragama. Ameen